KUALA LUMPUR : Selasa ini,
5,447 orang anggota perwakilan Umno berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC) pada perhimpunan agung yang bakal menunjukkan kepaduan dan kesiapsiagaan
parti itu sebelum menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Dalam wawancara khas bersama
pengarang-pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Utusan
Malaysia baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku
Presiden Umno berkongsi harapan beliau untuk melihat kepaduan dalam Umno untuk
terus menggalas tanggungjawab membela nasib orang Melayu dan semua kaum di
Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju dan bersatu di bawah Gagasan
1Malaysia.
Berikut adalah transkrip
wawancara yang dihadiri Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong, Ketua
Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak, Timbalan Ketua Pengarang
Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia Datuk
Othman Mohamad, serta pengarang berita Bernama Mokhtar Hussain dan Penolong
Pengarang Utusan Malaysia Zulkefli Hamzah.
SOALAN:
Apakah mesej dan harapan kepada perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2012
memandangkan ia merupakan perhimpunan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13
(PRU-13).
NAJIB: Bukan rahsia lagi ini
merupakan perhimpunan terakhir sebelum PRU-13. Oleh itu, perhimpunan agung pada
kali ini seharusnya menggambarkan sebuah parti yang sudah bersedia untuk
menghadapi pilihan raya dalam erti kata yang sebenarnya, secara komprehensif
dan menyeluruh sama ada dari segi imej parti kita, hala tuju parti, perpaduan
dalaman parti, organisasi sampailah ke peringkat akar umbi.
Ia seharusnya menampilkan
sebuah parti yang sudah pun kukuh, mantap dan mempunyai daya juang dan motivasi
yang tinggi untuk memastikan kemenangan yang besar untuk Umno dan BN.
SOALAN:
Jika dibandingkan dengan perhimpunan yang lepas, bagaimana Datuk Seri menilai
pencapaian Umno setahun kebelakangan ini termasuk dari segi kekuatan, termasuk
juga kalau ada kelemahan?
NAJIB: Umno sebagai sebuah
parti telah dapat menambahkan persiapan dan kesediaannya untuk menghadapi
pilihan raya akan datang. Kerja-kerja yang telah diarahkan kepada parti telah
dapat disempurnakan. Sama ada persediaan sampailah peringkat kepada pusat
daerah mengundi, sampailah kepada kerja-kerja lain yang patut kita lakukan
sebagai sebuah parti termasuk kursus, penambahan pengundi, memastikan khidmat
bakti kita kepada masyarakat terus ditingkatkan lagi dan mengelak daripada
permasalahan dalaman yang boleh menggugat imej parti.
Saya akui memang bukan
semuanya boleh dikatakan ideal atau tidak ada masalah dalaman sama sekali. Tapi
umumnya memang lebih baik hari ini berbanding setahun yang lalu dan tentu jauh
lebih baik daripada gambaran yang kita lihat dalam Pakatan Rakyat yang hari ini
menampilkan parti yang tidak sehaluan, ikatan yang rapuh dan banyak yang cuba
diselindungi mereka selama ini hari ini sudahpun terbongkar dan sudah tidak
dapat dibendung lagi.
Apa yang dilihat sebagai
permasalahan dalaman, sama ada dilihat dari segi perbezaan hala tuju ataupun
dari segi perkara pokok seperti siapa patut jadi perdana menteri mahupun dari
segi amalan-amalan dalam parti yang telah pun dipertikaikan hebat seperti
pendapat tentang kebebasan menukar agama, pendapat tentang amalan yang tidak
selari dengan Islam dan sebagainya.
Jadi, kalau kita lihat
antara dua itu, Umno dan BN dilihat sudah lebih menambah keyakinan manakala
parti pembangkang lebih menimbulkan banyak tanda tanya dan kontroversi yang
boleh dipertikaikan oleh pengundi.
SOALAN:
Adakah perkembangan ini boleh memberi perangsang kepada BN dan Umno?
NAJIB: Sama ada ia memberi
keuntungan kepada kita ialah sejauh mana kita dapat menyampaikan mesej kita
kepada rakyat. Komunikasi kita kepada rakyat. Itu yang perlu. Bila saya sebut
komunikasi, bukan secara konvensional tapi juga melalui media alternatif dan
sebagainya. Ini perlu dilakukan supaya rakyat benar-benar tahu bahawa pilihan
yang terbaik adalah untuk Barisan Nasional.
SOALAN:
Boleh Datuk Seri nyatakan lima sebab utama mengapa Umno/BN perlu diberikan
mandat besar dalam pilihan raya ini?
