Oleh: CHARLES P ANDIANG
SANDAKAN : Ahli Parlimen
(DAP) Sandakan, Stephen Wong (gambar) menyifatkan gesaan Menteri Dalam
Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar
rakyat yang tidak gembira dengan
sistem pilihanraya baru-baru ini supaya meninggalkan negara sebagai kenyataan kebudak-budakan
dan tidak boleh diterima akal.
Katanya, rakyat mempunyai
hak mutlak terhadap pilihanraya, sama ada mereka puas hati atau sebaliknya; oleh itu Zahid tidak berhak menggesa
rakyat supaya meninggalkan negara ini jika tidak senang dengan sistem
pilihanraya.
“Sebagai seorang menteri
yang berpendidikan tinggi, sepatutnya tidak perlu mengeluarkan kenyataan
sedemikian kerana jelas akan menyakiti hati seluruh rakyat jelata di negara ini. Siapa beri dia kuasa menghalau
rakyat?” kata Wong.
Wong mengulas kenyataan
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersiar di Portal Online
Sabahkini.Net pada 18 Mei 2013 bertajuk: “Kamu Ingat Negara Ini Bapa Kamu Yang
Punya.”
Wong menambah, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem
demokrasi berparlimen, rakyat di negara ini mempunyai kuasa mutlak
masing-masing untuk memilih sesiapa sahaja pemimpin atau parti yang mereka suka.
"Jika mereka rasa tidak
puas hati dengan perjalanan sistem pilihanraya yang diguna pakai di negara ini,
mereka berhak membuat bantahan. Kenapa rakyat disuruh supaya meninggalkan negara ini? Di mana
letaknya sistem demokrasi yang selama ini dilaung-laungkan," tanya Wong.
Kata Wong lagi, sepatutnya
Zahid berfikir panjang sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan yang boleh
mengguris hati rakyat jelata di negara ini kerana implikasinya amat besar.
“Dengan ini, saya menggesa agar Zahid memohon maaf secara
terbuka daripada rakyat jelata atas perbuatannya yang melampau batas sehingga mengguris hati rakyat di negara ini,
termasuk saya,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment