Tuesday 17 April 2012

PEMANSUHAN ISA PAMERKAN INTEGRITI



Oleh : YONG SOO HEONG

HARI INI merupakan hari penting bagi Malaysia dari segi pembaharuan undang-undang kerana ia membuka jalan ke arah memenuhi norma hak asasi manusia antarabangsa.

Pembentangan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Parlimen di sini hari ini menunjukkan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengotakan janjinya untuk memansuhkan undang-undang yang dianggap tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

Ia juga mempamerkan dengan jelas kesediaan dan kesanggupan kerajaan mengetepikan undang-undang yang mungkin tidak lagi seiring dengan Perlembagaan Persekutuan.

ISA, yang digubal lebih 51 tahun lepas, sering dilihat sebagai undang-undang drakonian dan bersifat menindas, terutama peruntukan pencegahan di dalamnya, yang membolehkan seseorang itu ditahan tanpa dibicarakan.

Undang-undang yang dicemuh dan dikatakan secara jelas melanggar hak asasi manusia ini dianggarkan telah menyebabkan lebih 10,000 orang ditahan tanpa dibicarakan.

Oleh itu, pembentangan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 ini merupakan langkah progresif ke arah menjunjung hak serta kebebasan asas rakyat negara ini.

Sebagai ganti bagi kebenaran menahan individu tanpa perbicaraan selama hingga dua tahun atas perintah Menteri Dalam Negeri yang terkandung dalam ISA, undang-undang baru ini memperuntukkan tempoh tahanan maksimum selama 28 hari bagi tujuan penyiasatan.

Undang-undang baru ini juga dengan jelas menyatakan bahawa tiada mana-mana individu boleh ditangkap semata-mata kerana keyakinan politik atau kegiatan politiknya.

Bagaimanapun, Rang Undang-undang ini tetap membenarkan mana-mana pegawai polis menangkap dan menahan "sesiapa sahaja yang beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa orang berkenaan terlibat dengan kesalahan keselamatan", tanpa memerlukan waran, selama 24 jam untuk tujuan penyiasatan.

Ketika membentangkan Rang Undang-undang itu untuk bacaan kali kedua, Najib memberi jaminan bahawa mereka yang ditahan, bebas mengemukakan permohonan habeas corpus kepada mahkamah.

Mereka boleh mencabar alasan penahanan dan prosedur penahanan di mana kuasa untuk melakukan semakan semula kehakiman dikembalikan sepenuhnya kepada mahkamah, berbeza dengan peruntukan yang terkandung dalam ISA yang menghalang kuasa mengadakan semakan semula, kecuali dalam kes berhubung prosedur penahanan.

Beliau juga menegaskan bahawa pihak berkuasa akan menghormati sebarang keputusan mahkamah dan seseorang yang dilepaskan, tidak akan ditahan semula bagi tujuan penyiasatan untuk kesalahan yang sama.

Pada Hari Malaysia (16 Sept) tahun lepas, Najib mengumumkan tiga inisiatif di bawah transformasi politik yang melibatkan pemansuhan Perisytiharan Darurat, ISA, Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Buang Daerah 1959, penggubalan Akta Perhimpunan Secara Aman serta pindaaan terhadap Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984.

Turut dicadangkan ialah penggubalan undang-undang baru untuk menggantikan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 yang akan memansuhkan syarat yang mewajibkan penerbit akhbar memperbaharui lesen penerbitan mereka setiap tahun.

Walaupun mungkin ada pihak bimbang bahawa tindakan memansuhkan akta tersebut akan membuka jalan kepada wujudnya keadaan "bebas sebebas-bebasnya" dari segi penyiaran berita yang dianggap boleh menyalakan api kemarahan atau bersifat menghasut di sesetengah negara, tetapi mereka yang mahir dalam undang-undang pula berpendapat bahawa peruntukan yang terkandung dalam undang-undang sedia ada lain, sudah memadai untuk mengekang keadaan itu daripada berlaku.

Kata-kata yang diucapkan Najib di Parlimen hari ini perlu diberi perhatian: "Yang penting ialah kita membina sebuah negara di mana kedudukan tinggi perlembagaan dan kedaulatan undang-undang menjadi pelindung bagi setiap individu agar dia bebas menyuarakan pendapat, mengkritik, menyokong, mempunyai pandangan berbeza, membabitkan diri dengan politik dan menganggotai mana-mana persatuan.

"Kesimpulannya, tiada siapa yang akan dihukum kerana mengamalkan haknya seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara."

Pendekatan berani Najib dalam melaksanakan pembaharuan undang-undang memang patut dipuji dan malah, Perdana Menteri Britain David Cameron sendiri berkata demikian ketika beliau berkunjung ke Malaysia baru-baru ini. (Bernama)

8 comments:

  1. ISA memang tidak relevan lagi dengan keadaan sekarang. memang wajar dimansuhkan dan ditukar dengan akta yang baru.

    ReplyDelete
  2. Good to know that the government is willing to abolish the ISA as promised.

    ReplyDelete
  3. Make sure that no one will be detained without trial after the ISA has been abolished.

    ReplyDelete
  4. Akta yang ada biarlah relevan sejajar dengan hak asasi manusia.

    ReplyDelete
  5. pasti ramai rakyat berpuas hati dengan pemansuhan ISA

    ReplyDelete
  6. pemansuhan ISA memperlihatkan kerajaan menjaga hak asasi manusia.

    ReplyDelete
  7. Akhirnya undang-undang tersebut dimansuhkan. Maka kita mahu kerajaan akan meneliti kembali akta baru yang lebih sesuai.

    ReplyDelete
  8. setelah 51 tahun akta ISA diguna pakai, akhirnya ia dimansuhkan diera pentadbiran Najib.. syabas!

    ReplyDelete