Monday, 26 November 2012

APS DILANCAR DI KEMABONG RABU INI





 Oleh: JACKSON LU

TENOM: Kebangkitan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang dipelopori Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing kini semakin rancak menjelajah ke kawasan Pedalaman dan sasaran kawasan terbarunya ialah DUN Kemabong.

Jika sebelum ini Bumburing telah melebarkan sayap APS ke kawasan Parlimen Pensiangan, Tambunan dan Keningau; sambutan yang menggalakkan daripada kehadiran penyokong di luar dugaan, namun persoalannya sekarang apakah Kemabong juga mendapat sambutan sedemikian?

Ramai yang berkata bahawa besar kemungkinan sambutan adalah lebih menggalakkan, namun segala teka-teki itu hanya akan terjawab pada 28 November 2012 jam 2 petang di Kg Sungai Api apabila Bumburing dan pemimpin tertinggi dalam APS melancarkan APS DUN Kemabong di situ.

Dalam pada itu, Pengerusi Penganjur yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UPKO Pusat, Biyou Suyan memberitahu media, beliau tidak dapat pastikan kehangatan sambutan APS di Kemabong, namun Biyou yakin APS pasti mendapat sambutan yang luar biasa.

Ditanya lanjut kenapa rakyat di Kemabong kini beralih arah sokongan ke pihak pembangkang, Biyou berkata, persoalan pokok adalah berkisar kepada kebosanan dan ketidak yakinan rakyat terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN); sama ada negeri mahupun pusat mendorong rakyat di situ berbuat demikian.

"Apabila kerajaan sudah tersasar jauh daripada matlamat asalnya untuk menjaga hak asasi rakyat, terutamanya masalah tanah adat (NCR) yang semakin meruncing, sudah tentu tiada lagi penyelesaian lain yang boleh diharapkan melainkan mereka memutuskan untuk 'Tukar' kerajaan pada PRU-13," tegas Biyou.

Katanya, Inilah demokrasi yang kita amalkan kerana rakyat berhak bersuara dan memilih jalan yang baik untuk dilalui rakyat jika kerajaan sudah menyimpang dari landasan asal perjuangannya.

“Malahan setelah beberapa teguran dan cadangan dikemukakan, tetapi pemimpin kerajaan masih membisu. Apa boleh buat, keputusan drastik perlu dilakukan demi menyelamatkan hak rakyat dari terus diperkotak-katikkan,” tegas Biyou.

Selain itu, terdapat beberapa andaian daripada segelintir pemimpin masyarakat tempatan bahawa kekuatan pembangkang di Kemabong tidak senada dan sering bertelagah sesama sendiri menyukarkan mereka (pembangkang) menumbangkan BN pada PRU-13 yang merangkumi UMNO, PBS, PBRS dan UPKO.

Biyou Suyan, anak jati Murut Taghol, kelahiran Kemabong pernah suatu ketika dahulu menjawat jawatan Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) di era kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) sekitar tahun 1980-an dan sekali lagi dilantik ke jawatan itu selepas BN membentuk kerajaan pada tahun 1994.

Dalam pada itu, Biyou meminta rakyat Kemabong agar datang beramai-ramai ke majlis tersebut supaya mereka dapat mendengar sendiri penjelasan para pemimpin APS terutamanya Bumburing mengenai halatuju perjuangan APS.

No comments:

Post a Comment