Friday, 16 March 2012

KHALID 'PENGUNDI HANTU' DI LEMBAH PANTAI.

Oleh : AIDILA RAZAK

KAWASAN mengundi bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim nampaknya telah ditukar tanpa pengetahuannya, seperti yang terbukti menerusi carian di lamanweb Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Semakan di laman web tersebut mendapati Khalid (kanan) kini merupakan pengundi di kawasan pilihan raya Lembah Pantai yang diwakili Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Lokaliti mengundi beliau disenaraikan sebagai Rumah Kakitangan Universiti di bawah daerah mengundi Universiti.

Bagaimanapun, difahamkan Khalid sebelum ini mengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan. Tidak jelas sudah berapa lama beliau menjadi pengundi di sana.

Ketika dihubungi, seorang pegawai pejabat menteri besar yang enggan namanya disiarkan, mengesahkan Khalid tidak membuat sebarang perubahan pada kawasan mengundinya atau dalam kad pengenalannya.

"Setakat yang beliau tahu, beliau masih pengundi di Petaling Jaya (Selatan) dan alamat pada kad pengenalan beliau adalah di Pasir Tuntung, Kuala Selangor; bandar kelahirannya," kata sumber yang rapat dengan Menteri Besar itu.

Sumber itu menambah bahawa menteri besar yang telah dimaklumkan mengenainya 'memandang berat' perkara itu dan akan menyemak dengan SPR dan Jabatan Pendaftaran.

Tindakan mensabotaj MB?

Malaysiakini membuat semakan tersebut selepas Ketua Pemuda Umno Seputeh, Mohd Razlan Muhammad Rafii, menyiarkan di blognya bahawa Khalid telah menjadi 'pengundi hantu' di Lembah Pantai.

Mohd Razlan juga mendakwa peralihan kawasan mengundi itu, yang hanya boleh berlaku jika menteri besar itu menukar alamat pada kad pengenalannya, adalah kerja dalaman untuk mensabotaj Khalid.

Khalid tidak boleh bertanding sebagai ADUN di Selangor jika kad pengenalannya menunjukkan dia pemastautin di Kuala Lumpur.

Menurut peraturan SPR, calon yang bertanding kerusi DUN mesti menjadi penduduk negeri berkenaan. Ini bermakna beliau tidak boleh lagi menjadi Menteri Besar untuk penggal kedua.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini merupakan pengundi di Lembah Pantai, walaupun sebelum ini mengundi di kerusi parlimen bersebelahan, ekoran langkah pembetulan sempadan kawasan pilihan raya.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, langkah tersebut dibuat pada awal tahun 2010 selaras dengan keputusan SPR untuk menyelaraskan peta pilihan raya dengan peta rasmi negara.

Beliau berkata Menteri Besar Selangor telah didaftarkan sebagai pengundi di Jalan 16/2 di Seksyen 16, Petaling Jaya, yang telah tersilap dimasukkan sebagai sebahagian daripada kawasan Petaling Jaya Selatan sebelum pembetulan sempadan itu dibuat.

Apabila peta pilihan raya dan peta rasmi itu diselaraskan dengan menggunakan sistem geografi, didapati Jalan 16/2 sebenarnya berada di bawah zon mengundi Rumah Kakitangan Universiti, di bawah kawasan Lembah Pantai.

"Beliau tidak dipindahkan. Beliau masih didaftarkan di alamat yang sama, tetapi sempadan telah diperbetulkan selaras dengan Akta Pilihan Raya 1958," kata Wan Ahmad ketika dihubungi.

Kes yang sama di Hulu Selangor

Menurut Wan Omar, pembetulan sempadan itu juga menjadi sebab 228 pengundi yang mengundi di Hulu Selangor sebelumnya, mendapati mereka menjadi pengundi di kawasan Selayang sewaktu pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

"Terdapat banyak kekeliruan dan parti-parti politik telah mengeksploitasi kekeliruan ini. Jadi kami membuat keputusan pada tahun 2011 untuk membekukan pembetulan sempadan itu," katanya.

Wan Ahmad berkata pembetulan sempadan akan dilakukan serentak dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijadualkan selepas pilihan raya umum ke-13.

"Pada ketika itu, kita akan mempamerkan semua perubahan yang dibuat dan pengundi terlibat boleh membuat bantahan.

"Kita perlu membuat perubahan itu, atau jika tidak pengundi akan terus mengundi di kawasan pilihan raya yang salah," katanya

Wan Ahmad berkata, selain Selangor, beberapa negeri lain telah melakukan pembetulan sempadan sebelum ia dibekukan, termasuk Kelantan dan Perak.

Malaysiakini melaporkan awal hari ini bahawa Khalid hairan tentang perubahan kawasan mengundinya sedangkan beliau tidak memohon untuk pertukaran alamat dan alamat pada kad pengenalan beliau kekal di Pasir Tuntung di Kuala Selangor, yang merupakan bandar kelahirannya.

3 comments:

  1. Adakah ianya 'kesilapan teknikal'? Atau memang disengajakan??

    ReplyDelete
  2. SPR kena perjelaskan hal ini. hal ini jika dibiarkan akan menjadi isu besar.

    ReplyDelete
  3. Mungkin pendaftaran yang dibuat ini tersilap. Maka elakkan perkara ini berterusan.

    ReplyDelete