Friday 13 April 2012

DARIPADA TERAPI MENJADI BUKU



SIMBOLIK….Chan (kanan) bersama Masidi (tengah) dan Yoko selepas simbolik perasmian buku itu.

Oleh : SITI AISYAH NARUDIN

PADA tahun 1946, beliau menulis manuskrip buku ini sebagai satu terapi tanpa berniat untuk menerbitkannya mahupun dibaca oleh sesiapapun.

Namun kini, ia berjaya diterbitkan sebagai satu memoir seorang askar Jepun berdasarkan tragedi Kawad Maut Sandakan 1945 pada era perang dunia kedua.

Buku yang dihasilkan dengan tajuk ‘An End To A War’ karya Ueno Itsuyoshi yang baru dilancarkan digarap berdasarkan perspektif lain yang menjadi pelengkap kepada kisah tragedi berkenaan.

Penerbit buku itu, Datuk CL Chan sempat berkongsi mengenai penulisan mendiang Ueno selepas majlis pelancarannya yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun di Kota Kinabalu, baru-baru.

“Buku ini menceritakan dilema moral yang dialami oleh Ueno tatkala melihat kejatuhan empayar Jepun ketika itu.

“Tanpa berselindung di sebalik penjelasan perbuatan yang baik, Ueno turut memperkatakan tentang nilai kemanusiaan yang dilihatnya daripada konflik kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata penulis memilih untuk memberitahu cerita dahsyat mengenai penderitaan yang dialaminya daripada mengulangi retorik kisah wira-wira tentera Jepun.

Chan berkata, Ueno pernah kembali ke Sabah pada tahun 1981 untuk memperingati rakan-rakannya yang terkorban semasa perang dan kisah itu ada dimasukkan di dalam buku ini.

Tambahnya, tidak ramai dari kalangan tentera Jepun yang menulis buku mengenai Kawad Maut dan belum ada lagi yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris setakat ini.

Justeru jelasnya, ini adalah pertama kali pembaca bahasa Inggeris mempunyai akses kepada tragedi Kawad Maut Sandakan dari perspektif Jepun.

“Inilah sebab utama mengapa saya bersetuju untuk menerbitkan buku ini apabila penyuntingnya yang juga orang penting di sebalik projek ini, Dr Richard Wallace Braithwaite memperkenalkannya dua tahun lepas.

“Pertama kali buku ini diterbitkan dalam bahasa Jepun tahun 1984, ia hanya untuk edaran ahli keluarga penulis dan juga rakan karibnya tanpa diketahui oleh ahli sejarah atau mana-mana pihak yang berminat.

“Apabila Dr Richard menjadikannya rujukan, ia kemudian membawa kepada penemuan anak penulis ini memandangkan ketika itu Ueno telah meninggal dunia,” katanya sambil menambah Ueno meninggal dunia tahun 2003 pada usia 88 tahun.

Beliau berkata, Richard berjaya menemui anak sulung Ueno iaitu Yoko Ueno di sebuah perkampungan kecil di Nagano dan hasil pertemuan itu, mereka menjadi kawan dan Yoko bersetuju untuk menerbitkan buku versi terjemahan bahasa Inggeris kepada Richard.

Sementara itu, Richard berkata penerbitan buku dwibahasa itu akan menjadi sebahagian daripada proses penyembuhan bagi keluarga askar yang terkorban atas penderitaan akibat kebencian yang disebabkan oleh perang.

Beliau berkata, kesan parut daripada perang itu sangat mendalam di Sabah dan ramai dari kalangan keluarga yang menderita atas tragedi yang berlaku di Borneo Utara.

“Ada bapa yang hilang tanpa dikesan, ibu yang meninggal dunia akibat penyakit, adik-beradik yang mati kebuluran, ahli keluarga terbunuh dan harta yang dimusnahkan oleh pengeboman. Saya boleh bayangkan tiada kekejaman yang lebih teruk daripada penyeksaan,” katanya.

Richard berkata, buku itu berkisarkan kemarahan yang ditulis oleh seorang lelaki baik yang mana daripada cebisan yang dianggap terapi kemudiannya ia dikongsi bersama keluarga dan saudara-mara bekas askar. (theborneopost)

No comments:

Post a Comment