Oleh : HASLINDA ZAINAL DAN
SITI FATIMAH AHMAD
KUALA LUMPUR : Persis gadis
sunti yang melangkah ke alam dewasa, Pergerakan Puteri Umno yang kian
menghampiri usia 12 tahun, sayap bongsu Umno ini sudah semakin matang
menghadapi ranjau dan cabaran dunia politik semasa negara.
Sebagaimana pergerakan
politik lain, Puteri Umno, yang tidak terlepas daripada pelbagai kontroversi
dan kritikan dari dalam dan luar parti, terus komited untuk memenuhi keperluan
golongan wanita muda yang meminati dunia politik untuk menyumbang khidmat bakti
kepada agama, bangsa dan negara.
Senada dengan kepimpinan
ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mahu supaya Puteri Umno lebih
menyerlah dalam perjuangannya kepada agama, bangsa dan negara meskipun ia dalam
skala kecil tanpa publisiti tetapi memberi impak kepada golongan sasar.
"Kalau budak sekolah,
sudah hendak masuk ke sekolah menengah, Puteri Umno sekarang tidak boleh
disamakan dengan Puteri pada 12 tahun lepas, kami sudah melalui pelbagai
keadaan di mana tuntutan terhadap tanggungjawab dan peranan diperluas kepada
aspek yang melibatkan parti yang semakin matang, terbuka dan optimis untuk ke
hadapan bersuara dan memberi pandangan," katanya kepada Bernama.
Berpakaian merah jambu
sedondon dengan tudungnya, warna rasmi Puteri Umno, dengan wajah tidak lekang
daripada senyuman, Rosnah mesra menyapa penulis yang menunggu di bilik lounge
bangunan Parlimen sambil memohon maaf kerana lewat berikutan tugasan rasmi yang
mesti dilaksanakan terlebih dahulu.
Ternyata, Rosnah seorang
yang begitu mesra manakala ciri kepimpinannya juga terserlah setelah memegang
tampuk kepimpinan sayap Umno sejak 2009. Di awal penubuhan Puteri Umno pada 3
Ogos 2001 di bawah teraju Datuk Seri Azalina Othman Said, sayap parti itu
digeruni kawan dan lawan dengan kelantangan ketuanya bersuara.
Kepimpinan Puteri berganti
apabila Datuk Noraini Ahmad mengambil alih jawatan Azalina pada 2004 dan empat
tahun selepas itu, Rosnah menerajui Puteri apabila memenangi pemilihan sayap
bagi sesi 2008-2011, menggantikan Noraini yang telah melebihi had umur.
Dalam proses kematangannya,
Puteri tidak dapat lari daripada menghadapi cabaran terutama apabila beberapa
pihak melabel pergerakan itu seakan tidak relevan dan tidak berfungsi dalam
membantu perjuangan Umno.
"Mungkin orang tidak
faham, kami melalui proses politik yang berbeza. Sekarang sudah berbeza, kami
tidak pentingkan persepsi yang dilontar, kami ambil ia sebagai cabaran. Apa
yang penting ialah banyak mana manfaat yang kami sudah berikan kepada
rakyat," kata Rosnah tenang dan penuh optimis.
Untuk terus kekal relevan
dan mendapat tempat di dalam parti dan masyarakat, Puteri Umno merangka
pelbagai program berbentuk kebajikan dan sosial untuk berada lebih dekat dengan
masyarakat terutamanya golongan muda.
Rosnah berkata kebanyakan
program yang dijalankan Puteri Umno terus ditumpukan kepada golongan sasar dan
bersifat skala kecil menyebabkan publisiti kurang diberi.
Walaupun tiada liputan,
Rosnah kekal positif kerana ia tidak bermakna Puteri Umno hanya duduk diam
menyolek wajah tetapi berusaha gigih menerusi pelbagai program untuk mendekati
rakyat di samping mengambil data mengenai sikap pengundi di kawasan
masing-masing.
