BEKAS Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad meramalkan bahawa Umno mungkin tewas sekiranya jentera
peringkat bahagian masih belum bergerak aktif kerana menunggu calon diumumkan.
Dalam satu wawancara
disiarkan Utusan Malaysia hari ini, Mahathir berkata jentera berkenaan
sepatutnya sudah digerakkan walau pilihan raya umum mungkin akan diadakan dalam
tempoh enam bulan lagi.
"Saya dapati hanya
Najib nampak aktif, di peringkat bahagian mereka masih tunggu siapa yang bakal
jadi calon sebelum mereka mahu bergerak (untuk pilihan raya). Sifat macam ini
kalau berleluasa mungkin kita akan kalah.
"Sepatutnya mereka
aktif dari sekarang. Tidak perlu peduli siapa nak jadi calon. Kita nak bagi
parti menang," katanya seperti dipetik akhbar itu.
Mahathir berkata demikian
apabila ditanya sama ada Umno sudahpun melakukan persediaan mencukupi
memandangkan persidangan Umno yang bermula esok merupakan persidangan terakhir
sebelum pilihan raya.
Tambahnya, Umno masih lagi
mengalami masalah memandangkan ahli parti menurutnya hanya mahu individu
tertentu dipilih sebagai calon pilihan raya.
"Masalah Umno ialah
mereka mahu si polan si polan yang jadi calon. Kalau tak dapat orang dia, biar
kalah pun tak apa.
"Tapi kalau orang itu
menang tetapi parti kalah, akhirnya tidak boleh wujudkan kerajaan. Perkara
mudah begini pun takkan mereka tak faham," kata Mahathir.
Sementara itu, ditanya sama
ada sayap Umno sudah menjalankan perubahan yang diharapkan, beliau berkata, ia
masih belum memuaskan.
Beliau juga melihat, Pemuda
Umno tidak begitu aktif berbanding Wanita dan Puteri yang dilihatnya lebih
bersemangat.
Selain itu, dalam wawancara
itu juga, Mahathir turut menyatakan sokongannya terhadap Presiden Umno Datuk
Seri Najib Abdul Razak dengan kesediaan untuk berkempen untuk parti jika
dibenarkan.
Katanya, dengan berkempen,
ia merupakan masa unyuk membayar balik melalui parti selepas beliau dipilih
menjadi presiden parti seterusnya perdana menteri.
"Kali ini jika Najib
tidak membantah, saya akan terus berkempen. Ini adalah masa untuk saya membayar
balik kerana melalui parti inilah saya berupaya menang dan kemudian dipilih
sebagai presiden dan kemudian perdana menteri.
"Sudah sampai masa
untuk saya membalas balik jasa kepada parti," katanya.
Dalam pada itu, Mahathir
turut meramalkan bahawa BN akan memenangi semula negeri yang telah tewas pada
pilihan raya umum ke-12.
Bagaimanapun katanya,
kemenangan itu juga terpulang kepada Umno itu sendiri.
"Saya fikir terdapat
kemungkinan besar tiga negeri ini iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Selangor mampu
dimenangi semula. Malah ada kemungkinan yang kuat- kita mampu menawan semula
Pulau Pinang dan Kelantan.
"Namun itu semua
terpulang kepada Umno itu sendiri," katanya sambil menambah, sabotaj
dalaman merupakan faktor utama yang menyebabkan kekalahan Umno.
No comments:
Post a Comment