Friday 29 June 2012

PENYENARAIAN FGVH KEMUNCAK TRANSFORMASI




PETALING JAYA : Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd menyaksikan kemuncak kepada inisiatif pembaharuan strategik kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan melonjakkan daya saing global Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabri Ahmad berkata para peneroka akan mendapat manfaat daripada pendapatan yang tinggi menerusi penggunaan tanah yang lebih cekap, yang akan menjuruskan kepada pulangan yang lebih tinggi.

Mereka juga akan mendapat premium daripada saham masing-masing selepas penyenaraian dan pembayaran dividen tahunan selain daripada RM15,000 yang diberikan kepada peneroka hasil daripada perolehan tawaran awam permulaan (IPO), kata beliau dalam taklimat media Rabu.

"Sudah tiba masanya kita memberikan ganjaran kepada peneroka selepas 30 tahun berusaha keras," kata beliau.

Felda Global Ventures, pengendali ladang kelapa sawit ketiga terbesar dunia, akan mencatatkan penyenaraian bersejarah di Bursa Malaysia esok di bawah sektor perladangan, sekali gus merancakkan pasaran modal kerana ia merupakan IPO kedua terbesar tahun ini selepas Facebook Inc.

Ia menandakan permulaan kepada transformasi syarikat daripada jaguh Malaysia kepada konglomerat dan entiti perniagaan terkemuka multinasional.

Pendapatan tinggi ialah antara teras kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain daripada itu, sejumlah 112,635 peneroka Felda akan mendapat faedah daripada dana amanah bernilai RM3.4 bilion, yang merupakan nilai kepada 20 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan Felda Global Ventures.

Dividen tunai yang diumumkan berkaitan dengan 20 peratus kepentingan atau 730 juta saham akan diakrukan kepada peneroka Felda.

Sabri berkata dana amanah itu juga boleh digunakan untuk mengagihkan pinjaman pendidikan kepada anak-anak peneroka.

Beliau turut memberi jaminan kepada para peneroka yang mereka tidak akan kehilangan tanah masing-masing selepas penyenaraian kerana tanah mereka adalah sebahagian daripada eksesais IPO itu.

Syarikat mempunyai kira-kira 70 kilang minyak sawit, yang mana empat adalah antara 10 teratas di dalam negara, dengan kilang di Jengka 21, Pahang mempunyai kadar ekstrak minyak tertinggi iaitu 24 peratus, kata beliau.

Sabri berkata 37 peratus daripada pokok-pokok syarikat itu masih muda dan belum matang dan ini bermakna ia meletakkan kumpulan perladangan itu dalam kedudukan yang baik untuk mencatatkan perolehan yang mampan.

"Kami akan memberi fokus menjadi peserta pertanian huluan yang merupakan satu perniagaan margin yang baik sementara aktiviti hiliran kami akan menyokong perniagaan huluan," kata beliau.

Beliau juga berkata terdapatnya potensi menggalakkan untuk Felda Global Ventures dalam perniagaan biomas dan pengeluaran gula bagi kegunaan perindustrian daripada pelbagai bahagian tandan buah segar.

Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, Felda Global Ventures juga akan memulihkan "kampung-kampung tradisional" di pinggir ladang Felda.

Ini bermakna peneroka bukan Felda turut berpeluang menikmati faedah daripada fokus dan operasi pengembangan syarikat.

"Apabila kepentingan kian besar, kita boleh berkembang dan memberikan manfaat kepada lebih ramai orang," kata beliau. (Bernama)

No comments:

Post a Comment