Friday 18 November 2011

WAKIL RAKYAT, JKDB LINDUNGI KERETA SAPU DI INANAM



Oleh : BRIAN NICHOLAS ANSELMUS

KEGIATAN kereta sapu yang berleluasa di pekan Inanam, Kota Kinabalu tidak mungkin dapat diselesaikan selagi Wakil Rakyat kawasan Inanam, Datuk Johnny Goh dan Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) serta pihak berkuasa bersikap memayungi kegiatan haram ini.

Mereka yang terbabit didakwa bersikap acuh tidak acuh untuk menyelesaikan masalah kereta sapu demi survival politik, walaupun kegiatan itu jelas menyalahi undang-undang.

Wakil Rakyat berkenaan, anggota JKDB serta pihak berkuasa membiarkan kegiatan kereta sapu memonopoli perkhidmatan pengangkutan awam di pekan berkenaan sehingga pengusaha bas yang berpermit begitu terjejas dan gagal bersaing dengan perkhidmatan kereta sapu kerana bilangannya melebihi tiga kali ganda.

Situasi itu menyebabkan pengusaha bas yang sah di pekan ini terpinggir kerana tiada pembelaan oleh pihak berkuasa, terutama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Dewan Bandraya Kota Kinabalu (DBKK) tidak boleh dipersalahkan kerana telah menyediakan tempat khas meletak bas, tetapi kebanjiran kereta sapu di sini langsung tidak terkawal.

Akibat penguasaan yang longgar, tempat khas yang disediakan tidak dapat dimanfaatkan dan ini menunut pihak berkuasa segera bertindak lebih tegas terhadap pemilik kereta sapu terbabit.

Pengusaha-pengusaha bas di Inanam melahirkan rasa kecewa atas kegagalan pihak berkuasa membanteras kegiatan haram dan dalam masa yang sama sedih dan terkilan atas sikap wakil rakyat dan anggota JKDB yang menutup mata dengan kegiatan haram itu.

"Sebagai wakil rakyat, Datuk Johnny Goh seharusnya mendesak pihak berkuasa seperti JPJ dan LPKP mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kereta sapu terbabit tetapi yang terjadi sebaliknya, malah beliau mahu mereka dilindungi," dakwa pengusaha bas itu.

Berikutan itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS) cawangan Inanam, Norman Abdullah menggesa supaya pihak penguatkuasan turun padang dan tampil mengambil tindakan tegas bagi menangani kegiatan kereta sapu itu.

Katanya, bilangan kereta sapu di pekan ini semakin bertambah disebabkan tiada tindakan diambil pihak berkuasa walaupun ‘sarang’ mereka telahpun dikenal pasti.

"Kami tidak faham kenapa pihak berkuasa gagal mengambil tindakan terhadap pemilik kereta sapu terbabit, sedangkan mereka menjalankan perkhidmatan secara terbuka," tegasnya.

Beliau berkata, situasi yang berlaku di pekan Inanam seolah-olah pihak berkuasa tidak ambil peduli, walaupun kerajaan sering melaungkan supaya kegiatan haram seumpama ini perlu dibanteras, sebelum mengundang risiko keselamatan kepada penumpang.

No comments:

Post a Comment