Oleh : ALKAM AB LATIF
“Sebenarnya istilah tsunami ini tidak tepat pada saya, ini adalah istilah-istilah yang digunakan oleh penulis politik untuk membandingkan dengan apa yang berlaku tsunami di Indonesia.
“Apa yang berlaku pada 2008 adalah satu perubahan sementara yang pada ketika itu mungkin pengundi melihat kepada beberapa perkara yang perlu kita dengar ia sebagai satu protes kepada kita,” demikian pandangan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Mohd Salleh Tun Said berhubung pilihanraya umum ke 12 yang lalu.
Jelas beliau, sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) mendengar dan menangani segala protes tersebut, tidak ada masalah buat BN untuk mengekalkan kemenangan pada pilihanraya umum akan datang.
“Kemenangan kita agak ‘comfortable’. Kita bukan menang lima atau sepuluh kerusi; kita menang lebih 60 kerusi parlimen. Hanya kita tidak menang 2/3 majoriti. Ia bukan satu tsunami kepada saya, tapi ia satu signal kepada kita bahawa ada ketidak puasan hati masyarakat.
“Maka tugas kita sekarang adalah mengenalpasti apakah ketidak puasan hati itu? Jadi jika kita dapat menangani ketidak puasan itu dan kita selesaikan, maka saya tidak lihat kita ada masalah. Saya lihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sekarang mengenalpasti masalah-masalah tersebut, antaranya beliau memberi penekanan kepada kita bahawa dalam apa pun tindakan kita rakyat itu didahulukan,” katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan UMNO-Online di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Sambil menyifatkan tindakan Perdana Menteri itu sebenar sebagai ‘Winnable Formula’, beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah yakin jika ia dapat diterjemahkan sebaik mungkin oleh semua pemimpin di segenap peringkat, rakyat sudah pasti akan memberi sokongan kepada BN.
Malah katanya, formula ‘Rakyat Didahulukan’ itu juga selaras dengan konsep demokrasi iaitu kerajaan itu dibentuk oleh rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat.
“Yang penting sekarang, semua pemimpin di semua peringkat dapat menghayati prinsip mendahulukan rakyat. Rakyat melihat tingkah laku kita, rakyat melihat prestasi kita dan kalau kita mahu parti kita kuat ia bermula dari diri kita.
“Refleksi kepimpinan itu adalah refleksi kepada parti. Kalau pemimpinnya Ok, dianggap oleh masyarakat maka parti itu Ok,” ujarnya.
Terang beliau lagi, tsunami adalah perkataan yang menunjukkan sesuatu yang tidak pernah berlaku tetapi apa yang berlaku dalam pilihanraya lalu pernah berlaku pada pilihanraya sebelum ini seperti pada tahun1969.
“Ia sebenarnya satu proses biasa dalam sistem demokrasi. Kita tidak boleh terlalu panik hanya kerana mereka menggunakan perkataan tsunami semata-mata. Pada saya ia hanya signal semata-mata.
“Pada saya, Datuk Seri Najib memahami perkara itu sebab itu beliau perkenalkan satu program baru iaitu 1Malaysia iaitu kita mesti kaitkan dalam konteks rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Maksudnya kita bukan sekadar berjanji kosong sahaja. selain kita utamakan rakyat, kita pastikan apa yang kita janji kita kotakan. Itu yang dilakukan Perdana Menteri,” jelas beliau.
Rentetan dari itu katanya, Perdana Menteri telah memperkenalkan banyak program transformasi seperti NKRA, NKEA, GTP, PTP dan sebagainya yang bertujuan memastikan agar satu peruabahan di Malaysia kerana itu adalah kehendak rakyat.
“Apa yang dikehendaki rakyat, apa signal yang diterima signal yang diterima rakyat mahu transformasi secara keseluruhannya. Jika itu signalnya maka kita kena buat program sedemikian. Umumnya kita lihat sudah berlaku perubahan di merata tempat dan rakyat kembali yakin dengan kita”, katanya.
