ROSAK....Ng menunjukkan jalan masuk ke Tapikong Buddha yang dirosakkan belum dibaik pulih.
Oleh : MUTALIB M.D
TINDAKAN Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang tidak peka dengan kerja-kerja Projek Tebatan Banjir Tabanak, Lahad Datu menyebabkan Pertubuhan Agama Buddha Lahad Datu kerugian lebih RM300,000 apabila jambatan kekal mereka yang diroboh oleh kontraktor yang menjalankan kerja-kerja berkenaan tidak diganti.
“JPS macam kasi buang najis di Tapikong kami kerana kasi tinggal banyak masalah kepada kami terutama jambatan dan jalan yang telah diroboh tidak dibina semula,” kata NG Tak Wai, seorang penganut Agama Buddha yang melaporkan isu ini kepada Sabahkini.net.
Menurut Ng, pihaknya kesal kerana JPS begitu cuai melaksanakan kerja pemantauan sehingga kontraktor lepas tangan selepas projek siap.
“Kita tidak haling mereka roboh kerana mau bikin parit, tetapi sudah bikin parit; bikin baliklah itu jambatan. Bukan guna slab konkrit yang tidak sesuai untuk ganti jambatan kami,” kata Ng Tak Wai yang menunjukkan kedudukan asal jambatan yang diroboh kontraktor.
Memandangkan ramai penganut Agama Buddha di Lahad Datu marah dengan kejadian ini, namun Ng bimbang mereka akan membalas dendam di peti undi kelak.
SLAB....Jambatan sementara yang menggunakan slab konkrit yang digunakan untuk membuat parit dikhuatiri tidak tahan lama.
LOKASI....Ng menunjukkan lokasi asal jambatan tetap yang dirobohkan.
“Kalau boleh, kita rayulah agar JPS bina kembali jambatan kekal yang telah dirobohkan. Tengoklah itu. Mana tahan jambatan sementara kerana selalu digunakan lori kontena. Lagipun kami bukan minta lebih. Bina kembali jambatan asal, itu saja,” kata Ng yang agak kesal dan terkilan dengan perbuatan ini yang dianggap menghina tuhan mereka.
Tegas Ng, sebagai rakyat Malaysia, mereka cuba menghindari sengketa antara kaum, tetapi mereka juga ada maruah dan adalah menjadi tanggung jawab mereka untuk mempertahankan kesucian Tapikong dan agama mereka.
Memandangkan kes ini sudah terlalu lama, maka Ng memaklumkan Pertubuhan Agama Buddha Lahad Datu telah menghantar notis tuntutan 14 hari kepada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah agar membina semula jambatan yang telah dimusnahkan, termasuk memperbaiki segala kerosakan jalan.
“Pengerusi Pertubuhan ada memaklumkan kepada saya, jika JPS tidak memenuhi tuntutan mereka, kes berkenaan akan dibawa ke mahkamah,” kata Ng yang berharap agar kes berkenaan diselesaikan secara damai.
No comments:
Post a Comment