Monday 9 April 2012

KRT PUPUK NILAI TOLERANSI



CENDERAHATI....Haji Ghulabdin (kanan) sedang menyampaikan cenderahati kepada Pengarah JPNIN Sabah, Nurul Akmalina Hj Shmasuddin sambil disaksikan oleh Pegawai JPNIN Tuaran, Dusin Gingging (kiri).

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PENGARAH Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sabah, Nurul Akmalina Hji Shamsuddin menegaskan bahawa kewujudan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sesebuah kampung diyakini berupaya membantu memupuk nilai-nilai perpaduan dan sikap toleransi di kalangan sesama ahlinya dan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.

KRT yang bergiat aktif dalam pelbagai kegiatan masyarakat setempat menerusi aktiviti sukarelawan, kata Nurul boleh menarik minat penduduk dan menjadi landasan memperkukuhkan semangat perpaduan yang menjadi kunci kepada kehidupan lebih aman dan harmoni.

Nurul Akmalina berkata demikian ketika berucap Merasmikan Majlis Malam Serumpun Perpaduan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kota Tuaran pada malam Sabtu lepas sempena meraikan lawatan muhibbah KRT Kampung Sekambu, Petagas yang telah berlangsung di kediaman Pengerusi KRT Kampung Kota Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih.

Beliau memuji langkah KRT Kampung Sekambu, Petagas kerana memilih KRT Kampung Kota Tuaran untuk menjayakan kegiatan lawatan seperti itu bagi memupuk integrasi dan memberikan peluang kepada ahli-ahli yang terlibat untuk mengenali lebih dekat adat dan budaya tempatan.

"Sesungguhnya saya lebih suka setiap KRT terlebih dahulu melakukan lawatan di dalam negeri sendiri dan sebaiknya kita hendaklah mengenali dengan lebih dekat lagi akan setiap budaya dan adat resam tempatan, sebelum membawa peserta atau ahli-ahli KRT mengadakan lawatan ke luar negeri," kata Nurul yang berpendapat bahawa apabila kita telah berada di luar negeri, kita bukan sahaja menjadi duta kepada kawasan KRT sendiri, malah mudah bagi kita untuk memberitahu kepada orang luar tentang pelbagai tempat dan budaya yang jadi tarikan kepada mereka untuk berkunjung ke negeri kita.

PENGURUS........Kelihatan kedua-dua Pengurus Pasukan Futsal KRT Kampung Sekambu Petagas dan KRT Kampung Kota Tuaran sedang bertukar-tukar cenderamata.

Kewujudan KRT kata Nurul sememangnya amat tepat dan bersesuaian dengan tujuannya sebagai saluran untuk menanamkan sikap hormat menghormati serta memupuk semangat perpaduan di peringkat akar umbi dan melibatkan rakyat di sekeliling dalam mengapai arus pembangunan negara.

"Adalah menjadi harapan kerajaan menerusi JPNIN agar semua pihak terus berganding bahu dalam mencapai aspirasi pimpinan ke arah membina perpaduan nasional dan membantu untuk merealisasikan hasrat menyemai semangat satu bangsa Malaysia menerusi pelbagai kegiatan yang dianjurkan oleh semua kawasan KRT di negeri ini, " kata Nurul lagi.

Sehubungan itu Nurul berkata, penganjuran Majlis Malam Serumpun Perpaduan sempena lawatan KRT Kampung Sekambu Petagas itu akan dapat memperkukuhkan jalinan kerjasama di antara kedua KRT dan memberi peluang beriteraksi secara lebih dekat.

Majlis malam Serumpun Perpaduan itu juga telah menyampaikan penganugerahan kepada Allahyarham Mohamad Sabi Ahmad, Timbalan KRT Kampung Kota Tuaran yang telah kembali kerahmatullah pada awal tahun ini.

Anugerah berbentuk Sijil penghargaan dan wang tunai itu telah disampaikan oleh Nurul Akmalina yang diterima sendiri oleh balu Allahyarham Puan Ramlah @ Aulah Man.

"Pemergian Allahyarham Mohamad Sabi Ahmad adalah merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasi oleh ahli-ahli KRT Kampung Kota Tuaran, banyak sumbangan yang telah diberikan oleh Allahyarham selama bersama-sama dengan KRT kampung ini, maka dengan yang demikian wajarlah pemergiannya diingati dengan sedikit anugerah jasanya dikenang,"kata Nurul Akmalina.

Majlis Malam Serumpun Perpaduan tu turut dihadiri leh Pengerusi KRT Kampung Kota Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih; Pegawai JPNIN Daerah Tuaran, Dusin Gingging; Penolong Pengarah Sektor RT JPNIN Sabah, Marhadi Adin; Timbalan Pengerusi KRT Kampung Kota, Ali Shakbar Amin; Ketua Rombongan KRT Kampung Sekambu Petagas, Haji Amat Amoi; Keua Penerangan Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) Tuaran, Haji Awang Puasa Jambul; Pengerusi Persatuan Anak Negeri Tuaran (PANSA), Ibrahim Ali Omar; Ketua Kampung Seri Bayu, KK Haji Ismail Setuh; Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tuara, Agustan Nanti dan Pengerusi Masjid Baitul makmur Kampung Kota, Haji Adis Enjih.

Sementara itu pelbagai kegiatan yang telah diadakan sepanjang lawatan KRT Kampung Sekabu Petagas di Kampung Kota Tuaran, termasuklah perlawanan Futsal lelaki dan Wanita yang telah berlangsung di Gelanggang Futsal Tambalugu dan kedua-dua perlawanan tersebut telah dimenangi oleh pasukan pelawat dari KRT Kampung Sekambu Petagas.

No comments:

Post a Comment