TENOM: Penguatkuasaan
undang-undang dan pemantauan rapi perlu dilakukan oleh Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menangani masalah barang
tiruan di pasaran.
Ahli Parlimen Tenom, Datuk
Raime Unggi, berkata pihak kementerian perlu membuat pemantauan yang kerap
kerana masih terdapat segelintir masyarakat di kawasan luar bandar yang kurang
peka terhadap hak untuk mendapatkan sesuatu barangan yang berkualiti dan
bermutu dalam membeli sesuatu barangan.
Beliau berkata, masyarakat
perlu mempunyai pengetahuan tambahan dalam membeli sesuatu barangan supaya
tidak menjadi mangsa penipuan atau membeli barangan yang tidak berkualiti
terutamanya barangan tiruan.
“Saya tidak mahu rakyat
terutamanya di kawasan luar bandar terpedaya atau tertipu dengan pelbagai
teknik penjualan dan pemasaran yang dilakukan oleh sesebuah syarikat yang
menjual produk mereka untuk mendapatkan keuntungan semata-mata.
“Rakyat yang juga merupakan
pengguna perlu bijak, teliti dan mendapatkan maklumat langsung mengenai sesuatu
barangan terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barangan tersebut kerana kita
tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan,” katanya ketika berucap
merasmikan Majis Perasmian Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Tenom, di
Sedco Vest Tenom, baru-baru ini.
Mengenai penubuhan Persatuan
Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Tenom ini, katanya, amat bermanfaat kepada
peniaga dan penjaja di sekitar daerah Tenom kerana segala urusan atau masalah
dapat diselesaikan menerusi kerjasama di antara ahli-ahli dalam persatuan.
“Dengan adanya persatuan
ini, ahli-ahli persatuan akan dapat menyuarakan pendapat atau masalah yang
dihadapi tanpa menyelesaikannya secara bersendirian.
“Dalam menubuhkan persatuan
ini, aspek pentadbiran persatuan amat penting disusun dengan baik dan teratur
kerana persatuan yang mempunyai pentadbiran dan pengurusan yang baik akan dapat
menambahkan lagi keyakinan ahli-ahli persatuan dalam membantu menyelesaikan
sesuatu masalah,” jelasnya.
Dalam majlis itu, Raime
turut mengingatkan para penjaja dan peniaga kecil supaya mendaftar di bawah
Majlis Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (M3P) melalui persatuan sebagai
persiapan untuk pemberian Perlindungan Insurans Berkelompok secara percuma
melalui Skim Takaful Mikro Bank Rakyat.
“Skim ini bertujuan untuk
memberi perlindungan dan menjaga kebajikan peniaga daripada sebarang masalah
seperti kemalangan. Manakala, faedah perlindungan insuran ini sehingga umur
seseorang peniaga itu mencecah umur 70 tahun.
“Skim ini juga akan mulai
berkuatkuasa pada bulan Januari 2013 dan semua para penjaja dan peniaga kecil
adalah digalakkan untuk mendaftar segera,” katanya.
Hadir sama, Penolong Pegawai
Daerah Kecil Kemabong, Fredian Gan, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga
Kecil Daerah Tenom, Tukimin Tumin, pegawai KPDNKK dan para peniaga kecil.
No comments:
Post a Comment