Oleh: MUTALIB M.D
KEMUNGKINAN berlaku pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan apabila Parti Maju Sabah (SAPP) yang diterajui Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berminat untuk mencuri peluang sebagai persediaan untuk berjuang bersendirian tanpa menyambut pelawaan Pakatan Rakyat, terutama untuk memberikan laluan satu lawan satu dengan Barisan Nasional.
Yong yang sebelum ini mewakili DUN Likas sebelum dilucutkan ‘hak’ melalui petisyen pilihanraya kecil Likas 1999, mula bekerja keras secara senyap selepas pilihanraya umum lalu (2008) melalui program turun padang; semakin diterima rakyat, terutama Bumiputera yang merasa disisihkan oleh Kerajaan BN selama ini.
Percubaan Yong untuk menggempur kubu BN (Batu Sapi) ibarat menikam Pakatan Rakyat daripada belakang sekalipun SAPP masih kekal sebagai parti ‘Bebas’ kerana kerusi berkenaan masih diperuntukkan kepada PKR setelah SPR menolak kertas pencalonan calon PKR, Dr Yusof Ahmad disebabkan masalah teknikal.
Yong mengambil peluang untuk meniupkan ‘semangat parokial’ apabila Adun Sekong, Datuk Samsuddin Yahya ‘mendidihkan’ kemarahan orang Cina setelah menurunkan papan tanda tiga bahasa di beberapa buah Dewan Masyarakat, sedangkan papan tanda berkenaan dipasang sejak di zaman PBS lagi.
SAPP mengekalkan kredit mereka apabila mereka berjaya dalam tiga misi mereka membantah percubaan mendirikan Loji Janakuasa Arang Batu di Lahad Datu, Sandakan dan Tungku; sehingga mampu mendabik dada, bahawa merekalah ‘Pejuang Rakyat’.
Barisan Nasional sudah pasti akan menurunkan mantan Wakil Rakyat Sibuga, yang juga Naib Presiden PBS, Datuk Thien Fui Yun bagi mempertahankan Parlimen Batu Sapi yang diintai PKR setelah mendapat persetujuan mutlak Pakatan Rakyat.
Walaupun Thien kurang pendidikan jika dibandingkan dengan dua bakal calon lain, namun beliau mampu membuat kejutan jika dapat menjinakkan pengundi Cina yang telah memberikan undi mereka kepada pembangkang pada pilihanraya umum lalu.
Dalam keadaan kawasan ‘hijau’ yang mula diturunkan sebagai kawasan kelabu di zaman Datuk Edmund Chung Ket Wah; disebabkan beliau sibuk dengan tugas lain dan pegawainya mula ‘makan di luar’; Thien Fui Yun akan melalui laluan sukar untuk memperolehi majoriti lebih 1,000 undi disebabkan senario politik sudah jauh berubah melalui kebangkitan PKR dan Pakatan Rakyat.
Penindasan demi penindasan yang dilakukan pihak berkuasa ke atas ‘Anak Negeri’ yang bukan sahaja kehilangan tanah, rumah, pekerjaan dan maruah; berubah menjadi dendam kesumat yang hanya boleh dibayar pada pilihanraya kecil kelak.
Melihat kematangan dan pola pengundi di parlimen Batu Sapi, PKR bakal meletakkan Mantan Ketua Perhubungan PKR Sabah dan juga Ahli Majlis Tertinggi PKR Pusat, Haji Ansari Abdullah untuk menentang calon PBS (BN) dan kemungkinan calon SAPP serta beberapa calon bebas daripada serpihan UMNO, SAPP dan PKR.
Ketua Cabang Batu Sapi, OKK Hassnar MP Ebrahim tidak berminat bertanding pada pilihanraya kecil ini dan ingin memastikan PKR menang dengan majoriti yang besar, telah mencadangkan Ansari diturunkan membawa panji-panji PKR.
Sebagai ahli politik veteran yang dilatihtubi Kerajaan Berjaya, UMNO dan PKR, Ansari dijangka boleh memandulkan sokongan terhadap BN dan menang mudah jika PKR menggemblengkan semua jentera parti dengan menimbulkan isu yang sudah lama diperjuangkan PKR; terutama isu tanah dan hak asasi yang diabaikan BN sejak Edmund menjadi Ahli Parlimen Batu Sapi.
Walaupun dibelenggu dengan ‘Pengundi Hantu’ kerana DUN Sekong dan DUN Karamunting merupakan ‘Fixed Deposit’ Barisan Nasional terutama warga ‘Mi Segera’ yang menjadi pertikian selama ini; namun sudah pastinya Ansari dan Hassnar mempunyai strategi untuk mengatasi masalah ini.
Dalam ketakutan yang amat sangat kepada Special Branch (SB) yang sudah pastinya akan menaiki rumah mereka pada malam terakhir sekadar menyampai peringatan ‘Surah BN’ iaitu ‘pastikan BN menang’ jika ingin terus menjadi rakyat Malaysia atau kad pengenalan mereka ditarik balik?
Mampukah SB melakukan kerja sulit ini seperti sebelum ini? Jika anda tidak percaya, sejarah telah membuktikan bahawa lebih 16,693 kad pengenalan yang telah diberikan kepada warga ‘Mi Segera’ ditarik balik iaitu bagi nombor siri H0492001-H0494500, H0539801-H0539999 dan H0540001-H0553999.
