Saturday 3 November 2012

BAHASA SMS PERLU DIBENDUNG





INGATAN....Jamaluddin menyampaikan cenderakenangan sebagai ingatan kepada Nasrun sambil diperhatikan Zulkifili (kanan).

Oleh : RIDZAL ABDULLAH

LAHAD DATU : Usaha membendung penggunaan bahasa SMS, bahasa sembang dan bahasa rojak di kalangan belia perlu dipergiatkan bagi memastikan bahasa kebangsaan tidak hilang ketulenannya ditelan arus kemodenan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata, ini kerana penggunaan bahasa SMS atau bahasa sembang internet secara berleluasa bukan sahaja mampu menyumbang kemerosotan penggunaan bahasa melayu malah mampu menjejaskan penguasaan bahasa kalangan mereka.
Beliau menyatakan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Malam Bahasa Jiwa Bangsa sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan dan Kembara Bahasa Peringkat Daerah di Dewan Sri Perdana Lahad Datu pada Jumaat lalu.
Jelasnya, walaupun perkembangan belia seiring perubahan globalisasi, namun perubahan tersebut perlu ditangani dengan bijaksana dan bertoleransi serta mewujudkan kolaborasi diantara semua pihak bagi mempertingkatkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi, ilmu dan perpaduan di negara ini.
Mengulas penggunaan bahasa ibunda dalam pertuturan seharian kalangan golongan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lahad Datu berkata, perkara itu hanya terpencil dan hanya berlaku di beberapa kawasan terpencil khususnya di kawasan pedalaman.
Beliau turut percaya melalui peredaran masa dan kemajuan pendidikan di negara ini, bahasa Melayu akan menjadi bahasa kemegahan rakyat yang mampu digunakan secara meluas oleh semua golongan kaum.
Konvoi Kembara Bahasa tiba di Lahad Datu selepas singgah di Kudat dan Sandakan pada Jumaat.
Majlis penangguhan Bulan Bahasa dan Kembara Bahasa akan berlangsung di lokasi terakhir iaitu Tawau pada Ahad ini sebelum berlepas balik ke Kota Kinabalu.
Hadir sama pada majlis itu,Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah,Jamaluddin Sulong; Pegawai Daerah Lahad Datu, Zulkifli Nasir; Ketua Polis Daerah, Supt.Shamsudin Mat dan Pengerusi Persatuan Gabungan Belia Silam, Mizma Appehdullah.

No comments:

Post a Comment