Oleh : CHANG SHAK HUNG
SETELAH dua tahun menanti kelulusan permohonan Skim Bantuan Warga Tua yang tidak kunjung tiba, isteri Wong menghubungi Sabahkini.net untuk membantu suaminya melakukan semakan dan mendapat kelulusan segera kerana kemiskinan yang menghimpit mereka.
Sabahkini.net telah mengajukan permohonan ini kepada Pegawai Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sandakan, Kasrin. Satu tinjauan ke rumah Wong telahpun dibuat pada hari Khamis lalu oleh Pembantu Pembangunan Masyarakat, Omar Mokhtar dan Adzirah Bte Amat bagi mendapatkan maklumat lanjut serta mengetahui keadaan sebenar kehidupan Wong sekeluarga.
Menurut isterinya, Wong, 71, tidak lagi mampu bekerja dan bergantung harap daripada ehsan dua orang anak mereka di Sandakan dan Kota Kinabalu, untuk meneruskan kehidupan yang semakin sukar.
Wong dan isterinya tinggal bersama anak perempuan mereka yang bekerja di bank. Wong bertuah kerana anaknya seorang yang rajin berusaha keras untuk membiayai keperluan harian keluarga dan mempunyai visi untuk mengeluarkan keluarga mereka dari kepompong kemiskinan.
Anak perempuan Wong begitu tabah belajar di Open University Cawangan Sandakan bagi keluar daripada jerat kemiskinan dengan bekerja di waktu siang dan belajar di waktu malam serta hujung minggu.
Melalui ‘home visit’ tersebut jugalah Wong dan isterinya menunjukkan kepada Pegawai JPKA beberapa bukti kemiskinan; antaranya tilam yang telah rosak, tangki air bocor dan telah berkarat, lampu yang tidak berfungsi dan memerlukan sistem pendawaian semula; serta peti sejuk yang tidak berfungsi dengan baik.
Bukan itu sahaja, isteri Wong turut memaklumkan kepada Sabahkini.net bahawa suaminya telah menjalani pembedahan tulang belakang pada tahun 2004 dan pada masa sekarang, sedang menunggu giliran untuk menyembuhkan matanya yang dijangkiti katarak (selaput mata tertutup).
Sabahkini.net menyaksikan Omar dan Adzirah menyediakan laporan lengkap untuk diserahkan kepada Pengarah JPKA Sabah untuk mendapat kelulusan segera melalui Skim Bantuan Warga Tua atau Skim Bantuan Pesakit Terlantar yang melayakkan Wong untuk mendapatkan bantuan RM300 sebulan sekiranya berjaya.
Sabahkini.net dan Wong sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Kasrin, Omar dan Adzirah atas kesanggupan, komitmen serta keikhlasan mereka membantu rakyat Sabah yang uzur dan amat memerlukan bantuan.
No comments:
Post a Comment