Sejak daripada insiden Ala Sun Tzu (Punish Concubine), ramai warga ‘Mi Segera’ tidak lagi berani menyongsang arus menolak BN, apatah lagi dengan bantuan ‘Bala Tentera’ Moro yang bermastautin di Pulau Jampiras.
Kemungkinan kebarangkalian ini sukar diramal kerana ada pihak tertentu dalam UMNO dan BN mungkin menaja ‘IC Terbang’ untuk memastikan pelaburan mereka dalam projek pembangunan BN terjamin.
Pengundi hantu bukan lagi rahsia dan Mahkamah telah mengendali kes IC Palsu setiap masa, terutama Warga Pakistan, India, China, Filipina, Indonesia dan sebagainya yang telah diberi kad pengenalan untuk mengundi oleh pihak tertentu melalui pelbagai modus operandi; namun mereka gagal mengembalikan kad pengenalan yang dipinjam; sama ada dalam bentuk mykad atau resit kad pengenalan sementara.
Dalam peperangan, ‘membunuh itu halal’, dalam politik, penipuan itu ‘harus’ kerana motif sebenar ialah untuk menumpaskan lawan tanpa perlu berperang. Pakatan Rakyat wajib menangkis ‘Saiwar’ BN yang dibalatentera oleh media arus perdana dan SB.
Kebebalan PKR tentang peranan media alternatif di Sabah menyebabkan Pakatan Rakyat, terutama PKR gagal meraih sebarang kerusi, melainkan dua kerusi yang dimenangi DAP secara ‘pembelotan’ iaitu tikam menikam dari belakang (lebih daripada satu parti pembangkang bertanding menyebabkan undi berpecah).
Media Alternatif PKR di Sabah agak lumpuh atau ‘mati pucuk’ gagal menarik minat pengundi atas pagar berbanding dengan DAP atau SAPP yang di ‘up-date’ setiap hari. Ditambah dengan risalah yang menjadi jentera terpenting untuk menangkap rasa cinta rakyat terhadap Pakatan Rakyat dan menepis adu domba atau serangan psikologi BN yang begitu berjaya selama ini, namun tidak dilakukan.
SAPP sudah melangkah jauh apabila mengaktifkan blog khas untuk Pilihanraya Kecil Batu Sapi yang boleh dilayari melalui http://batusapi.blogspot.com/ ketika UMNO, PKR masih terkial dan sekaligus menafikan peranan media alternatif yang telah menumbangkan lima kerajaan BN di Semenanjung.
Rakyat ‘Batu Sapi’ belum mengenali PKR atau Pakatan Rakyat secara harafiah atau holistic, melainkan untuk melampiaskan dendam kepada pemimpin BN; di samping tikam menikam di dalam PKR membuatkan tidak ada yang benar-benar bekerja untuk PKR selama ini.
Kader-kader UMNO di dalam PKR cuba melemahkan parti, telah lama berakar umbi dan hanya kumpulan ‘Kuda Trojan’ yang terdiri daripada 12 orang sahaja yang dihukum ala kadar; manakala ramai lagi ‘Upahan UMNO atau BN’ yang masih bersetinggan di dalam PKR, menunggu peluang untuk melemahkan PKR daripada dalam.
Angka hanya tinggal angka dan tidak akan mampu memenangkan sesiapa jika semua parti yang bertanding tidak menjaga adab sopan pertandingan dan meremehkan peranan rakyat dalam membuat keputusan.
Menjanjikan bulan bintang dan matahari akan menyebabkan Sabah dipenuhi ramai makhluk ‘Avatar’ yang hanya wujud di alam khayalan kerana Sabah kekal sebagai negeri kedua termiskin di Malaysia; sekalipun berbilion peruntukan pembangunan disalurkan ke ‘negara’ ini, sejajar dengan konsep perkongsian kuasa. Namun kehilangan autonomi untuk membelanjakan peruntukan menyebabkan kesemua projek untuk mengkayakan ‘proksi dan kroni’ kerana dikawal oleh Kerajaan atau Kementerian Pusat.
Kerajaan negeri Sabah menjadi lumpuh dan tidak mempunyai sumber kerana Jabatan Pembangunan Negeri hanya tinggal nama disebabkan karenah birokrasi. Jangankan mengharapkan peruntukan RM4 billion yang baru dijanjikan, janji RM1billion yang dibuat di zaman Pak Lah belum kesemuanya tertunai dan hanya satu perempat sahaja yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Negeri Sabah.
Di atas kertas, Sabah adalah sebuah negeri yang ‘Bankrap’ kerana Liabiliti melebihi hasil dan hanya mengharapkan bantuan Kerajaan Pusat yang tidak kunjung tiba. Reserve yang ada tidak menunjukkan keadaan sebenar dan hanya menjadi halwa telinga kerana Kerajaan Negeri banyak menanggung hutang, terutama banyak kes yang diputuskan Mahkamah, tetapi belum dapat dilangsaikan kerana ‘Tabung Negeri’ untuk tujuan berkenaan kosong, sekosong-kosongnya.
Kesimpulannya, pilihanraya kecil Parlimen Batu Sapi bukanlah medan untuk BN atau pembangkang menguji pengaruh; sebaliknya untuk menentukan sama ada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal berjaya kembali ke Sabah sebagai Ketua Menteri atau Datuk Seri Musa Aman kekal sebagai Ketua Menteri untuk satu penggal lagi jika calon BN menang dengan majoriti besar. Benarkah begitu?
No comments:
Post a Comment