Friday, 1 October 2010

BADAN PERHUBUNGAN UMNO SABAH DIBUBAR?



Oleh: SURIATI MAHMUD

MUNGKINKAH Badan Perhubungan UMNO Sabah sudah dibubarkan? Jika tidak, kenapa Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak menggunakan UMNO Bahagian Kudat dan Kota Belud sebagai pengendali programnya di dua daerah tersebut pada 3 dan 10 Oktober akan datang.

Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Kunsul Nahul ketika menghubungi Sabahkini.net kesal kerana tindakan Shafie membelakangkan Badan Perhubungan UMNO Sabah dalam semua programnya termasuk di Lahad Datu mencerminkan ‘retak menanti belah semakin kelihatan’ di mata ahli UMNO.

Tegas Kunsul, beliau menafikan laporan bahawa 70,000 hadir di Majlis Rumah Terbuka Shafie di Padang Bandaran Lahad Datu kerana beliau yang hadir dan mendengar ucapan Shafie dalam jangka masa yang agak lama hanya menganggarkan tidak sampai 7,000 yang hadir dan bukannya 70,000 seperti yang digembar-gemburkan penyokong Shafie.

“Saya agak kesal kerana sebagai Naib Presiden UMNO yang kami sanjungi, sepatutnya Shafie berunding dan bekerjasama dengan Badan Perhubungan UMNO Sabah dan UMNO di semua bahagian di Sabah untuk apa juga program agar kelihatan lebih mantap dan mengukuhkan perpaduan, sekaligus menafikan khabar angin dua pemimpin UMNO (Musa dan Shafie) bermusuhan,” ujar Kunsul yang mahu melihat dua pemimpin ulung ini melupakan sengketa peribadi demi kesinambungan perjuangan UMNO Sabah.

Menurut Kunsul, beliau dimaklumkan bahawa Shafie akan menghadiri Rumah Terbuka Wanita UMNO Kudat pada 3 Oktober 2010, namun langsung tidak melibatkan UMNO Kudat; apatah lagi langsung tidak menjemput Ketua Menteri menghadirinya.

“Begitu juga dengan Program Rumah Terbuka anjuran PKMM di Pusat Giat Mara Kota Belud pada 10 Oktober 2010, langsung tidak melibatkan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah dan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Datuk salleh Tun Said,” ujar Kunsul yang semakin bimbang UMNO akan kehilangan kuasa jika para pemimpin Pusat seperti Shafie hilang fokus dan hanya mementingkan diri sendiri.

Kunsul agak kesal kerana program yang akan dihadiri Shafie ini hanya diuruskan oleh ‘Orang Kuat Shafie’ yang mendapat banyak projek runding harga atau tender terhad seperti Mastan Hassan, Salleh Jawi, OKK Tungking dan sebagainya.

“Apakah motif sebenar Shafie melakukan demikian dan saya harap agar Presiden UMNO menegur Shafie sebelum terlambat,” rayu Kunsul yang bingung dengan perkembangan politik mutakhir antara pemimpin UMNO Pusat dan pemimpin UMNO Sabah yang semakin tidak sehaluan sehingga memecahkan dan melemahkan UMNO kerana mewujudkan semangat assobiyah atau berpuak-puak.

Kunsul menarik perhatian bahawa beliau adalah penyokong setia Shafie, namun bukan menjadi halangan kepada beliau untuk menegur sikap buruk Shafie yang sudah mula melupakan daratan setelah memenangi jawatan Naib Presiden UMNO dan memegang peruntukan yang besar di Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar.

No comments:

Post a Comment