NAJIB: Umno dan BN mempunyai
visi atau wawasan dan hala tuju yang cukup jelas, dan bukan macam pembangkang
yang masih kabur. Umno dan BN merupakan satu pakatan yang terikat kepada
dasar-dasar yang disokong bersama dan tidak ada percanggahan dari segi dasar
mahupun ideologi, berbanding dengan pembangkang yang seringkali mengeluarkan
pendapat yang berbeza dan bercanggah atas soal-soal pokok dan fundamental.
Kita mempunyai 'track
record' pencapaian yang terbukti dan tidak boleh disangkal dalam mengurus
negara kita. Kita telah dapat meyakinkan rakyat bahawa peta jalan ke hadapan
adalah berdasarkan kemampuan kita untuk melaksanakan selama ini. Maknanya
keyakinan rakyat bahawa kemampuan kita untuk melaksanakan agenda negara iaitu
transformasi besar yang ingin kita perlihatkan.
Dari segi kekuatan moral
yang ada pada kita berdasarkan pada prinsip janji ditepati sebab kita sebagai
sebuah kerajaan tidak pernah janji yang kita tak dapat tunaikan. Sebagai
kerajaan, janji. Parti pembangkang sebaliknya bertujuan memperdaya pengundi
asalkan matlamat mereka nak merampas Putrajaya tercapai.
Hatta jawatan Perdana
Menteri pun tidak sependapat. Mereka tidak ada kabinet bayangan pun dan
ideologi mereka sering bercanggah dan asyik berubah.
Siapakah yang boleh
menjanjikan masa depan yang lebih baik dan lebih bersinar berbanding dengan
pembangkang, yang tahap kredibiliti dan keyakinan boleh dipertikaikan.
Masa depan kita, masa depan
anak-anak kita terlalu mahal untuk diperjudikan dan mengambil risiko yang
terlalu besar. Sebaliknya dengan Barisan Nasional, tahap keyakinan lebih tinggi
dan ini dapat kita lihat dari segi prestasi pasaran termasuk pelabur-pelabur
dalam dan luar negara terhadap kemampuan kita untuk mentadbir negara dengan
baik dan berkesan.
SOALAN:
Datuk Seri tentu akan menggunakan ucapan dasar Presiden untuk memberi ucapan
jelas kepada seluruh jentera parti dan rakyat. Boleh Datuk Seri jelaskan?
NAJIB: Ya, ucapan dasar
biasanya boleh dianggap sebagai penentu kepada perbahasan yang berlaku dalam
perhimpunan kerana jurucakap akan mengambil iktibar daripada ucapan Presiden.
Jadi, kandungan dan
penegasan yang saya akan buat dalam ucapan itu sepatutnya meletakkan parti kita
melalui perbahasan itu kepada satu keadaan yang dapat menggambarkan
perkara-perkara yang positif kepada Umno sama ada dari segi pencapaian kita
selama ini, hala tuju dan juga keyakinan terhadap kepimpinan Umno dan
seterusnya. Di samping itu boleh memberi jawapan kepada tuduhan-tuduhan yang
dibuat oleh pembangkang kepada kepimpinan Umno dan BN.
SOALAN:
Di Muktamar PAS baru-baru ini, ada doa hendak menghancurkan BN dan Umno.
Mungkin pada perhimpunan agung ini Datuk Seri hendak menyampaikan kepada
anggota Umno bagaimana hendak memberi reaksi atau bagaimana untuk melihat sikap
PAS ini.
NAJIB: PAS perlu cuba
menggambarkan parti itu sebagai sebuah parti Islam. Tapi sama ada perbuatan itu
(doa) adalah benar-benar menepati prinsip dan syariat Islam atau sebaliknya ia
merupakan sebuah parti politik yang berselindung di sebalik imej Islam. Itu
yang harus dibincang oleh parti Umno dan kalau dapat kita mengetengahkan
hujah-hujah yang bernas, maka kita boleh muncul sebagai parti yang utama di
kalangan orang Melayu.
SOALAN:
Datuk Seri masih percaya bahawa orang Melayu boleh disatukan? Dalam suasana
global dengan pemikiran orang yang semakin terbuka seperti sekarang, apakah
caranya?
NAJIB: Kita ada dua pilihan.
Satu ialah penyatuan parti-parti politik yang mewakili orang Melayu atau kita
boleh tampilkan Umno sebagai pilihan majoriti besar orang Melayu. Sebab dalam
sistem kita, kemenangan terletak pada pihak yang dapat suara yang lebih.
Jadi bagaimana kita mencapai
suara yang lebih? Tidak lain dan tidak bukan ialah melalui keyakinan rakyat
terhadap kemampuan kita membela agenda yang dekat di hati orang Melayu. Dan
saya yakin dan percaya pilihan utama pada orang Melayu ialah parti Umno.
SOALAN:
Orang lain menggunakan kaum dan agama sebagai asas penyatuan. Tetapi orang
Melayu bersikap sebaliknya, mengapa?
