TIADA apa yang diharapkan
Ajmain Mahmud, 35, selain mahu terus hidup tatkala dia hampir-hampir disembelih
ketua pengganas Kiram yang dikenali sebagai Jeneral Musa dalam kejadian di
Kampung Tanjung Batu di sini, 6 Mac lalu.
Menurut Ajmain, ketika itu
dia sendiri tidak yakin akan dapat terus bernyawa ketika peluang bagi dirinya
untuk melepaskan diri dirasa sudah teramat tipis sementara Jeneral Musa pula
begitu marahkannya hingga sudah bersiap sedia untuk menyembelihnya hidup-hidup.
“Dia ketika itu sudah
mengacu barong (parang Sulu) ke leher saya untuk sembelih saya hidup-hidup,”
kata Ajmain, anak Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Mallang.
Ditanya mengapa ketua
pengganas Kiram itu begitu marahkannya, Ajmain berkata, puncanya kerana Jeneral
Musa menyangka dia yang melaporkan kedudukan pengganas kepada pihak
keselamatan.
“Kononnya kerana laporan
sayalah, mereka (pengganas) dijejak dan diserang pada 1 Mac di Kampung Tanduo
dan 2 Mac di Kampung Simunul, Semporna hingga menyebabkan beberapa pengikutnya
mati dan ditangkap,” katanya.
Menurut Ajmain, ketika itu
Jeneral Musa diiringi kira-kira 50 pengikutnya yang mengarahkan dia dan
penduduk lain berkumpul di satu tempat.
“Ketika itu kira-kira jam 9
pagi, saya berasa sangat takut,” katanya.
Ajmain berkata, selain diacu
parang, dia juga ditempeleng beberapa kali oleh Jeneral Musa.
“Saya hanya mampu berdoa,
tiba-tiba ada seorang dari mereka menghalang Jeneral Musa dari membunuh saya,”
katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, pengganas Kiram
turut membuat dua sekatan bagi menghalang penduduk Kampung Tanjung Batu keluar
dari kawasan terbabit.
“Kami berjaya melepaskan
diri apabila pengganas benarkan kami keluar. Ada juga berjaya keluar apabila
pengganas beri wang untuk membeli barang-barang makanan,” katanya.
No comments:
Post a Comment