Saturday, 5 November 2011

30 MESEJ BASMI MISKIN TEGAR



Oleh : SHAIMON S JUMADI

MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr.Ewon Ebin, berkata bajet transformasi ini dibentuk sejajar dengan lima tumpuan utama iaitu meligatkan pelaburan; mengungguli modal insan dan mencernakan kreativiti sekali gus mencetuskan inovasi.

Katanya pembentangan Bajet 2012 yang telah memperuntukkan sebanyak RM232.8 billion berbanding RM212 billion pada tahun lepas disasarkan untuk pelaksanaan semua rancangan pembangunan kerajaan.

“Ia termasuk projek dan program di bawah pelan rolling kedua iaitu Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Bidang Kebersihan Utama Negara (NKRA) serta Inisiatif Pembangunan Strategik (SRI)” jelasnya

Dalam pada itu, ujarnya, kementerian beliau sepanjang 2006-2011 berjaya melaksanakan pelbagai program pembangunan melibatkan sosio-ekonomi khusus untuk kesejahteraan masyarakat di kawasan luar bandar.

Katanya, pelaksanaan program pembasmian kemiskinan seperti Mini Estet Sejahtera (MESEJ), Program Peningkatan Ekonomi Setempat (PPES), Bina Kasih dan Kursus Kemahiran serta Keusahawanan Desa berjaya mencapai matlamat membasmi kemiskinan ke arah pensifaran miskin tegar.

"Pada ketika ini, terdapat 30 buah projek MESEJ (Pertanian), lapan berbentuk Akuakultur dan tujuh lagi Mikro di dalam pelbagai tahap pelaksanaan yang akan melibatkan lebih kurang 1,746 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar atau KIRMT.

"Sehubungan dengan itu, projek ladang di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Ladang PPRT Kalabakan di Tawau telah memberi manfaat kepada seramai 1,068 KIRMT, di mana dividen sebanyak RM400 sebulan sudah dibayar sejak bulan Januari tahun lalu," tambahnya.

Ewon berkata demikian ketika berucap menutup Kursus Pengurusan dan Pentadbiran JKKK/JKDB Bagi Kawasan N.39 Sugut, Paitan di Ballroom Hotel Sandakan, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut, Datuk Surady Kayong; Naib Ketua Umno Bahagian Beluran, Mahmud Awang Hussin; Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Luar Bandar Sabah, Ali Bakar Latif; Pemimpin-pemimpin masyarakat Sugut dan peserta terdiri dari pengerusi JKKK serta JKDB kawasan tersebut.

Mengenai kursus itu, Ewon berharap peranan JKKK dan JKDB terus dimantapkan bersesuian dengan matlamat asal penubuhannya dengan memberi tumpuan kepada aspek perpaduan, keselamatan dan peningkatan sosio-ekonomi rakyat ke arah menuju negara maju menjelang 2020.

Katanya, sistem pengendalian dan penyampaian JKKK dan JKDB perlu sentiasa dinilai serta dipertingkatkan dari semasa ke semasa memandangkan amalan budaya kerja secara berpasukan menjadi pemudahcara kepada masyarakat setempat.

Malahan menurutnya lagi, pengerusi-pengerusi JKKK dan JKDB adalah pemimpin di peringkat akar umbi yang perlu menjadi teladan baik kepada rakyat secara keseluruhannya.

"Amalan prinsip integriti yang tinggi dan penterjemahan nilai-nilai murni dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab akan menjadi kunci kepada kemajuan masyarakat bagi sesebuah kampung.

"Perkhidmatan yang berpegang kepada prinsip cekap dan amanah dengan sendirinya mendorong rakyat setempat untuk terus menyokong dan menghormati badan JKKK dan JKDB ini.

"Oleh itu, saya berharap pengerusi-pengerusi JKKK dan JKDB agar tidak leka terhadap aspek-aspek yang berkaitan dengan keselamatan kampung. Isu-isu keselamatan seperti kehadiran pendatang tanpa izin, gejala lepak, aktiviti rendah moral dan penyalahgunaan dadah perlu diberikan perhatian khusus sekali gus dijadikan sebagai agenda tetap dalam mesyuarat bulanan badan berkenaan," kata beliau.

Beliau juga mahu golongan belia melibatkan diri dalam setiap aktiviti JKKK dan JKDB yang melibatkan kursus meningkatkan ketrampilan dan jati diri termasuk juga kursus-kursus berkaitan kemahiran dan peningkatan ekonomi.

Ini secara tidak langsung memberi ruang untuk semua pihak mendekati golongan tersebut dan seterusnya mengenal pasti keperluan serta aspirasi mereka, tambah beliau.

No comments:

Post a Comment