Saturday, 23 June 2012

MASALAH BUANG BAYI BUKTI KERUNTUHAN MORAL




TAWAU: Gejala buang bayi yang semakin meningkat dengan cara lebih ekstrem dan tidak masuk akal bukti masyarakat negara ini dilanda masalah keruntuhan moral yang serius.

Demikian menurut, Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun yang menyatakan kebanyakan gejala buang bayi ini hasil keterlanjuran dari pergaulan bebas kalangan remaja muda.

Katanya, jika dahulu kes penemuan bayi hanya di dalam tong sampah, longkang, masjid namun kini lebih berani dan tanpa belas kasihan serta perikemanusiaan.

“Ada yang sanggup membuang bayi dari tingkat atas bangunan dan yang lebih menyayat hati apabila seorang pelajar melahirkan anak di sekolah dan memasukkan bayi yang baru lahir ke dalam beg sekolah,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian seminar Sebening Kasih, Sejuta Harapan, Melestari Keluarga Bahagia anjuran bersama Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Datuk Lau Gek Poh di sini.

Menurutnya, statistik Jabatan Masyarakat mencatatkan purata tiga bayi dibuang setiap minggu di negara ini sepanjang tahun 2007 hingga April 2010 dan majoriti individu yang terlibat berada dalam lingkungan umur 18 hingga 25 tahun.

Jelasnya, statistik yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tahun 2000 sehingga 2008 turut mencatatkan seramai 257,000 kanak-kanak didaftarkan tidak mempunyai nama bapa.

Manakala statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan peningkatan kes buang bayi iaitu 396 kes dicatatkan dari tahun 2005 sehingga 2011.

“Senario ini sangat membimbangkan dan menuntut kerjasama semua pihak bagi membendung gejala ini daripada terus berleluasa dan kita tidak mahu fenomena yang berlaku di barat turut menimpa negara kita,’’ katanya.

Menurutnya, di negara barat permasalahan jenayah dan gejala sosial yang begitu hebat mengakibatkan pembangunan dan kemajuan yang dikecapi tidak seimbang.

“Kita semua sedar bahawa kemajuan yang hanya berpaksikan pembangunan fizikal semata-mata dan meminggirkan sistem nilai akan menyebabkan kemajuan yang dikecapi tidak akan mampu bertahan lama,’’ ujarnya.

Sementara itu mengulas mengenai program itu, Azizah berkata ia menunjukkan keprihatinan dan komitmen semua pihak mengerakkan usaha mewujudkan masyarakat yang maju selari dengan sistem dan nilai kekeluargaan yang utuh.

Katanya, keutuhan institusi kekeluargaan menjadi gambaran kepada kekukuhan masyarakat dan negara keseluruhannya kerana institusi keluarga membentuk masyarakat sekali gus menentukan hala tuju negara.

Turut hadir pada program itu, Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah, Datuk Mariati Robert.

No comments:

Post a Comment