Thursday, 21 October 2010

RASIONALNYA SAPP BERTANDING DI BATU SAPI?



Oleh: PAK MAIL

NAMPAK gayanya PRK Parlimen Batu Sapi sudah tidak dapat dielakkan lagi untuk barisan pembangkang SAPP dan PKR untuk bertembung sesama sendiri selain BN yang mempertahankan kerusi itu yang kosong berikutan kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah.

Meskipun pucuk kepimpinan PKR terutamanya, de’facto Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen dua hari lepas mengesahkan bahawa PR memberi mandat kepada PKR untuk meletakkan calonnya pada PRK Parlimen Batu Sapi, namun beliau (DSAI) masih mengharapkan agar SAPP turut memberikan laluan kepada PKR.

Manakala di suatu pihak kepimpinan SAPP sudah membuat kata putus menerusi mesyuarat Ahli Majlis tertinggi parti bahawa SAPP tetap akan meletakkan calonnya di PRK Parlimen Batu Sapi atas kehendak dan restu semua peringkat kepimpinan terutamanya di peringkat akar umbi SAPP, khususnya di Parlimen Batu Sapi.

Berdasarkan fakta dan rekod, pengundi Melayu agak menonjol sebagai pengundi majoriti di kawasan itu dengan mencecah lebih 60 peratus, namun pengundi Cina turut mengekori jumlah peratusan tersebut tetapi jika dikira secara rawak, perolehan sokongan pengundi Melayu antara pembangkang dengan BN akan melihat lebih menonjol kira-kira 40 peratus berpihak kepada BN.

Manakala pengundi Cina dan bangsa lain sudah pastilah akan berpihak kepada SAPP jika mereka dapat menonjolkan seorang calon dari kalangan pemimpin Cina yang dikenali di situ serta digeruni kewibawaannya. Perkiraan ini berlandaskan keputusan perolehan undi yang diperolehi pada PRU12 mengikut keputusan daerah-daerah mengundi.

Sekiranya perkiraan ini akan menjadi trend, sudah pastilah SAPP paling layak bertanding di kawasan tersebut berdasarkan fakta perkiraan sokongan walaupun belum ada kepastian yang jelas daripada sentimen para pengundi Parlimen Batu Sapi, namun maruah dan objektif perjuangan SAPP sebagai sebuah parti pembangkang tempatan; tidak boleh tidak untuk menidakkan kehendak rakyat atau mengalah begitu sahaja.

Sedangkan, rakyat yang selama ini telah meletakkan parti itu sebagai suatu sandaran bagi rakyat pelbagai kesukuan dan agama dalam memburu keadilan dan demokrasi yang semakin terhakis, termasuk usahanya memulihkan kuasa autonomi di Sabah jika SAPP terus diberi mandat oleh rakyat Sabah pada PRU13 kelak.

Apa pun, barisan pembangkang terdiri daripada PR dan SAPP dan kemungkinan Parti Bersekutu tidak perlu menghukum SAPP sebagai tidak berkerjasama mahu pun menikam kawan dari belakang atau mungkin SAPP dilabel sebagai bersekongkol dengan BN sebagai ejen pemusnah PR di Sabah.

Ungkapan tersebut tidak seharusnya timbul kerana dalam perjuangan yang melibatkan kepercayaan rakyat, demi negeri dan Negara, sudah pasti ia bukan trend bagi pemimpin-pemimpin sesebuah parti politik yang berfikiran matang bertindak sedemikian rupa, lebih-lebih lagi tunggak kepimpinan SAPP yang dipenuhi para pemimpin yang matang dan berpengalaman.

Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee merupakan pemimpin yang serba boleh kerana boleh berinteraksi dengan semua kaum di negeri ini tanpa mengira anutan agama, malah beliau merupakan seorang pemimpin yang berani serta lantang menyuarakan sesuatu isu yang tidak disenangi rakyat Sabah termasuk pengabaian kandungan 20 Perkara.

Beliau yang pernah menjadi Ketua Menteri Sabah ketika dalam kerajaan BN (sistem penggiliran) banyak membuka ruang perniagaan khusus untuk masyarakat Bumiputra, penempatan masyarakat Murut yang tidak bertanah dalam hutan simpan kerajaan FMU, malangnya baru-baru ini semua rumah yang ada di FMU diroboh kerajaan dan dibakar, manakala penghuninya diusir keluar.

Rakyat Sabah percaya dan yakin bahawa suatu hari nanti para pengundi akan faham bahawa hanya dengan memperkasakan perjuangan mereka menerusi parti pembangkang untuk memulihkan maruah dan ketidak senangan hati mereka terhadap kepimpinan kerajaan BN sekarang yang semakin menjadi-jadi akan dapat dihancurkan.

Rakyat telah sedar dan faham bahawa PRK Parlimen Batu Sapi bukanlah dapat merobah corak pemerintahan kerajaan di Sabah mahupun di Malaysia, tetapi dengan bakal kekalahan BN di Parlimen Batu Sapi melalui PRK ini, dunia dan rakyat Malaysia akan mengerti bahawa rakyat sudah mula menunjukkan taring untuk mengambil alih teraju kerajaan dari kebuasan BN pada PRU13.

No comments:

Post a Comment