Pada masa yang sama beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud turut melahirkan keyakinan bahawaSabahakan terus kekal sebagai ‘Fixed Deposit’ kepada BN pada pilihanraya umum akan datang.
Keyakinan itu tegas beliau bersandarkan kepada kepada khidmat yang baik BN kepada masyarakat di negeri itu.
Ini katanya ditambah lagi dengan sokongan yang kuat kepimpinan pusat terutama Datuk Seri Najib khususnya peruntukan yang besar kepada negeri Sabah dan beberapa pendekatan yang sebenarnya menepati kehendak masyarakat di negeri itu.
“Kita menyertai UMNO ini adalah untuk memastikan keamanan dan kestabilan politik di negara ini dan juga di Sabah. Kestabilan politik ini penting untuk kemakmuran dan pembangunan negeri Sabah.
“Begitu juga Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang memperlihatkan kestabilan politik, di mana kita ada rezab lebih kurang 2 bilion. Ini juga telah diiktiraf oleh Laporan Audit Negara yang memberi kredit kepada kepimpinan kerajaan negeri. Pada saya ini tidak memberikan masalah pada kita untuk kekalkan Sabah sebagai Fixed Deposit,” terangnya.
Beliau juga memberitahu Ketua Menteri sendiri mengarahkan agar semua wakil rakyat turun padang termasuk semua pemimpin, baik UMNO mahupun komponen BN untuk mendekati rakyat dan memahami kehendak rakyat.
“Kita perlukan pemimpin yang sebenar bukan pemimpin jelmaan, di mana ia menjelma ketika dia mahukan sesuatu. Ini tidak akan membantu parti sebab itu penting untuk kita kembali kepada perkara asas iaitu mendekati, mendampingi rakyat di peringkat akar umbi.
“Ia tidak semestinya kita mesti selesaikan semua masalah tetapi ia memberi peluang kepada kita untuk menerangkan dasar kerajaan yang sedia ada. Kadang-kadang dasar kerajaan ini tidak boleh dilaksanakan sekelip mata, tetapi memerlukan masa tetapi masyarakat kadang-kadang tidak faham sekiranya kita tidak jelaskan”, ujar beliau.
Katanya lagi dasar kerajaan bukan sekadar beri peruntukan tetapi penjelasan seperti Bajet 2012 sekarang yang cukup baik yang memberi manfaat kepada semua pihak.
“Tetapi bajet yang baik ini bukan sekadar dibahaskan di Dewan Rakyat tetapi kita kena terang pada rakyat keseluruhannya kerana ia dinikmati semua pihak tidak kira sama ada di desa mahupun di bandar.
“Dengan cara ini ia akan menghalang pihak–pihak tertentu untuk memanipulasi bajet yang bertujuan untuk membela rakyat di seluruh tempat. Sebagai ahli politik, ini sebenarnya tanggungjawab kita,” katanya.
Beliau seterusnya menekankan bahawa dalam pendekatan politik ia perlu mengamalkan konsep pemikiran yang jelas iaitu ‘clear thinking’ bukan sekadar ‘creative thinking’.
“Pada saya, kalau satu campur satu itu dua. Kalau rakyat itu perlu dibantu, kita bantu. Kalau rakyat itu perlukan pertolongan, kita kena tolong. Kalau kita tak boleh selesaikan, masalah itu kita mesti jelaskan kenapa kita tidak boleh selesaikan masalah itu. Kita tidak boleh membohongi rakyat.
“Pada saya, jika amalan ini boleh kita buat akhirnya rakyat akan dapat melihat bahawa kita lebih baik dari pesaing kita. Kita berada dalam negera demokrasi. Dalam sebuah negara demokrasi, adalah perkara biasa jika ada perbezaan pendapat, perbezaan pandangan dan perbezaan fahaman politik.
“Dalam persaingan itu sudah pasti yang lebih baik itu akan menang. Pada saya UMNO dan BN itu terbaik dan saya yakin sungguh kalau kita dapat jelaskan pada rakyat, rakyat akan bersama kita”, ujarnya. (MediaUMNO)
No comments:
Post a Comment