PENEMUAN baharu minyak 100 kilometer di luar Pantai Barat Laut Kota Kinabalu oleh Petronas menunjukkan kemungkinan lebih banyak medan minyak ditemui di rantau ini.
Prof Madya Dr Rosalam Sarbatly, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sabah, percaya penemuan itu bukan sahaja akan memperkukuh pengeluaran huluan, malah juga menggalakkan pembangunan kegiatan hiliran selanjutnya.
Beliau menyebut projek-projek yang sedang dilaksanakan seperti Terminal Minyak dan Gas Sabah, Saluran Paip Gas Sabah-Sarawakdan Loji Ammonia-Urea di Sipitang sebagai contoh.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua rakyat Sabah kerana 'anugerah' ini. Berikutan penemuan itu, jangka hayat pengeluaran minyak dan gas yang boleh diramalkan di negeri ini meningkat dengan ketara, sekali gus membayangkan faedah-faedah ekonomi jangka panjang," katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.
Rosalam berkata demikian semasa mengulas ‘penemuan besar minyak’ oleh Petronas Carigali Sdn Bhd di Luar Pantai Sabah melalui Telaga Wakid-1, di Blok 2G-2J.
Anggaran awal rizab telaga itu ialah 227 juta tong bersamaan minyak yang menghasilkan kadar pengeluaran maksimum 8,200 tong sehari.
Beliau berkata pada masa ini Sabah mempunyai kira-kira 11 trilion kaki isi padu gas dan 1.5 bilion tong minyak dalam rizabnya dan masing-masing menyumbang kira-kira 12 peratus dan 25 peratus rizab gas dan minyak Malaysia.
Rosalam berkata kepelbagaian kegiatan hiliran akan menambah faedah-faedah penemuan itu dengan hebatnya, melibatkan pelbagai operasi seperti pemprosesan, penapisan, penyimpanan, pengangkutan dan pengedaran.
"Ia juga dijangka mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan. Kemudahan mendapatkan terus tenaga juga boleh merangsang pembangunan industri tempatan.
"Semua ini akan menjadi dorongan kuat yang berterusan kepada pembangunan perniagaan dan perdagangan pada skala jangka panjang," katanya.
Sehubungan ini, Rosalam menegaskan pentingnya modal insan bagi mengoptimumkan faedah penemuan itu.
"Kumpulan bakat dengan pengetahuan teknikal penting dalam menyokong kegiatan huluan dan hiliran. Tanpa mereka, minyak hanya boleh dieksport.
"Sebagai dekan Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat, kami komited untuk memberikan sokongan penuh dari segi pembangunan sumber manusia kepada negeri ini," tegas beliau.
Rosalam berkata pada masa ini, universiti itu merupakan yang pertama di Malaysia yang menawarkan kursus ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment