KOTA KINABALU : Adun
Matunggong, Datuk Jelani Hamdan menyarankan supaya wakil rakyat pembangkang di
Sabah menubuhkan satu Kabinet Bayangan untuk memantau pencapaian setiap Kementerian
Negeri Sabah.
Beliau berkata jika saranan
itu menjadi kenyataan, beliau akan bertanggungjawab untuk memantau pencapaian
Ketua Menteri dan semua jabatan di bawah bidang kuasa Ketua Menteri.
"Kami akan meneliti
setiap sen yang dibelanjakan oleh kementerian di samping memeriksa perkembangan kementerian," katanya.
Beliau berkata, kali ini
terdapat 12 wakil rakyat pembangkang dan bilangan itu cukup untuk membentuk
kabinet bayangan.
Kabinet bayangan itu,
katanya, tidak bertujuan mengambil alih pentadbiran Kabinet Negeri Sebenar.
"Ia bertujuan Menambah
baik sistem pelaksanaan Kerajaan agar semua kementerian akan terus tekun dalam
kerja mereka dan dengan itu lebih telus," katanya.
Ia, katanya, juga untuk
membolehkan rakyat mendapat perkhidmatan lebih baik daripada kerajaan.
Kabinet bayangan, katanya,
akan membuat laporan tentang pencapaian kementerian kira-kira tiga kali
setahun.
Beliau berkata entiti 'Ombudsman'
pembangkang itu lebih baik dan merupakan sekatan dan imbangan untuk memastikan
kerajaan melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya.
Bersama dengan kabinet
bayangan itu, Jelani berkata, Wakil Rakyat pembangkang akan bertanggungjawab
memantau wilayah tugasan mereka.
"Sebab saya dari
bahagian utara Sabah, saya akan bertanggungjawab untuk kawasan dari N.1 hingga
N.5 (Banggi, Tanjong Kapor, Pitas, Matunggong, Tandek)," katanya.
Beliau berkata di bawah
tugas ini, mereka akan memastikan janji dan manifesto yang diumumkan oleh calon
Barisan Nasional semasa kempen baru-baru ini dilaksanakan.
Jelani berkata, beliau juga
memastikan bahawa projek pembangunan yang dijanjikan kepada rakyat dan
kemudiannya dirasmikan oleh Ketua Menteri sebelum itu termasuk institut
komuniti dan jalan dari Matunggong ke Kota Marudu, dipenuhi.
Jelani, yang mengalahkan
penyandang Matunggong, Sarapin Magana (PBS), dengan majoriti 320 undi dalam pilihan
raya baru-baru ini, berkata beliau akan menjalankan kajian dan analisis
pemilikan tanah hak adat anak negeri (NCR).
"Kami juga akan
mengkaji semula tanah yang terbabit dalam pembinaan Empangan Milau Fasa II,
Hutan Simpanan Matunggong, Taman Marin Tun Mustapha dan 60,000 hektar yang
diperolehi oleh Begaraya Sdn Bhd," katanya.
Beliau menjangka perhimpunan
Dewan Undangan Negeri untuk lima tahun akan datang ini tentu menarik
memandangkan kini terdapat 12 Adun pembangkang lawan 48 Adun BN.
Terdahulu, hanya terdapat
tiga ahli pembangkang iaitu Jimmy Wong (DAP-Sri Tanjong), Melanie Chia
(SAPP-Luyang), dan Datuk Liew Tee Chan (SAPP-Likas). (DE)
No comments:
Post a Comment