Oleh : SUSAN LOONE
PENGERUSI Kebangsaan DAP,
Karpal Singh menggesa kepimpinan PAS campurtangan dan menyelesaikan segera
kontroversi terbaru berhubung peraturan di Kelantan yang melarang pendandan rambut wanita memotong
rambut pelanggan lelaki.
"Saya terkejut Kelantan
telah memutuskan untuk memperluaskan peraturan tersebut ke atas bukan
Islam," kata Karpal dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang.
Katanya, seringkali kerajaan
negeri PAS secara terbuka mengisytiharkan bahawa undang-undang Islam tidak
membabitkan bukan Islam, sepertimana parti itu juga berkata bahawa hudud bukan
untuk bukan Islam.
Karpal yang juga ahli
Parlimen Bukit Gelugor berkata, ramai rakyat Malaysia bimbang hukum yang sama
akan dikenakan di negeri-negeri lain yang ditadbir oleh Pakatan dan sama ada
hudud juga akan membabitkan bukan Islam
"Keputusan ini, pada
fikiran saya, adalah tidak mengikut perlembagaan dan boleh dicabar di mahkamah,
dan ia tidak boleh dikenakan kerana ia menyalahi undang-undang," kata
Karpal.
"Majlis (tempatan)
tidak harus mengumpul denda berdasarkan peraturan yang menyalahi
undang-undang," katanya.
'Selesaikan segera'
Ahli politik veteran itu
menggesa kepimpinan PAS campurtangan dan menyelesaikan perkara itu dengan segera
kerana BN tidak seharusnya dihidangkan dengan isu-isu seumpama itu untuk
dieksploitasi dalam pilihan raya umum akan datang.
Karpal melabelkan
peraturanyang dikenakan oleh kerajaan negeri itu sebagai bentuk undang-undang
yang paling rendah, walaupun ia dibuat oleh pihak exco dan mereka yang
mentadbir kerajaan tempatan.
Enakmen itu kemudiannya
diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan, katanya.
Beliau mengulas kontroversi
yang melibatkan seorang pendandan rambut dari salun rambut E-Life di komplek membelibelah
KB Mall yang disaman oleh pegawai penguatkuasa majlis perbandaran yang
berpakaian biasa kerana memotong rambut pelanggan lelaki.
Ahli Exco kanan Kerajaan
Kelantan, Datuk Anuar Tan Abdullah berkata Majlis Perbandaran Kota Baru harus
menunjukkan kelonggaran apabila menguatkuasakan larangan pendandan rambut
wanita memotong rambut pelanggan lelaki itu, jika kedua-duanya adalah bukan
Islam, tetapi menekankan bahawa dasar kerajaan negeri mengenai perkara itu
adalah jelas.
Saingan Pakatan, terutama MCA,
telah mengutuk peratusan itu sebagai sebahagian daripada usaha PAS untuk
melaksanakan sekatan ke atas bukan Islam, dan menyeru DAP memutuskan hubungan
dengan sekutu politiknya. (MKINI)
No comments:
Post a Comment