DALAM Umno menyambut ulang
tahun penubuhannya ke-67 hari ini, kebetulan selepas pilihan raya umum ke-13
Ahad lepas, parti itu perlu mengorak langkah baharu bagi memastikan ia terus
relevan.
Antara langkah baru itu,
aspirasi dan kehendak golongan kelas menengah Melayu perlu diberi perhatian
bagi memenangi hati mereka, kata penganalisis politik.
Ketua Kluster Politik Majlis
Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak hari ini berkata Umno
perlu menyediakan kerangka yang lebih inklusif untuk kelompok tersebut.
"Umno memang dekat
dengan masyarakat di luar bandar dan Umno
masih mempertahankan kerusi di luar bandar tetapi golongan menengah
Melayu yang semakin ramai tidak harus dipinggirkan oleh Umno.
"Golongan kelas
menengah ini semakin hari semakin besar serta aspirasi dan jangkaan mereka
sangat berbeza dengan masyarakat luar bandar dan lain-lain yang bukan kelompok
kelas menengah. Aspirasi mereka tak sama dengan aspirasi masyarakat luar
bandar," katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, katanya,
Umno mesti mempunyai pakej yang menarik
untuk kelompok itu dan golongan muda dengan pendekatan untuk mendekati
generasi Y itu perlu ditingkatkan lagi.
"Jika tidak berjaya,
maka proses peremajaan Umno akan tergendala dan terjejas. Sebab itu, dua kelompok
ini sangat penting, Gen Y di bawah kelompok 40 tahun dan kelompok kelas
menengah Melayu," katanya.
Dr Mohamed berkata Umno juga
tidak boleh meninggalkan sebarang usaha
untuk mendekati masyarakat Cina supaya Umno tidak dilihat sebagai parti yang tidak
mesra dengan kaum itu.
"Umno harus cari jalan
dalam menjaga keharmonian kaum di negara ini," katanya.
Katanya selagi Umno menjaga
orang Melayu, golongan Bumiputra di
Sabah dan Sarawak, agama Islam dan terus melaksanakan keadilan dalam
negara serta mengelak daripada rasuah atau sebagai parti yang tidak bersih,
Umno akan terus mendapat sokongan.
"Jangan terpalit dengan
imej rasuah, atau hanya jaga orang kaya sahaja
atau sebuah parti hanya untuk kelompok Melayu tertentu sahaja.
"Umno mesti mengambil
sikap dan pendekatan yang inklusif dengan menjaga kepentingan orang Melayu,
agama, raja dan adil kepada semua rakyat Malaysia, Umno akan terus
dihargai," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment