Tuesday, 5 October 2010

JANGAN LAGAKAN PEMIMPIN SABAH!



Saudara pengarang,

Saya ingin menjelaskan berhubung artikel bertarikh 01 Oktober 2010 berhubung kenyataan yang dibuat oleh Kunsul Nahul yang bertajuk ‘Badan Perhubungan Umno Sabah Dibubar?’

Untuk makluman semua ahli UMNO serta Orang Politik di seluruh Negeri Sabah, sebenarnya Dato’ Seri Shafie Apdal tidak pernah membelakangi Badan Perhubungan UMNO Sabah dalam kesemua programnya.

Kenyataan oleh Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Kunsul Nahul adalah tidak benar dan merupakan kenyataan yang membabi buta tanpa usul periksa dan tidak bertanya apa yang berlaku sebaliknya.

Program Rumah Terbuka Daerah Lahad Datu baru-baru ini merupakan program yang dianjurkan oleh Kementerian KKLW bersama agensi-agensi di bawah kementeriannya.

Difahamkan bahawa Dato’ Seri Shafie Apdal telah mengundang kesemua Badan Perhubungan UMNO serta ketua-ketua Bahagian di seluruh Sabah bagi menghadiri program tersebut.

Apa yang saya ketahui sebahagian daripada pemimpin-pemimpin UMNO ramai yang hadir dan program itu telah berjaya menyatukan ahli-ahli UMNO yang baru dan veteran, dan yang membanggakan lagi ahli-ahli UMNO yang selama ini tersisih/tersingkir daripada pemimpin telah kembali bersatu menyatakan taat setia kepada UMNO Sabah.

Jadi saya tidak nampak Ketua Perhubungan UMNO Sabah Dan Naib Presiden UMNO Malaysia belakang-membelakangi serta berselisih berkaitan politik dan kuasa di Sabah seperti yang diwar-warkan dalam Sabahkini.net oleh orang yang cetek pemikiran (tidak pandai) berpolitik seperti Konsul Nahul dan yang lain serta ahli-ahli politik yang sering mengampu kepada kedua-dua pemimpin ini.

Anda harus ingat bahawa kedua-dua pemimpin ini bertanggungjawab ke atas kemenangan besar BN di Sabah pada PRU-12.

Menyentuh berhubung program Rumah Terbuka Wanita UMNO Kudat pada 3 Oktober dan PKMM di Pusat Giat Mara Kota Belud pada 10 Oktober ini, program tersebut bukan anjuran Dato’ Seri Shafie Apdal dan sepatutnya yang bertanggungjawab untuk menjemput kehadiran Badan Perhubungan UMNO Sabah serta Pemimpin-pemimpin UMNO, tuan rumah yang menganjur program tersebut begitu juga sebaliknya di Kota Belud.

Saya juga sangat kesal dengan kenyataan Kunsul menyalahkan sepenuhnya kepada Dato’ Seri Shafie bahawa program PKMM di Pusat Giat Mara Kota Belud diuruskan oleh ‘Orang Kuat Shafie’ seperti Mastan Hassan, Salleh Jawi, OKK Tungking yang kononnya mendapat banyak projek dalam bentuk rundingan harga atau tender terhad.

Saya ingin bertanya Konsul, kenalkah dengan orang yang anda sebutkan ini? Mengapa tidak bertanya secara peribadi kepada mereka? Kenapa mereka tidak mengundang Timbalan Perhubungan UMNO Sabah ke Program Rumah Terbuka tersebut?

Apa nama projek dan berapa banyak projek yang mereka dapat? Buktikan dan tunjukkan Surat Tawaran Projek Tersebut? Jangan menuduh orang hanya kerana mendengar khabar angin saja.

Secara peribadi saya kenal Kunsul Nahul yang merupakan penyokong setia Dato’ Seri Shafie dari dulu hinggalah sekarang, cuma telah tersilap menilai kepimpinan Dato’ Seri Shafie hanya kerana mendengar cerita khabar angin di dalam kedai kopi yang duduk minum dari pagi hingga ke petang.

Saya nampak Kunsul berjalan mundar-mandir semasa menghadiri Rumah terbuka di Lahad Datu baru-baru ini. Kehadiran orang ramai pada ketika itu memang mencecah 70,000 dan bukannya 7,000 seperti kenyataan Kunsul.

Saya rasa Kunsul perlu memakai cermin mata kerana penglihatannya semakin kabur. Secara jujurnya lebih baik Kunsul berhenti dari menyebarkan khabar angin ini yang tidak diketahui keadaan sebenarnya. Ini adalah fitnah semata-mata. Lebih baik Kunsul tumpuhkan perhatian kepada penyatuan ahli-ahli UMNO di bahagian Silam kerana di bahagianlah yang menyekat Kunsul untuk menjadi pemimpin.

Saya juga menyeru dan merayu kepada pemimpin serta Ahli-Ahli UMNO di Negeri Sabah, agar berhentilah membuat kenyataan yang menyinggung perasaan Pemimpin UMNO dan ahli-ahlinya, baik peringkat tertinggi mahupun yang rendah.

Janganlah melaga-lagakan kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO Sabah ini (Datuk Seri Musa Hj. Aman dan Dato’ Seri Shafie Hj. Apdal) kerana pemimpin ini adalah yang terbaik di Negeri Sabah.

Soal siapa yang bakal menjadi Ketua Menteri Sabah yang akan datang jangan dibangkitkan kerana secara peribadi saya suka yang dahulu dikekalkan selagi boleh.

Berhubung dengan pemberian kontrak projek sama ada peruntukan kerajaan Negeri mahupun kerajaan Persekutuan yang bakal diberikan kepada kontraktor dari Sabah, sepatutnya kita menyokong sepenuhnya.

Yang penting Negeri Sabah ini maju dari segi pembangunan baik api, air, jalan raya dan sebagainya. Kita harus fokuskan agar penghujung tahun 2012 semua pasarana di Negeri Sabah ini setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Jangan asyik mengomplen saja, kerana ia akan membantutkan perlaksanaan sesuatu projek dan pembangunan.

Seperti yang dilakukan oleh Abdullah Sani baru-baru ini dalam kenyataannya berhubung perlaksanaan 16 projek mega NKRA di Negeri Sabah,saya harap orang seperti dia ini, kita rakyat sabah juga ahli UMNO jangan memperdulikannya.

Dia ini bukan ahli UMNO, kalaupun Ahli tapi atas pagar. Dia juga bukan seorang pemimpin, tapi menganggap dirinya sebagai seorang pemimpin dan pembela nasib rakyat. Beliau bercakap mengenai projek, tetapi tidak mempunyai lesen PKK biarpun kelas F, tetapi komplen mengenai pemberian projek mega bukan main lagi.

Menurutnya ramai kontraktor yang berjumpa dengannya bertanyakan pemberian projek mega 16 di Sabah yang menurutnya tidak telus dan hanya di berikan kepada kroni-koroni menteri terbabit.

Saya rasa Abdullahsani harus melihat wajahnya di cermin dan tanya pada diri sendiri, siapa saudara menentukan ketelusan pemberian projek di Sabah. Siapakah Abdullah Sani ini? Adakah dia ini anak kepada Perdana Menteri atau Ketua Menteri? Adakah dia ini pegawai kerajaan?

Salam Hormat,

PENYOKONG UMNO SABAH

1 comment:

  1. kadang-kadang kita nda terfikir ada pak dalang disebalik senerio lagak melagak ini bak kata seorang kawan wartawan,ada orang yang suka Umban Batu Sembunyi Tangan...supaya pemimpin2 kita yang diadu domba basabung,berpecah lepas itu baru senang yang berkepentingan muncul kunu2 dia sebagai Sang Hero huhu Jangan paksa kalau sudah tiada aksara menakah puncak gunung!-rsyadhussin.blogspot.com

    ReplyDelete