NAJIB: Orang Melayu telah
dikelirukan dengan hasutan dan fitnah yang bertalu-talu terhadap pemimpin Umno
dan Umno itu sendiri, walaupun dakyah-dakyah tersebut merupakan serangan
politik dan tidak ada asasnya. Kerana juga terpedaya dengan imej luaran seperti
label parti yang dikatakan parti Islam dan rupa pemimpin yang mereka anggap
lebih Islamik.
Sepatutnya kita nilailah
dari segi pengisian dan agenda yang boleh meninggikan perjuangan dan syiar
Islam, dan Umno telah membuktikan parti ini dapat memperjuangkan tuntutan Islam
berdasarkan Maqasid Syariah.
Sejak dulu lagi kita
perjuangkan Islam, bermula dengan Perlembagaan, pembentukan institusi-institusi
Islam serta program-program Islam yang kita telah wujudkan dan martabatkan,
seperti perbankan Islam.
SOALAN:
Berbalik kepada perhimpunan agung. Pada pilihan raya tahun 2008, keputusan
dianggap kejutan dan pihak luar banyak meramalkan bermulanya era kejatuhan
Umno. Tapi dengan kepimpinan Datuk Seri nampak ada peningkatan pada tahun
pertama, kemudian ada peningkatan lebih besar pada tahun kedua dan akhirnya
sekarang. Seperti ada satu kebangkitan. Kalau Datuk Seri boleh kongsi dengan
kita bagaimana kebangkitan itu boleh berlaku? Mungkin ada rahsia atau strategi.
NAJIB: Saya berpegang kepada
prinsip bahawa kalau kita dah jatuh kita mesti bangun semula dan kalau kita dah
berjaya kita mesti teruskan kejayaan kita. Jadi bila saya ambil alih kepimpinan
parti dan kerajaan, saya berazam, beriltizam untuk membuat apa saja yang
termampu supaya kita dapat memulakan proses kebangkitan semula kepada Umno dan
BN.
Antaranya ialah bermula
dengan Gagasan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'. Itu
sebagai falsafah induk yang saya praktikkan dalam semua dasar kerajaan. Sebab
itu, kalau kita lihat dasar-dasar kita lebih berbentuk inklusif, keterangkuman,
menegakkan prinsip keadilan sosial dan di samping itu menentukan bahawa kita
dapat mengetengahkan idea-idea baru dan menjadi lebih kreatif.
Saya amat faham pada abad
ke-21 ini, keunggulan akan dapat diperoleh mana-mana pihak yang dapat memenangi
pertandingan antara idea. Orang putih kata 'contestation of ideas'. Sebab
itulah banyak program yang kita laksanakan hari ini, tak terfikir sebelum ini.
Daripada Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Pusat Transformasi Bandar
(UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Teksi Rakyat 1Malaysia, Bantuan
Rakyat 1Malaysia dan sebagainya.
Tapi di samping itu, soal
pokok dalam pentadbiran negara yakni kita mesti ada kecekapan dalam mentadbir
negara, tidak boleh kita ketepikan. Maknanya, pengurusan ekonomi negara kita
mesti menjurus kepada ekonomi yang lebih kukuh dan merangsang pertumbuhan.
Walaupun dunia Eropah dalam
'recession' dan pemulihan ekonomi di Amerika Syarikat masih tidak menentu lagi,
tetapi kita dapat menentukan pertumbuhan yang agak kukuh. Lebih 5.2 peratus
pada suku ketiga tahun ini dan kita dapat menyediakan lebih 300,000 peluang
pekerjaan.
Pelaburan langsung asing
(FDI) tahun 2009 sebanyak RM5 bilion, tahun 2010 RM29.3 bilion, tahun 2011
meningkat RM36.6 bilion. Ini semua pencapaian yang orang kata bertentangan
dengan arus ekonomi dunia yang telah kita peroleh.
Dengan ini kita dapat
memastikan bahawa kemampuan kerajaan itu dapat kita teruskan pada tahap yang
tinggi, dengan tahap keyakinan yang tinggi.
Dan apa yang telah cuba
dikemukakan oleh Pakatan Rakyat seperti Buku Jingga dan Bajet 2013 dan
sebagainya, nampaknya pakar-pakar ekonomi tidak memberi penilaian yang tinggi
kepada dasar dan program alternatif mereka. Sehingga kalau kita tanya
'investment bankers' dan penganalisis kewangan (fund managers), mereka tidak
memberi penilaian yang tinggi kepada apa yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat.
Maknanya, mereka lihat cuma
Barisan Nasional yang merupakan kerajaan yang 'viable' kepada mereka sebagai
pakar dalam bidang ekonomi. Di samping itu, kita mesti pastikan kejayaan
ekonomi negara kita itu dapat mengalir kepada rakyat jelata. Sebab itu
program-program kita di peringkat makro telah berjaya. Kita juga nak pastikan
bahawa mereka yang memerlukan pembelaan, pertolongan dan bantuan kita juga
dapat melakukannya.
SOALAN:
Daripada aspek parti, di peringkat awal orang geleng kepala "Bolehkah
Najib bawa kebangkitan kepada BN?" tapi akhirnya sekarang terbukti BN dan
Umno bertambah mantap dan kemungkinan besar berpeluang untuk kekal memerintah.
Apa rahsianya, dibandingkan dengan tekanan-tekanan yang Datuk Seri hadapi?
NAJIB: Saya meletakkan ini
sebagai satu cabaran kepada diri. Maknanya cabaran dari segi jawatan saya dan
secara peribadi. Supaya dalam keadaan krisis... kalau kita boleh anggap ini
sebagai satu krisis... kita mesti gunakan segala kekuatan dan kemampuan yang
ada pada kita dan menghadapi cabaran itu dengan menambahkan lagi usaha, daya
fikiran kita, kemampuan kita, akal kita hatta kemampuan fizikal kita. Itu yang
telah saya nyatakan pada diri, saya telah janji pada diri saya untuk melakukan
yang terbaik.
SOALAN:
Datuk Seri, tanpa menafikan kejayaan setakat ini, masih ada penganalisis
percaya bahawa kerajaan masih menghadapi cabaran untuk mendatangkan sokongan
terutamanya kaum Cina. Apakah ini satu realiti atau persepsi?
NAJIB: Kita dalam sistem
demokrasi terbuka, dalam keadaan di mana persekitaran hari ini sudah berubah
dan perubahan ini berdasarkan beberapa faktor. Antaranya akses kepada
pendidikan yang semakin meluas, taraf pendidikan yang semakin meningkat di mana
mereka yang tinggal di kawasan bandar tidak perlu lagi kepada kemudahan asas.
Jadi politik pembangunan tidak lagi menjadi perhitungan mereka.
Ketiga, kemunculan media
sosial yang begitu berpengaruh, yang tidak pernah kita hadapi pada masa-masa
yang lalu. Pada tahun 2008, media sosial baru saja muncul sebagai satu media
alternatif tapi hari ini sudah jadi kebiasaan kepada banyak pihak untuk
memperoleh maklumat dan apa-apa berita.
Dalam keadaan persekitaran
yang sudah berubah ini, ini dikatakan politik baru. Kita telah melakukan
anjakan dari segi pendekatan kerajaan. Kalau kita tak lakukan anjakan paradigma
ini, kerajaan akan dilihat sebagai kerajaan yang kaku, kerajaan yang cuma boleh
berjaya dalam persekitaran yang lama.
Tapi sekarang kita sudah
lakukan perubahan supaya dalam keadaan sekarang ini kita boleh jadi kerajaan
yang mendapat sambutan rakyat termasuk daripada kalangan generasi muda. Sebab
kita dah mulakan pendekatan kepada generasi baru. Buktinya dalam pilihan raya
kampus baru-baru ini kita telah menang 18 daripada 20 institusi pengajian
tinggi. Ini satu kejayaan yang besar. Kalau orang muda tak sokong kerajaan tak
mungkin kita menang.
Walaupun saya akui kita
mempunyai masalah dengan pengundi Cina, tapi jangan kita rasa kita patut
ketepikan mereka. Tetapi kita harus menambah 'engagement' dengan mereka untuk
mengetahui apakah kehendak dan tuntutan mereka dan bagaimana kita boleh respon
kepada kehendak mereka.
Saya lihat mereka pun sedar
hari ini bahawa walaupun mereka tak perlu sangat kepada kerajaan sebab mereka
tinggal di kawasan bandar dan segala sudah ada, tapi mereka juga harus sedar
bahawa kejayaan mereka sebagai individu dan sebagai satu komuniti disebabkan
dasar-dasar kita juga yang mewujudkan persekitaran yang memberangsangkan, di
mana mereka boleh cari peluang perniagaan dan peluang majukan diri. Kalau lihat
di masa depan, mereka juga perlukan negara yang ditadbir, diurus dengan baik.
Jadi BN boleh buat perkara
ini di samping kita buat 'adjustment' kepada dasar-dasar kita yang mana mereka
tak puas hati, dan kelemahan-kelemahan yang mereka kata perlu kita perbaiki.
Umpamanya kalau mereka bimbang kadar jenayah di bandar. Jadi kita sedang respon
dengan langkah-langkah yang telah dan akan kita buat lagi. Kita tak kata kadar
jenayah sudah menurun jadi kita tak perlu buat apa-apa, tidak. Saya terima
selagi rakyat rasa mereka tak puas hati, dan kita patut perhebatkan lagi untuk
melenyapkan segala kebimbangan dan kekhuatiran mereka.
SOALAN:
Banyak dengar remarks dari orang Cina, mereka suka Najib tapi tak suka parti.
Seolah-olah perubahan yang berlaku dalam parti masih belum memenuhi apa yang
masyarakat Cina mahu. Contohnya, ada suara-suara yang tak senada bila Datuk
Seri cuba bentuk Umno menghadapi politik baru.
NAJIB: Dalam sistem sekarang
ini, kalau mereka suka saya sebagai Perdana Menteri, mahu tidak mahu mereka
perlu beri sokongan kepada parti. Kalau tak pihak lain yang akan jadi PM dan
bukan saya. Maknanya orang lain yang dia tak nak jadi PM akan jadi PM. Dan
tonggak dalam sistem kita ialah sesiapa yang jadi PM. Jadi kalau dia nak saya
sebagai PM yang boleh bawa transformasi kepada negara kita sebagaimana yang
mereka dah yakin selama ini, jadi mereka perlu beri sekongan kepada saya.
Sebab PM yang kuat adalah PM
yang dapat sokongan rakyat secara menyeluruh adalah PM yang boleh bawa lebih
banyak kejayaan kepada negara ini. Daripada PM yang lemah atau tak dapat mandat
sepenuhnya, boleh dipertikaikan dan apa juga pembaharuan yang dia nak bawa.
Sebab sebarang perubahan itu akan menghadapi banyak cabaran. Kepimpinan tanpa
sokongan politik adalah kepimpinan yang tiada kekuatan moral. Kalau tiada
kekuatan moral, sukar nak hadapi cabaran-cabaran untuk bawa perubahan yang
besar kepada negara kita.
Jadi, kalau mereka tak suka
Umno atau BN, sekurang-kurangnya kita ni padu, sehaluan, cakap senada.
Berbanding pembangkang yang dari segi asasnya, ideologi pun dah bercangggah.
Siapa nak jadi PM pun tiada seia sekata.
SOALAN:
Kalau dibandingkan dengan 2008, adakah Datuk Seri nampak 'wind of change' dari
segi respon positif kaum bukan Melayu?
NAJIB: Ya, mereka suka
dengan hala tuju kita. Tapi sebarang perubahan akan makan masa sebab melibatkan
perubahan sikap manusia. Makan masa. Hatta Dr Mahathir (bekas perdana menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad) pun selepas 22 tahun mengakui, kalau ada pun, itulah
yang dia masih belum dapat capai sepenuhnya... mengubah sikap orang seperti
mana yang dia kehendaki. Barack Obama pun tuntut satu penggal lagi sebagai
Presiden Amerika Syarikat sebab dia kata mustahil hendak buat pembetulan apa
yang dilakukan zaman George W. Bush dalam masa empat tahun.
Jadi, apa yang kita nak buat
ini, dari segi transformasi ke arah negara maju berpendapatan tinggi, tak
mungkin dapat kita lakukan dalam masa tiga ke empat tahun ini. Ia tentu
menjangkau masa yang lebih lama lagi.
SOALAN:
Adakah Datuk Seri merasakan rekod pencapaian Umno dan kerajaan di bawah
kepimpinan BN adalah aset penting selain program transformasi untuk rakyat
memilih dan memberi mandat yang lebih besar?
NAJIB: Ya, rekod pencapaian
kita boleh dilihat yang kita telah melakukan banyak perkara yang memberi
manfaat kepada rakyat dan manfaat itu kita beri secara langsung kepada rakyat.
Walhal pembangkang tak ada 'track record'. Dan bila kita buat tema Janji
Ditepati, mereka mempertikai seolah-olah mereka terasa pula. Mungkin mereka
rasa banyak janji mereka itu tinggal janji saja. Kita tahu, tak payah kita
sebut, tanya orang ramai di Selangor, di negeri-negeri yang sedang mereka
perintah, bagaimana pendirian mereka terhadap janji-janji yang dibuat masa
pilihan raya. Ramai akan kata mereka kecewa dengan janji-janji yang tak
ditepati dan ditunaikan parti pembangkang.
SOALAN:
Menyentuh soal menangani politik baru. Pada satu tahap, Datuk Seri kena
memenuhi, mengurus, menangani tuntutan bukan Melayu. Pada satu tahap lagi, Umno
sebagai parti Melayu juga kena melihat tuntutan dan agenda Melayu. Bagaimana
Datuk Seri mengolah perkara ini dalam menangani keadaan sekarang?
