Oleh : MD IZWAN
KUALA LUMPUR : Yang Dipertua (YDP) Dewan Rakyat, Tan Sri
Pandikar Amin Mulia meminta maaf kepada ahli parlimen Bukit Gelugor (DAP)
Karpal Singh ekoran insiden pada tahun 2008 dalam ucapan penutup sesi Dewan
Rakyat hari ini, sidang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang
bakal menjelang.
"Jadi saya rasa tidak
sedap hati kalau saya tidak dapat memohon maaf kepada Bukit Gelugor. Walaupun
beliau tidak ada disini," kata Pandikar yang merujuk insiden sidang
pertama pengggal ke-12 pada 28 April.
Pandikar melahirkan rasa
kesal kerana tidak mengetahui Karpal ketika itu sakit tangan kanannya dan
terpaksa mengangkat tangan kiri semasa upacara mengangkat sumpah anggota di
Dewan Rakyat.
Dalam ucapan beliau lagi,
Pandikar menegaskan kuasa untuk memanggil sidang Dewan adalah terletak ke atas Perdana
Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Razak dan membayangkan sesi kali ini
mungkin yang terakhir sebelum PRU.
"Sehubungan dengan itu,
sekiranya Ketua Majlis atau PM tidak memohon untuk Dewan Rakyat bermesyuarat
pada Januari, Februari, Mac atau awal bulan April maka bagi saya persidangan
ini adalah yang terakhir sebelum PRU Ke-13.
"Oleh yang sedemikian
saya berterima kasih kepada semua yang berhormat yang telah memberikan
kerjasama sejak awal 2008 hingga Disember tahun ini," kata Pandikar lagi.
Sebaik sahaja Pandikar
menamatkan ucapan, ahli parlimen kedua-dua belah pihak daripada kerajaan dan
pembangkang menyampaikan ucapan penghargaan kepada YDP di atas khidmatnya
sepanjang di Dewan Rakyat.
"Saya mewakili Kelab
Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), ingin mengambil peluang ini
melahirkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YDP sepanjang
perkhidmatan di Dewan ini.
"Kalau ada yang
terlepas cakap dan pandang, kami mohonkan kepada YDP untuk maafkan kami,"
kata ahli parlimen Tangga Batu (Umno), Datuk Idris Haron.
Selepas ucapan Idris, wakil
ahli parlimen daripada pembangkang juga memberikan ucapan penghargaan sama
kepada YDP atas khidmatnya membimbing Dewan Rakyat.
"Saya mewakili pihak
disebelah disini, saya ucapkan jutaan terima kasih ke atas YDP dalam membimbing
Parlimen Ke-12 selama lima penggal ini.
"Karenah-karenah ini
boleh berlaku di mana-mana sahaja, sudah tentu ia boleh mengguris setengah
pihak. Jadi saya meminta maaf juga kepada YDP dan pihak di sebelah sana,"
kata MP Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli.
Turut menyampaikan ucapan
penghargaan kepada Pandikar adalah Menteri Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Pandikar merupakan bekas
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua
Dewan Rakyat menggantikan Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Pelantikan Pandikar sebagai
YDP dibuat mengikut Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan dicadangkan oleh
Perdana Menteri yang hanya mengemukakan satu nama bagi jawatan itu kepada
Setiausaha Dewan Rakyat, Roosme Hamzah melalui surat bertarikh 10 April 2008.
Pandikar Amin yang
berkelulusan undang-undang sebelum ini pernah dilantik sebagai Senator dan juga
merupakan Presiden Parti Angkatan Keadilan Rakyat (Akar Bersatu) yang kini
sudah dibubarkan.
No comments:
Post a Comment