Oleh: MUTALIB M.D
MANTAN Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang menjadi ‘Kambing Hitam’ kerana ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akob Damsah @ Yakub Damsah, 57, mendesak Kerajaan Malaysia bertanggung jawab di atas penganiayaan yang dilakukan kerajaan BN ke atas 15 Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara, termasuk beliau pada 1995.
“Jika kerajaan Jepun membayar pampasan kepada ‘Hamba Seks’ tentera Jepun pada zaman Perang Dunia Kedua, kenapa Kerajaan BN tidak langsung mahu bertanggung jawab di atas ‘pemerkosaan mereka’ ke atas kebebasan kami? Bukankah kami yang telah berjasa dengan mematuhi semua arahan pemimpin BN sehingga BN berjaya merampas kuasa daripada PBS?,” tanya Yakub yang kecewa dengan layanan buruk pemimpin BN terhadap semua mangsa tahanan ISA.
Kata Yakub, Kerajaan BN yang ada pada hari ini harus bertanggung jawab membayar gantirugi kepada mangsa ISA yang ditahan secara tidak sah hanya untuk menutupi mulut pembangkang yang berterusan menghentam BN yang menang melalui pintu belakang, iaitu melalui Skandal X-Files.
(Sila Klik untuk besarkan imej)
“Tanpa pengundi hantu dan semua warga asing yang mereka rekrut dan mendapat kad pengenalan dengan menggunakan tangan kami, BN tidak akan bermimpi sampai hari ini untuk memenangi walau satu kerusi di Sabah,” ujar Yakub yang meyakini ‘Ops Gembleng’ telah berjaya mencapai misi menumbangkan kerajaan pilihan rakyat.
Menurut Yakub, beliau dan 14 rakannya memberi peluang kepada BN untuk membersihkan nama mereka dan membayar pampasan yang setimpal dengan dosa pemimpin BN terhadap mereka, kerana mereka telah mencapai kata sepakat untuk membawa isu ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ;untuk menuntut hak mereka kerana Mahkamah di Malaysia menafikan hak berkenaan disebabkan sekatan undang-undang.
Yakub mengambil kesempatan untuk berpesan kepada Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing, agar tidak melayani karenah Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussien yang mencabarnya mengemukakan bukti kerana BN mempunyai seribu dalih untuk menyembunyikan semua bukti bertulis dan atas talian.
“Tidak payah kemukakan sebarang bukti kerana saya dan 14 rakan yang pernah ditahan di bawah ISA adalah bukti hidup yang boleh bercakap dan bertindak atas dasar kesedaran. Kami adalah bukti kejalangan BN, bukannya tulisan di atas kertas yang tidak mampu bersuara,” ujar Yakub lagi.
Jika Parlimen mahukan bukti, kata Yakub, heret kesemua 15 bekas tahanan ISA untuk memberi keterangan secara tertutup di Parlimen.
“Sebagai rakyat Malaysia, kami tidak bersalah. Kami mangsa keadaan ketika nyawa Kerajaan BN berada di penghujung, maka sebagai penyambung tali hayat, kami dikorbankan,” ujar Yakub yang menafikan bahawa mereka terlibat dengan Skandal IC Palsu.
Tegas Yakub, mereka tidak pernah terlibat mengeluarkan IC Palsu, sebaliknya menandatangani semua kad pengenalan biru yang tidak diketahui untuk diberikan kepada siapa di Pusat Operasi JPN melalui Skandal X-Files yang dilindungi kerajaan.
“Semua keterangan saya ada di dalam buku 007-Lelaki Malaysia Terakhir seperti yang saya pegang ini. Tidak ada sepatah ayat ditambah dan tidak ada walau satu ayat berkurang. Semua yang dilaporkan dalam buku ini adalah tepat dan menceritakan 100 peratus kebenaran,” ujar Yakub yang mengakui ada membuat Akuan Berkanun pada 5 Mac 2007 yang memperakui semua keterangannya di dalam buku berkenaan adalah benar dan bonafide.
Menurut Yakub, kesemua 14 orang mantan pegawai JPN yang mangsa tahanan secara tidak bermaruah turut bersedia memberi keterangan di hadapan Perdana Menteri atau Parlimen atau Jawatankuasa Parlimen mengenai Integriti terdiri daripada; Hamzah Tim, Asli Sidup, Balasius Biajin, Mohd Tohid Mohamad, Mohd Nasir Sungip, Ibnu Ham Tajul Arifin, Ishak Yusof Apok, Azmin Karim, Julian Damsah, Mohd Razali Samin, Jumahat Taripin, Abdul Rauf Sani, Zakaria Ahmad dan Kee Zulkifly Kee Abdul Jalil.
“Namun kita hanya akan membuka mulut, jika Kerajaan BN bersedia menebus dosa mereka dengan meminta maaf secara terbuka dan membersihkan nama kami memalui pampasan yang dipersetujui bersama. Jika tidak, kami akan teruskan niat kami mengadu kepada PBB kerana BN telah melakukan kegiatan ‘Pemerdagangan Orang’ dalam skala terbesar melalui Skandal IC Projek ini,” ujar Yakub yang tidak gentar untuk memberi keterangan di mahkamah atau parlimen.
No comments:
Post a Comment