NAJIB: Saya berpegang
prinsip Islam. Tuhan kata kita mesti berlaku adil sebagai pemimpin. Dan tuhan
tak kata kepada orang Islam sahaja, Tuhan sebut secara umum. Sebab itu kalau
kita berlaku adil, orang bukan Islam akan tertarik kepada kepimpinan orang
Melayu Islam. Itulah saya lihat keindahan Islam itu. Dan sebab itulah Islam
berkembang dari Kota Madinah ke seluruh pelosok dunia.
Bila kepimpinan Islam
berlaku adil jadi ramai orang tertarik kepada Islam sebagai satu agama yang
begitu indah, begitu mulia. Sebab itulah kita tak boleh bolot semua, sebab
orang lain pun menyumbang kepada negara kita.
Orang India dengan estetnya,
dengan jalan raya yang dibina. Orang Cina dengan keusahawanannya, sumbangan
dalam bidang perniagaan untuk negara kita. Dan mereka juga membayar cukai.
Jadi, asalkan kita faham perkara ini dan apa yang kita nak tolong orang Melayu
kita tolong. Apa yang kita nak tolong orang Cina, India pun kita tolong secara
adil dah saksama.
Misalnya kita masih teruskan
agenda Bumiputera sebab kalau sebuah negara kita ini membangun dan berjaya
hatta jadi negara maju tapi penduduk majoriti ini terpinggir tentu ini tidak
menyumbang kepada kesejahteraan dan kestabilan negara kita juga.
Kedua, kalau tak berlaku
adil pada yang lain, ini pun tak dapat tentukan negara terus aman dan stabil.
Kita kena terima hakikat dan realiti. Kena ingat pada Bumiputera bukan Islam di
Sabah dan Sarawak dan orang Asli juga, ada hak juga. Kita sebagai kepimpinan
teras juga merupakan sebuah kerajaan yang dapat membela semua kaum, komuniti,
besar kecil secara adil dan saksama.
SOALAN:
'Affirmative action' ini sesuatu yang perlu dibuat tapi ditolak pembangkang
sebab dia tak pakai istilah itu. Maka dia jadi lebih populis pada suatu masa.
Tapi kalau ditakdirkan mereka memerintah, mereka juga terpaksa melakukan
seperti yang BN buat selama ini.
NAJIB: Kita tak tahu apa
dasar yang akan diamalkan pembangkang sebenarnya. Sebab dalam pakatan tu ada
pasti yang nak asas perlembagaan kita dipinda. Sebab DAP dengan ideologi
Malaysian Malaysia yang tidak menerima prinsip dan semangat Perlembagaan. Dan
kita ada PAS yang nak wujudkan negara Islam ikut tafsiran mereka. Itu pun jadi
tanda tanya kerana definisi negara Islam itu pun masih kabur lagi. Ketiga, ada
Parti Keadilan Rakyat yang memperjuangkan pendirian yang boleh disangsi termasuk
kefahaman yang terlalu liberal dan pluralisme yang juga boleh menimbulkan
banyak kontroversi.
Jadi, apa dia bentuk hala
tuju Pakatan Rakyat masih samar-samar dan tak menentu. Siapa yang akan jadi
kuasa dominan pun belum tentu.
Cuma, dalam BN kita boleh jamin
dasar kita konsisten. Apa pun akan berlaku kita, ada jaminan bahawa hala tuju
dan dasar yang telah dibentang kepada rakyat dapat kita teruskan. Tapi,
pembangkang penuh risiko dan tanda tanya dan kesangsian. Sama ada kita sanggup
memperjudikan masa depan kita. Itu soal pokok.
SOALAN:
Semakin banyak perkembangan yang mahu tunjukkan pilihan raya di Malaysia tak
adil, tak telus dan pelbagai tohmahan... sudah ada usaha cari campur tangan
dari luar. Bagaimana hal ini boleh diurus supaya keputusan pilihan raya
diterima dan kita boleh gerak terus ke depan?
NAJIB: Kita pun nak
kemenangan berasaskan pilihan raya yang adil dan kita tak nak menang kerana
penipuan. Selama ni pun bila menang lima negeri bukan main seronok, tak ada pun
pertikai keputusan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya). (Datuk Seri) Anwar Ibrahim
(ketua pembangkang) dalam Umno dan BN pun tak pernah pertikai SPR. Sekarang
timbul seolah-olah mereka nak sediakan minda rakyat bahawa kalau BN menang dia
menang kerana penipuan. Ini menafikan amalan demokrasi kita yang selama ini
berjalan dengan baik.
Kita pun kali ini bersedia
bawa beberapa pemerhati Asean untuk pantau pilihan raya ini supaya mereka akan
lihat ia berjalan ikut Perlembagaan, undang-undang negara dan kesahihan
keputusan rakyat tak boleh dipertikaikan.
SOALAN:
Atau pembangkang tak yakin mereka boleh menang?
