Saturday, 19 November 2011

SEMAK SEMULA PEWARTAAN HUTAN SIMPAN



ANGGOTA Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mahu kerajaan negeri menyemak semula keputusannya untuk mewartakan sebagai Hutan Simpan Kelas Satu (kawasan tadahan air) bagi tanah melibatkan 19 buah kampung di Matunggong, Sabah.

Beliau berkata keputusan itu dibuat ‘tanpa pengetahuan penduduk’ dan tanpa pertimbangan yang telah menjejaskan ribuan penduduk kampung yang telah tinggal dan mengusahakan tanah itu selama beberapa generasi.

"Keputusan bagi sempadan kawasan tadahan air, yang meliputi tanah penduduk dan tuntutan tanah adat, adalah tidak munasabah dan tidak adil. Penduduk tidak diberitahu mengenai pewartaan itu yang dibuat pada 2007. Mereka terkejut apabila diberitahu permohonan tanah mereka tidak dapat diproses dan diberikan alasan itu," katanya di Kota Marudu, kelmarin.

Penduduk yang kecewa mendakwa kawasan yang dikatakan itu melibatkan hutan simpan Gunung Gomantong-Geluang-Gesusu seluas kira-kira 600 hektar.

Ongkili berkata pewartaan itu didakwa menjejaskan beberapa kampung, 528 permohonan tanah, 73 geran tanah dan 54 pelan kaji ukur berdaftar termasuk ikon pelancongan di Matunggong iaitu rumah panjang Rungus di Kg Bavanggazo.

"Penduduk berkata: Sanggup anda lakukan ini terhadap penduduk pribumi yang telah mengusahakan tanah itu sejak zaman berzaman dan yang mempunyai hak ke atas tanah adat? Ini tidak konsisten dengan janji Rakyat Didahulukan.”

"Berdasarkan pewartaan sempadan yang diumumkan kepada orang ramai, malahan tanah di mana terletaknya ikon diiktiraf dunia iaitu Bavanggazo juga diisytiharkan sebagai tidak boleh disentuh kerana ianya Hutan Simpan Kelas Satu. Ini betul-betul tidak munasabah," katanya.

Ongkili berkata walaupun terdapat keperluan untuk mewartakan kawasan tadahan air untuk memastikan bekalan air mencukupi ke kampung-kampung, cara sempadan itu ditetapkan adalah ‘tidak bertimbang rasa’ kerana ia bertindih dengan tanah warisan nenek moyang penduduk kampung dan kawasan tempat mereka mencari makan.

"Ia dilakukan secara tidak munasabah dan tidak rasional dan menjejaskan kehidupan orang ramai," kata Ongkili.

Mengesa kerajaan menyemak semula perkara itu demi kepentingan rakyat yang konsisten dengan prinsip 'Rakyat Didahulukan', 0ngkili berkata jika pihak berkuasa tetap berkeras mengenai keputusan pewartaan itu, dengan itu pampasan patut diberikan kepada mereka yang terjejas.

"Ini akan melibatkan jumlah yang besar iaitu ratusan juta ringgit. Tetapi kita perlu bersikap adil kepada rakyat," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment