Friday, 9 March 2012

OSH KATALIS PENTING INDUSTRI PELANCONGAN

Oleh : ADLI AYOB

TRAGEDI kematian seorang pelancong Australia akibat diserang gajah berhampiran Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu pada 8 Disember 2011 dan kemalangan maut bas yang mengakibatkan 6 orang pelancong Brunei mati dan 20 orang cedera di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli pada 21 Disember 2011 yang lalu memberi mesej jelas kepada operator pelancongan bahawa alasan 'sudah takdir' bukanlah pilihan kerana ia boleh dielakkan dengan memberi penumpuan dan penekanan dalam aspek keselamatan dalam pengendalian pelancong dan juga kebajikan pekerja industri hospitaliti.

"Bukan sahaja untuk memastikan bahawa pelancong selamat sewaktu mereka dibawa melawat ke satu tempat tarikan pelancong, tetapi keselamatan dan kebajikan pemandu pelancong juga mesti berada dalam keadaan baik dan selamat. Ambil contoh tragedi bas di Jalan Ranau-Tamparuli, ia menimbulkan persoalan adakah orang yang memandu bas itu, ataupun syarikat yang memiliki bas itu, telah memikirkan secara mendalam mengenai penyelenggaraan bas tersebut?

"Sama ada bas itu selamat atau tidak? Adakah pemandu bas itu sebelum memandu telah memeriksa bas atau tidak? Dan yang paling penting sekali, tahap kesihatan dan kesediaan pemandu bas sewaktu bertugas, adakah berada dalam keadaan yang baik dari segi fizikal, mental dan spiritual atau tidak? Ini kerana hanya kemalangan yang disebabkan oleh bencana alam seperti tsunami, gunung berapi dan gempa bumi sahaja yang tidak dapat dielakkan.

"Sekarang ini, kejadian tanah runtuh juga boleh dipersoalkan kerana disifatkan oleh masalah kecuaian. Itulah sebabnya OSH (Occupational Safety & Health) adalah sangat penting dalam menjaga keselamatan pekerja industri dan membawa kepada keuntungan kepada kedua-dua belah pihak iaitu pelancong dan syarikat pengurusan industri," ujar Tan Sri Datuk Seri Panglima Lee Lam Thye, Pengerusi NIOSH Malaysia ketika merasmikan seminar 'OSH For Hospitality and Tourism Industry' di Hotel Seafest, Semporna, Sabah pada pagi semalam.

Seminar tersebut diadakan selama 2 hari bermula 8-9 Mac bertujuan memberikan pendedahan kepada kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan pada pekerja-pekerja yang terlibat dalam industri pelancongan. Ia berkait terus dengan kerancakan industri pelancongan di Sabah yang merekodkan pertumbuhan sebanyak 13.6 peratus kenaikan pelancong atau seramai 2.84 juta orang pada tahun 2011 berbanding tahun 2010 dimana 1.9 juta terdiri dari pelancong luar negara.

Pengalaman Tan Sri Lee Lam Thye di luar negara menyatakan yang pelancong terutama dari China, Hong Kong, Jepun dean Australia memilih Sabah sebagai destinasi untuk berekreasi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Menurutnya lagi, kita mesti memikirkan bagaimana menjadikan destinasi pelancongan di Sabah selamat kepada pelancong.

"Ini bermakna pelancong tersebut mestilah datang ke Sabah dengan selamat, beraktiviti dengan selamat dan pulang ke negara asal dengan selamat," tambah beliau lagi.

Hadir bersama dalam sidang akhbar pagi ini ialah Mohd Hussin Abd Salam dan Wan Salman Sakan dari NIOSH Sabah & WP Labuan.

Menjawab persoalan tentang kepentingan keselamatan & kesihatan pekerja dalam industri, Wan Salman menyatakan; "Memang tidak ramai yang faham sebenarnya tentang OSH dalam industri hospitaliti ini. Ramai yang menganggap hospitaliti hanya untuk pelancong sahaja sedangkan pekerja industri juga sepatutnya menerima hak keselamatan & kesihatan yang sama.

"Industri pelancongan akan pincang sekiranya pekerja-pekerja tidak sihat dan cedera. Itulah sebab saya menyarankan supaya tidak kira dalam apa majlis pun, sepatutnya ia mesti dimulakan dengan taklimat keselamatan".

NIOSH Malaysia selaku badan pengendali OSH juga menganjurkan dua sessi Kursus Pensijilan Pegawai Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja selama 22 hari pada hujung tahun ini di Sandakan (8 September-9 Disember 2012) dan Kota Kinabalu, Sabah (3 November 2012-20 Januari 2013).

"Ramai orang berfikir bahawa pelancongan adalah industri selamat berbanding pembinaan, minyak & gas, kilang-kilang dan industri yang berasaskan kimia. Tetapi hakikatnya pekerja industri pelancongan juga terdedah kepada risiko kemalangan & kecederaan.

"Paling berisiko adalah pemandu pelancong yang mengetuai pendakian ke Gunung Kinabalu dan juruselam yang bertugas mengiringi aktiviti selaman di Pulau Sipadan. Untuk menyebabkan Sabah terus dikenali sebagai destinasi ulung pelancongan di Malaysia, semua pihak perlu mengambil berat terhadap aspek OSH ini kerana industri pelancongan merupakan penyumbang ke-empat terbesar dalam kekayaan ekonomi Sabah selepas komoditi, perikanan dan perkilangan" tegas Tan Sri Lee yang menyifatkan Sabah sebagai negeri yang bertuah dan sepatutnya pada masa hadapan kejadian kemalangan yang membabitkan pelancong asing tidak berulang lagi.

Tan Sri Lee yang pernah menjadi Ahli Parlimen kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada suatu ketika dahulu juga berharap agar hasrat NIOSH untuk memperbudayakan aspek OSH dalam konteks menggalakkan pekerja dan ahli industri untuk mengambil berat dan memberikan tumpuan kepada aspek keselamatan akan diperhebatkan dan menjadi prioriti dalam amalan hospitaliti bukan hanya di Sabah malah di semua negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.

No comments:

Post a Comment