Tuesday 10 April 2012

WARISAN BANGSA BAJAU DIJULANG MEGAH

Oleh : SHAIMON S JUMADI

PROMOSI Makanan Tradisional Bajau Semporna perlu diperkenal dan diketengahkan bukan sahaja kepada masyarakat setempat, bahkan juga kepada masyarakat luar agar tradisi ini kekal untuk diwarisi sepanjang zaman.

Contoh paling makanan suku kaum Bajau yang telah diwarisi sejak turun temurun ialah 'Piutuh dan Sianglag' yang dibuat daripada ubi kayu dan menjadi makanan ruji penduduk Sabah yang berketurunan Bajau.

Jadi sesuai dengan sambutan Majlis Pesta Air Regatta Lepa-Lepa yang ke 19 akan datang ini, bukan sahaja promosi makanan ala suka Bajau dipamerkan, bahkan banyak lagi aktiviti-aktiviti etnik Bajau lainnya perlu diketengahkan untuk tatapan dan santapan para pengunjung nanti.

Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen P189 Semporna yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana program tersebut, Haji Hisham Hj Abd menjelaskan perkara ini kepada Wartawan Kanan Sabahkini.Net kelmarin di pejabatnya mengenai persiapan-persiapan yang sudah siap diatur.

Kata Hj Hisham lagi, selain daripada itu, satu acara baru yang disebut sebagai Kolokium Suku Bajau juga akan diperkenalkan pada tahun ini kepada masyarakat; lebih menjurus kepada adat resam dan budaya etnik bajau yang belum pernah ditonjolkan kepada masyarakat setempat dan penduduk luar dari Semporna.

Sempena majlis sambutan program ini, pihak penganjur telah meminta bantuan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) melalui Unit Penguatkuasa Pencegah Maksiat untuk mengadakan rondaan berkala bagi tujuan pengawasan agar tiada pengunjung menyalahgunakan program ini untuk melakukan maksiat.

"Tidak dinafikan ramai di kalangan remaja suka mengambil kesempatan untuk melakukan perkara-perkara keji ini dengan pasangan masing-masing di musim menyambut perayaan sebegini di tempat-tempat tersembunyi. Ini sudah menjadi trend golongan remaja berbuat dan dewasa berbuat sedemikian” tegas Hj Hisham lagi yang mendesak agar JHEAINS lebih proaktif membanteras gejala maksiat ini.

No comments:

Post a Comment