Sunday, 25 November 2012

MENILAI TINGKAH LAKU PEMIMPIN POLITIK





Oleh : MARKUS LIM

AHLI PARLIMEN Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Jika beberapa tahun lalu, beliau mengundang kemarahan kaum wanita di atas komen bocor terhadap Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan, kali ini beliau menggemparkan umum dengan menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang pengguna twitter.

Dakwa beliau, pengguna twitter itu cuba memprovokasinya. Bagi Bung Moktar, beliau ingin mengajar pengguna twitter itu untuk lebih bersopan-santun dan tidak secara sewenang-wenangnya menyalahgunakan twitter.

Hakikatnya, Bung Moktar merupakan seorang politikus yang berwarna-warni. Pastinya, pentas politik di negara kita secara amnya dan di Parlimen secara khususnya tidak sama tanpa kehadiran beliau.

Kelantangan untuk bersuara membidas pembangkang dan ada kalanya terhadap pemimpin kerajaan menjadikan Bung Moktar cukup istimewa dan sukar diramal.

Suka atau tidak, itulah Bung Moktar yang kita kenali selama ini!

Penulis mengenali Bung Moktar ketika menerbitkan sebuah rancangan bual bicara bersama dengan sebuah stesen radio tempatan. Kesempatan keemasan itu dimanfaatkan penulis untuk mendekati sikap Ahli  Parlimen Kinabatangan itu.

Pada hemat penulis, Ahli Majlis Tertinggi Umno itu merupakan seorang yang peramah dan mudah didekati, tidaklah seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.

Namun, jangan salah faham dengan kenyataan ini. Tidak bermakna penulis menyokong segala tindak-tanduk beliau yang penuh kontroversi itu. Apa yang salah tetap salah dan apa yang betul tetap betul.

Untuk memahami mengapa segelintir pemimpin politik bersikap sedemikian, jawapan cukup mudah. Semua pemimpin politik memerlukan “kontroversi” untuk terus kekal popular dalam pentas politik. Tanpa sebarang kontroversi, maka nama dan popularitinya tidak mungkin akan meletup. Pendek kata, kelangsungan mengatasi segala-galanya.

Akan tetapi, figura awam tetap figura awam. Mereka tidak dapat lari daripada menerima publisiti sama ada yang baik mahupun yang buruk. Oleh itu, kepada mereka yang Ingin menjadi popular sekalipun perlu juga bijak menangani tekanan.

Dalam kes membabitkan Bung Moktar, adalah lebih baik untuk tidak memberikan sebarang reaksi langsung terhadap komen pengguna twitter yang dimaksudkan. Tindakan beliau untuk memberi maklum balas sememangnya dinantikan oleh pengguna twitter berkenaan.

Tanpa disedari, Bung Moktar sebenarnya terjerat dalam perang saraf yang cuba dicetuskan oleh pengguna twitter itu. Berkemungkinan pengguna twitter sememangnya berniat untuk memprovokasi Bung Moktar dengan harapan imejnya di mata rakyat terus tercalar.

Kepada YB Bung, bukankah kesabaran sebahagian daripada iman? Apa perlunya untuk melayan kenyataan-kenyataan daripada pengguna twitter itu? Dalam pentas politik, semuanya berkisar kepada persepsi. Apakah YB benar-benar bersedia untuk menggadaikan imej anda semata-mata untuk menebus kemarahan itu?

Bayangkan jika terdapat 100 orang pengguna twitter yang berkelakuan sedemikian, apakah YB Bung mempunyai masa untuk melayan kerenah mereka? YB Bung perlu sedar bahawa segala tutur kata dan gerak-geri anda diperhatikan.

Dalam suasana politik negara yang masih belum matang sepenuhnya, kehadiran pemimpin politik yang sopan dan “gentleman” amat dialu-alukan. Negara kita memerlukan kehadiran pemimpin politik yang tahu untuk membawa diri ke mana sahaja mereka berada.

Sudah tiba masanya kelakuan dan tindak-tanduk pemimpin yang bercanggah dengan norma-norma yang dibenarkan dalam masyarakat dikikis. Mungkin juga pemimpin-pemimpin politik yang tidak tahu mengawal diri perlu memikirkan satu cara terbaik untuk mengawal kemarahannya.

Pertahankan imej di mata rakyat atau melepaskan geram terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab?

Jawapannya sudah pun ada di hadapan mata kita!

No comments:

Post a Comment