Friday, 4 November 2011

SKANDAL METER AIR PALSU DI KUNAK?



Oleh : JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN

SEBUAH syarikat konsesi penyelenggaraan, Hamulawan didakwa memasang meter palsu kepada pengguna yang berdaftar untuk mendapatkan bekalan air paip terawatt daripada Jabatan Air Kunak.

Seorang pengguna, Citra Masadi, yang menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi memaklumkan telah membuat laporan polis malam semalam berhubung Skandal Meter Air Palsu di Kunak di Balai Polis Tawau.

“Skandal ini memalukan kerana melibatkan ramai pengguna yang tertipu oleh kegiatan haram Hamulawan dan subahat kakitangan Jabatan Air. Kita harap Menteri Infrastruktur Sabah memandang serius ini kerana menjatuhkan imej jabatan kerajaan,” kata Citra yang menyatakan beliau terpaksa membuat laporan polis setelah kontraktor berdolak dalih dan bekalan air ke premisnya belum disambung sejak dipotong.

Tegas Citra, adalah mustahil meter yang dipasang kontraktor yang dilantik Jabatan Air palsu, melainkan terdapat sindiket yang menggunakan Jabatan Air Kunak sebagai Pusat Operasi kerana Kunak terkenal dengan pelbagai kegiatan haram dan gudang jenayah.

Dalam laporan polisnya KNK/RPT/2448/2011, Citra menyatakan bahawa;

“Pada lebih kurang jam 8.03 malam, saya datang ke balai polis untuk membuat laporan ke atas syarikat Hamulawan dan Jabatan Air Kunak kerana telah gagal memberi perkhidmatan yang efektif terhadap pengguna. Memandangkan syarikat Hamulawan adalah syarikat yang dilantik oleh Jabatan Air Kunak untuk membaik pulih kerosakan paip di beberapa tempat di Kunak; malangnya syarikat tersebut meminta bayaran sebanyak RM450 serta disediakan alat ganti oleh saya dan setelah beberapa hari selepas paip dipasang, maka pihak jabatan air pula datang memotong bekalan air tersebut atas alasan meter serta penyambungan yang dibuat oleh kontraktor adalah palsu. Tujuan laporan ni dibuat agar siasatan dibuat kepada pihak terbabit dan sehingga laporan ini dibuat, bekalan air di premis saya masih belum dibaik pulih walaupun sudah seminggu saya berulang-alik ke jabatan air dan syarikat yang bertanggungjwab, namun hanya dolak-dalik yang diberi. Sekian laporan saya.”

No comments:

Post a Comment