Saturday 23 June 2012

KINI 205 KAMPUNG TANPA WAYAR DI SABAH




SANDAKAN ; Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menubuhkan sebanyak 205 kampung tanpa wayar di Sabah yang meliputi Pusat Jalur Lebar Komuniti dan Akses Jalur Lebar Komuniti.

Pengarah SKMM Sabah dan Labuan, Bukhari Yahya berkata kampung tanpa wayar itu diwujudkan di bawah Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan yang bertujuan mengurangkan jurang digital bagi masyarakat desa atau luar bandar dengan masyarakat di bandar.

Katanya dengan adanya kampung tanpa wayar, penduduk di kawasan luar bandar dapat menikmati perkhidmatan internet jalur lebar bagi melengkapkan gaya hidup digital.

"Ia seterusnya dapat mencapai hasrat kerajaan supaya rakyat Malaysia menjadi rakyat yang berpengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi," katanya ketika berucap pada Seminar Teknologi Maklumat dan Komunikasi ICT Penggerak Kemajuan Wanita yang perasmiannya disempurnakan oleh Anggota Parlimen Batu Sapi, Linda Tsen Thau Lin di sini pada Jumaat.

Beliau berkata pada masa sekarang, terdapat 19 pusat jalur lebar di seluruh Sabah dan SKMM merancang untuk menambah 14 lagi untuk kegunaan penduduk luar bandar di negeri ini.

Katanya penubuhan pusat jalur lebar ini dapat meningkatkan kadar penembusan jalur lebar bagi Sabah yang selari dengan hasrat untuk melahirkan masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan bukan sahaja dalam bidang ilmiah, tetapi juga dalam bidang perniagaan.

"Masyarakat dapat menggunakan internet bukan sahaja untuk mendapat maklumat, namun boleh menjana pendapatan," kata Bukhari.

Mengenai seminar itu, beliau berkata seminar sempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia itu bertujuan memberi pengetahuan kepada golongan wanita dalam menjadi penggerak kepada kemajuan sosio-ekonomi dan menjana pendapatan untuk keluarga. (Bernama)

No comments:

Post a Comment