Tuesday, 6 March 2012

SUKARELAWAN, MODAL INSAN BERKUALITI TINGGI



MESRA…Abdul Rahman (tengah) mengambil kesempatan berbual dengan sebahagian daripada pelatih Kem Sinar Jaya Kota Belud selepas majlis itu selesai.

Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI

AHLI PARLIMEN Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan berkata semangat sukarelawan di kalangan rakyat di negara ini amat penting ke arah pembentukan sesebuah negara maju.

Menurutnya, semangat kesukarelawan yang wujud dijiwa setiap rakyat Malaysia perlu terus dipupuk dan disuburkan sebaik mungkin.

“Mendidik generasi muda melalui aktiviti sukarelawan dengan nilai-nilai murni itu amat bertepatan dan selaras dengan hasrat negara memilik modal insan yang berkualiti tinggi.”

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Khidmat Komuniti PLKN di SK. Kuala Abai, Kota Belud, baru-baru ini.

Program yang disertai seramai 347 pelatih PLKN tersebut anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Bahagian Pantai Barat Utara bersama PLKN Kem Sinar Jaya Kota Belud dengan kerjasama Komuniti 1 Malaysia Kg. Kuala Abai, Kota Belud.

Tambah Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah, kemajuan yang dapat dilihat di negara barat yang telah maju antara formulanya adalah kerana semangat sukarelawan di kalangan rakyatnya yang begitu tinggi.

Menurutnya, mereka maju bukan hanya kerana bilangan tentera mereka besar jumlahnya, bukan kerana ekonomi mereka cukup mantap atau kerana negara mereka kaya.

“Tetapi dalam setiap jiwa masyarakat mereka memiliki semangat kesukarelawan yang merentasi sempadan tamadun manusia untuk kepentingan dan kemajuan negara mereka.” katanya lagi.

SUMBANGAN…Abdul Rahman (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan daripada Jabatan Penerangan Malaysia kepada Ginti Umbang (kanan sekali) sambil diperhatikan oleh Sharifah (dua dari kanan), Supian (tiga dari kanan) dan Juwahair (kiri sekali) pada majlis itu.

Jelas Abdul Rahman lagi, sejarah di negara ini, pasukan beruniform memainkan peranan yang cukup besar yang tidak boleh dinafikan sumbangan kepada rakyat di Malaysia secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar gerakan sukrelawan seperti PLKN, RELA ataupun dalam bentuk ngo’s hak-hak asasi manusia, gerakan kepenggunaan, persatuan alam sekitar dan bermacam-macam lagi ngo’s semuanya memerlukan semangat sukarelawan yang tinggi yang perlu disemai disetiap jiwa penggeraknya.

Hadir sama pada majlis itu antaranya Pegawai Penerangan Bahagian Pantai Barat Utara, Supian Musa; Timbalan Komandan Pusat Latihan PLKN Kem Sinar Jaya Kota Belud, Juwahair Masadang; Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Kg. Kuala Abai, Kota Belud, Sharifah Gundah; Guru Besar SK. Kg. Kuala Abai Kota Belud, Ginti Umbang serta para pemimpin setempat yang lain.

No comments:

Post a Comment