Sunday, 24 June 2012

PENANTIAN 40 TAHUN PENEROKA BERAKHIR




KINABATANGAN: Peneroka di Rancangan Suan Lamba dekat sini yang menanti selama 40 tahun untuk mendapatkan geran tanah berakhir selepas segala masalah teknikal mengenai perkara itu menemui jalan penyelesaian.

Sehubungan dengan itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman, berkata majlis penyerahan geran tanah kepada peneroka adalah satu langkah kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan pembangunan sosio ekonomi berasaskan tanah dapat dinikmati rakyat.

Menurut beliau, masalah geran yang dihadapi peneroka sejak sekian lama terjadi apabila masalah teknikal mengenai pengukuran tanah tidak memenuhi kriteria ditetapkan Jabatan Tanah dan Ukur.

“Bagaimanapun, penantian selama 40 tahun sudah berakhir setelah pelbagai usaha dilaksanakan semata-mata untuk kepentingan rakyat terutamanya di kawasan Sukau ini,” katanya semasa berucap di Majlis Penyerahan Geran Tanah Peneroka di Peringkat 1, Rancangan Suan Lamba, pada petang Rabu lepas.

Pada majlis berkenaan, seramai 45 peneroka dalam Skim Penempatan Rancangan Suan Lamba telah menerima geran-geran tanah mereka.

Saddi memberitahu selebihnya masih dalam proses untuk mendapatkan geran tanah yang dijangka diperolehi dalam masa terdekat ini.

“Sudah tentu program ini memberikan impak yang besar kepada kumpulan penerima dan peransang pula kepada golongan peneroka lain untuk memenuhi konsep berdikari yang digalakkan kerajaan di bawah bidang komoditi kelapa sawit.

“Ia sekali gus ke arah menseimbangkan jurang pendapatan ekonomi antara penduduk luar bandar dan bandar di negeri Sabah,” katanya.

Yang pasti, tambah beliau penyerahan geran tanah kepada sekumpulan peneroka di Suan Lamba ini menjadi satu sejarah penting sekali gus salah satu kejayaan bidang makmal tanah yang diwujudkannya.

Saddi berkata, ia penting sebagai satu usaha bagi mencapai indeks petunjuk prestasi atau KPI di pihaknya sejak menjadi wakil rakyat di kawasan DUN Sukau empat tahun lalu.

Katanya lagi, beberapa kejayaan serta usaha lain seperti program pengukuran tanah milik penduduk di beberapa buah kampung sudah pun dilaksanakan, sementara beberapa lagi kes sudah dirujuk kepada pihak kerajaan negeri untuk diselesaikan.

“Tentunya, langkah ini akan menjadi pendorong kepada saya dan rakyat Sukau untuk bekerja lebih gigih demi menjayakan pelan transformasi ekonomi di bawah Konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian diutamakan,” jelasnya.

Justeru, beliau menasihatkan peneroka supaya memanfaatkan pemberian geran ini dengan tidak menjualnya pula semata-mata untuk mendapatkan keuntungan singkat.

Sebaliknya, kata Adun Sukau ini geran yang diperolehi hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya demi generasi akan datang.

“Sekarang ini memohon tanah bukan lagi senang, oleh itu manfaatkanlah ia demi masa depan yang lebih gemilang,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment