Friday, 30 November 2012

EMPAT PREMIS PUSAT HIBURAN DIARAH TUTUP






TAWAU: Tidak memiliki lesen perniagaan yang sah, empat premis pusat hiburan di arah tutup serta merta dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan sekitar daerah ini, baru-baru ini.

Operasi selama lima jam yang bermula pada jam 10 malam itu tertumpu di premis pusat hiburan, restoran dan hotel bajet membabitkan 30 penguatkuasa pelbagai agensi.

Ketua Penguatkuasa Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang juga Ketua Operasi, Haji Azinun Sanarul, berkata terdapat juga satu premis penginapan yang didapati melakukan kesalahan berulang.

“Hanya lapan bilik sahaja yang dibenarkan beroperasi namun premis tersebut menjalankan lebih daripada apa yang telah ditetapkan MPT dan kemungkinan kita akan mengambil tindakan menarik lesen perniagaan serta merta,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas operasi berkenaan tamat kira-kira jam 2 pagi yang disertai Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Kastam.

Jelasnya, notis penutupan ini berkuatkuasa serta-merta dan sekiranya pemilik masih menjalankan perniagaan mereka, pihak penguatkuasaan MPT tidak akan teragak-agak untuk mengambill tindakan lebih berat.

Sehubungan itu, beliau meminta pengusaha premis yang terlibat agar segera berurusan dengan pihak pengurusan MPT jika mereka masih berminat untuk menjalankan perniagaan mereka.

Dalam pada itu, Azinun menyatakan bahawa pihaknya akan menjalankan operasi seperti ini dari masa ke semasa untuk memastikan semua premis di daerah ini mematuhi undang-undang ditetapkan

Sementara itu dalam operasi sama, pihak Imigresen berjaya menahan 14 wanita, berumur dipercayai warga asing berumur antara 18 hingga 30 tahun selepas gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Manakala pihak Kastam pula berjaya merampas 31 botol minuman keras di salah sebuah restoran kerana tidak memiliki duti kastam.

No comments:

Post a Comment