Friday, 18 November 2011

IMEJ ANTARABANGSA UMSKAL DICEMARI SAMPAH



PIHAK Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) hari ini diminta peka terhadap keselamatan dan kebersihan kawasan kampus dan sekitarnya

Hal ini memandangkan, penjagaan kebersihan yang amat dititikberatkan oleh agama mempunyai pengertian yang amat besar sekiranya semua warga terutama barisan pentadbiran dan penuntut mempunyai kesedaran.

Menurut mantan Ahli Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) kampus berkenaan Mohd Firdaus Bin Muhammad Nor, beliau terkejut apabila mendapati sisa sampah tidak diurus dengan baik yang menjadi punca seolah-olah kampus berkenaan menerima ‘tetamu’ undangan khas.

“Saya kira, ini ‘tetamu’ istimewa yang wajar diberi perhatian khusus oleh pentadbiran universiti,” katanya.

Tambahnya lagi, isu kehadiran anjing ke kawasan berkenaan sudah berkurangan malah hampir tiada sejak beberapa tahun lalu. Namun katanya, kehadiran anjing ini semakin aktif pada sejak beberapa bulan lalu.

“Dulu dah tak nampak anjing di sana. Tapi hari ini, bila kita melawat kawasan berkenaan, banyak pula anjing-anjing itu dibiarkan berkeliaran.

“Ada kemungkinan sampah-sampah yang tidak diselenggara dengan baik menarik perhatian haiwan berkenaan untuk menghampiri kawasan ini. Banyak juga sampah yang dibiarkan berlonggok. Ada sesetengahnya sampai bersepah sampahnya,” ujarnya.

Beliau berharap, isu ini tidak sepatutnya timbul memandangkan kampus berkenaan adalah setaraf penggunaan ‘antarabangsa’ dan perlu menjadi cerminan kepada pelajar antarabangsa yang menuntut di kampus tersebut.

“Kita sebagai warga KAL sepatutnya rasa malu dengan keadaan sebegini. Apatah lagi ramai pelajar datangnya dari luar negara seperti China untuk belajar disini. Jika ini keindahan dan kecantikan yang ditonjolkan, maka bagi saya kita sudah gagal untuk mempamerkan ciri-ciri sebuah Kampus Ceria,” jelasnya.

Beliau berharap, agar semua warga dapat mengambil inisiatif dan pendekatan terbaik bagi mengindahkan kawasan kampus dan sekaligus merealisasikan slogan UMS Kampus Ceria.

“Kita berbangga dengan pencapaian pelbagai peringkat akademik di sini dan tiada salahnya untuk kita sama-sama sekaligus berbangga dengan pencapaian keindahan dan keceriaan kampus.

“Pelajar bersemangat untuk belajar, kawasan cantik yang terpelihara, bahagian pentadbiran yang mesra pelajar; akan melahirkan satu budaya toleransi dan kebersamaan yang cukup kuat,” katanya.

No comments:

Post a Comment