Program Puteri Prihatin (3P)
merupakan program tetap pergerakan itu untuk menawarkan khidmat kesihatan
percuma kepada masyarakat, rawatan percuma di klinik dan hospital serta rawatan
ibu baharu bersalin dan penjagaan bayi.
Sejak 3P dilancar pada Julai
tahun lepas sehingga kini, hampir 20,000 program dilaksana di peringkat
bahagian manakala 800 program di peringkat negeri.
Selain itu, program 'Life is
Precious' (Hargai Kehidupan) dan B2R (Banteras Ragut dan Rogol), 'Barber on
Wheel' (khidmat gunting rambut percuma kepada pelajar sekolah) dan 'Back To
School' (sumbangan peralatan sekolah) juga dilaksanakan di peringkat nasional.
Mengenai keanggotaan Puteri,
Rosnah berkata sehingga bulan lepas terdapat 394,316 anggota puteri yang
berusia antara 18 hingga 35 tahun. Daripada jumlah itu, 331,592 telah mendaftar
sebagai pemilih.
Sabah merupakan negeri
tertinggi bilangan keanggotaan dengan 56,300 anggota manakala peringkat
bahagian yang tertinggi ialah Kemaman dengan 6,359 ahli dan cawangan Dataran
Merdeka mencatat bilangan tertinggi iaitu 2,065 orang.
Setiap kali menerima anggota
baharu, pemimpin Puteri Umno di peringkat akar umbi akan memberi penjelasan
mengenai perjuangan parti terhadap bangsa, agama dan negara serta pentingnya
peranan pergerakan dalam menangkis tanggapan negatif masyarakat terhadap
golongan muda.
Mengenai Perhimpunan Agung
Umno 2012 yang akan bermula esok dengan perasmian perhimpunan tiga sayap
menjadi pembuka tirai, Rosnah berkata pergerakan itu akan fokus terhadap
persediaan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 selain memastikan golongan
muda terus menyokong kerajaan.
Sambil mengakui bahawa
pilihan raya umum ke-13 bakal menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah
Malaysia, beliau menegaskan Puteri Umno perlu menumpukan kepada kekuatan parti
selain memastikan bahawa keperluan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Mengenai perancangannya pada
pemilihan parti pada tahun hadapan, Rosnah, 40, yang juga Anggota Parlimen
Papar berkata beliau belum memikirkannya kerana apa yang menjadi fokus utamanya
kini adalah persediaan parti menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Bagi Rosnah, sama ada ada
berjawatan atau tidak, beliau akan kekal bersama parti dan berjuang
habis-habisan untuk memastikan perjuangan Umno dalam membela rakyat diteruskan.
"Empat belas tahun
lepas saya bukan anggota Umno, tetapi sekarang saya tahu hanya Umno dan Barisan
Nasional (BN) benar-benar ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Saya
bangga menjadi anggota Umno dan akan terus setia bersama parti," katanya.
Beliau mengingatkan anggota
Puteri Umno supaya mempergiat usaha memperkasa jentera parti untuk memastikan
kemenangan Umno dalam pilihan raya umum kerana kehilangan kuasa adalah sesuatu
yang tidak boleh dikompromi.
"Perjuangan parti harus
berpaksikan kepada perjuangan untuk parti dan bukan untuk diri sendiri, sama
ada bertanding atau tidak ia tidak harus difikirkan. Apa yang penting adalah
komitmen dan tahap kesiapsiagaan. Jangan hanya bercakap di mulut, apa yang
dikata kita kotakan. Kita perlu bersedia pada tahap luar biasa," katanya.
Merah jambu yang menjadi
simbol warna lembut dan feminisme seharusnya terus memberi inspirasi kepada
Rosnah dan barisan kepimpinannya untuk terus bekerja keras memastikan bahawa
warna itu tidak luntur dan kekal menjadi warna menawan yang anggun dan terus
relevan serta menyerlah di dalam perjuangan parti. (Bernama)
No comments:
Post a Comment