NAJIB: Sebab itu saya kata
dia menyediakan minda rakyat. 'Pre-emptive'. Ada juga orang kata bahawa kalau
dia tak menang, dia nak tunjuk perasaan juga. Nak tunjuk pilihan raya kita tak
telus dan tak adil. Segala-galanya boleh berlaku sebab mereka sangat obses,
mabuk nak menguasai Putrajaya. Australia pun dah tolak (permintaan Anwar untuk
memantau dan memerhati PRU-13).
SOALAN:
Ada kritikan yang berpendapat BN dan Umno tak cukup agresif walaupun berdepan
ibu pilihan raya terutamanya dalam melawan pembangkang.
NAJIB: Kita dalam kerajaan.
Apa pun kita buat ada batasnya. Pembangkang lain, dia tak ada sempadan termasuk
nak lempar fitnah, beri fakta palsu dan sebagainya. Pembangkang boleh buat. Tapi
kita dalam kerajaan kena ada rasa tanggungjawab dalam apa-apa yang kita nak
lakukan, itu mungkin menggambarkan seolah-olah kita tak agresif.
SOALAN:
Apa yang Datuk Seri nak anggota Umno dan BN buat dari sekarang hingga pilihan
raya? Apa mereka patut buat untuk menjamin kemenangan yang memuaskan?
NAJIB: Pertama sekali, mesti
ada disiplin organisasi. Kalau kita nak pergi perang, bala tentera kita mesti
tersusun dalam satu ikatan kepimpinan 'chain of command' yang mantap dan
berdisiplin. Kena tahu apa dia arahan, pematuhan arahan, lakukan kerja dan
sebagainya. Ini semua patut kita lakukan. Pengajaran kemenangan umat Islam
dalam Perang Badar umpamanya, kekalahan dalam Perang Uhud, ini semua pengajaran
dalam sejarah yang harus ada pada kita semua.
Kalau kita ada
'organisational discipline' saya percaya itu akan memberi kekuatan untuk kita,
kekuatan yang amat besar. Sebab kita ada bilangan tapi kita mesti sulami dengan
kekuatan disiplin organisasi yang saya nak tekankan, adalah amat penting.
Kalau kita tak disiplin
termasuk dalam menerima apa-apa keputusan parti, keputusan calon dan sebagainya
yang patut diterima atas kepentingan parti. Itu terangkum dalam 'organisational
discipline'.
SOALAN:
Ada pendapat Umno sukar uruskan sebahagian Ketua Bahagian kerana dianggap
sebagai 'warlord'. Bagaimana nak tangani perkata ini?
NAJIB: Itu termasuklah
disiplin organisasi. Termasuk kita semua. Kalau kita tak terima arahan mengikut
'chain of command', maknanya kita dah melanggar disiplin dan akibatnya kita
boleh kalah dalam perang. Dah terbukti dalam banyak sejarah. Saya sebut tadi
Perang Badar, Uhud dan perang-perang lain. Juga peristiwa pilihan raya sebelum
ini. Ada kawasan kita patut menang tapi kita kalah bila tiada disiplin
organisasi.
SOALAN:
Sejauh mana disiplin dah bertambah baik sejak Datuk Seri menerajui Umno dan BN?
NAJIB: Mereka dah beri ikrar
dan pengakuan. Tun Mahathir pun bantu, jumpa mereka, dah angkat tangan sumpah
pengakuan. Dalam perhimpunan agung pun dah berikrar. Saya tak berupaya buat
lebih daripada itu. Saya dah buat apa yang boleh saya buat. Jadi terserah
kepada tubuh badan sendirilah. Kalau mereka tak langgar sumpah... saya tak
tahulah. Itu terserah kepada mereka. Itu antara mereka dengan Tuhan.
SOALAN:
Jadi penubuhan Jawatankuasa Disiplin diharap sedikit sebanyak boleh membantu?
NAJIB: Sepatutnya kita tak
perlu disiplinkan sesiapa. Yang saya nak tekankan adalah 'self-discipline'.
Contohnya, kita tak perlu kepada AES (Sistem Penguatkuasaan Automatik) Bila
kita tahu tempat itu ada 'speed limit', kita tak perlu kepada AES sebenarnya.
Tapi kita terpaksa buat di sesetengah tempat sebab kita nak didik orang kita.
Kalau kita disiplin, kita dapat selamatkan nyawa dan diri kita.
Dalam kes ini, maknanya
kalau kita ada 'self-discipline' parti kita pasti capai kejayaan. Itulah yang
patut kita utamakan sebab kalau kita menang kerusi kita tapi gagal bentuk
kerajaan, tak ada makna. Maknanya kita jadi pembangkang. Kalau kita
terkontang-kanting sebagai pembangkang, apa maknanya. Soal pilihan raya ini
yang paling utama adalah kita nak bentuk kerajaan.
