Oleh : PEMERHATI POLITIK SEMPORNA (PPS)
TIDAK sampai 24 jam selepas Sabahkini.net melaporkan mengenai kedudukan PKR Cabang Semporna yang lumpuh semalam, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah di bawah Pimpinan Ahmad Tamrin Jaini telah bertindak dengan bijak dan cekap setelah mengarahkan Wakil JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) yang hadir di pemilihan cabang Semporna pada 25 September 2010 bersama Wakil Perasmian Mesyuarat berkenaan iaitu Ketua Cabang PKR Silam, Johani Bin Abdul Halim untuk datang ke Semporna bagi mengakhiri ‘Krisis Tebusan Peti dan Kertas Undi Cabang’ yang telah berlanjutan selama 5 hari bertempat di Pejabat Cabang PKR Semporna.
Tindakan bijak dan cekap MPN Sabah telah berjaya memujuk Mantan Ketua Cabang, Abdul Wahab Bin Pg.Abdullah untuk menyerahkan kesemua peti dan kertas undi Cabang Semporna kepada JPP yang berada di Pejabat PKR Cabang Semporna petang tadi.
Disamping itu bagi memastikan ketelusan dan integrity, sebelum kertas undi berkenaan dipindahkan beberapa calon dan wakil mereka diberi peluang untuk menyaksikan dan memeteri semua tong kertas undi itu sebelum dipindahkan.
Kertas Undi PKR Cabang Semporna dihantar ke Pusat dan disaksikan oleh calon-calon yang bertanding termasuk Abdul Wahab Pg. Abdullah dan Piramli Barahim.
Bagi Calon Timbalan ia disaksikan oleh Asaman sebagai penyandang dan Mohammad Abdul Basa, sementara itu Calon Naib Ketua Cabang disaksikan oleh Haji Mohd. Saufi.
Semua Kertas Undi dimateri (Seal) dan disaksikan oleh wakil Calon yang diberi peluang untuk memastikan pemindahan tong kertas undi itu adalah telus dan selamat untuk dibawa ke Ibu Pejabat Parti di Kota Kinabalu.
Bagi memastikan ketelusan, semua pihak diminta bersabar dan akan dimaklumkan serta dijemput untuk menghadiri pengiraan kertas undi berkenaan apabila dimaklumkan nanti oleh Pihak JPP yang akan mengambil tindakan segera.
Dengan Pemindahan peti dan kertas undi berkenaan ke dalam kenderaan yang disediakan, maka berakhirlah ‘Krisis Tebusan Kertas Undi Selama 5 Hari’ dengan selamat dan disaksikan oleh mereka yang mempunyai kepentingan dan calon-calon bertanding.
No comments:
Post a Comment