SOALAN:
Mengenai perpaduan Melayu dan Islam, akan berkait rapat dengan isu pilihan raya
dan Umno. Sejak beberapa tahun ini Raja-raja Melayu telah muncul melahirkan
kebimbangan mengenai perpaduan orang Melayu dan perpecahan di kalangan umat
Islam. Adakah Datuk Seri berkongsi kebimbangan ini?
NAJIB: Memang kita semua
bimbang atas perpecahan di kalangan umat Islam dan orang Melayu. Kita harap
bahawa orang Melayu akan memberi sokongan kepada Umno dalam pilihan raya sebagai
parti utama. Kalau kita dapat memperlihatkan Umno sebagai pilihan utama, Umno
akan muncul sebagai parti yang terkuat dengan sendirinya. Perpaduan Melayu
Islam bererti perpaduan di bawah naungan Umno dan sebagai parti utama. Tapi
kita tak sampai mendoakan kehancuran PAS.
SOALAN:
Datuk Seri kecil hati tak?
NAJIB: Tak, buat apa nak
kecil hati. Kita dah jangka macam-macam. Dulu dia panggil Mahathir sebagai
Firaun. Semua itu biasa. Saya tidur malam tidur jendera (lena).
SOALAN:
Datuk Seri menyentuh soal disiplin. Lembaga disiplin buat tindakan kerana
sabotaj. Mungkinkah cara menamakan calon lebih awal mampu mengatasi perkara
ini. Apa pro dan kontra Umno menamakan calon awal?
NAJIB: Saya rasa tidak boleh
terlalu awal, tidak boleh terlalu lambat juga. Jadi kita akan cari masa yang
mungkin kita rasakan paling sesuai. Kalau kita umum awal pun tak ada jaminan
juga tak akan berlaku (sabotaj). Kalau dalam nawaitu dia tak dapat terima,
sampai bila pun dia tak terima juga. Kalau kita terlalu lewat mungkin sukar bagi
kita nak buat sesuatu memulihkan keadaan.
Tapi kalau kita ada masa pun
masih tak dapat jamin 100 peratus tak berlaku sabotaj, gunting dalam lipatan,
duri dalam daging dan sebagainya. Ini semua kemungkinan yang boleh berlaku
dalam pilihan raya kita. Dan ini kalau berlaku pun bukan kali pertama.
Dulu-dulu pun ada tapi tak nampak sangat bila kita kuat.
Cuma bila keadaan kita
menghadapi tsunami dulu, nak pulih daripada tsunami dan kita nak menang dan
rampas balik negeri yang kita dah kalah... itu lebih sukar. Sebab
mempertahankan negeri yang kita dah menang itu tak sesukar mana tapi kalau kita
nak dapatkan balik negeri yang kita dah kalah beerti bahawa dalam kerangka
minda kita tu kita mesti letakkan kemenangan itu sebagai satu objektif mutlak
yang tidak boleh dipesongkan dengan mana-mana pertimbangan yang lain. Baru kita
boleh jamin kemenangan kita.
SOALAN:
Apakah hukuman paling layak diberikan kepada pengkhianat ini?
NAJIB: Yalah, kita hukum
macam mana pun, kita pecat daripada parti dia lari pada parti lain. Itu dah
kita tengok beberapa orang. Tak payah kita pecat pun ada satu dua yang tak
setia pada kita, dah terjun parti lain. Tapi mujur parti PR lagi ramai masuk
sebelah kita sebagai Bebas dan Umno. Tapi ada juga satu dua Umno yang tak setia
pada kita.
SOALAN:
Perpaduan Melayu, selalu 'equate' dengan ancaman kepada kaum lain. Boleh Datuk
Seri jelaskan yang sebenarnya Umno bukan hendak bersatu kerana nak berdepan
dengan kaum lain.
NAJIB: Perpaduan Melayu
bukan bererti kita menentang kaum lain sebab saya dah kata tadi, kita mesti
bawa kaum lain bersama kita. Ini semangat yang kita dah bawa sejak dulu lagi.
Dari zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak. Kenapa kita nak ketepikan apa
yang telah diasaskan oleh pemimpin-pemimpin pengasas kita? Kalau kita tak nak
kerjasama kaum lain, Tunku takkan buat Perikatan, Tun Razak takkan buat BN tapi
mereka buat sebab kita tahu kekuatan negara kita mesti berpaksi kepada
kerjasama antara kaum. Itu kita mesti pegang.
SOALAN:
Pembangkang kata Umno rasis bila cakap pasal perpaduan Melayu.
NAJIB: Itu dia tuduh, kita
tak rasis daripada dulu lagi. Cuma ada beberapa tindakan yang boleh timbulkan
persepsi sedemikian. Patut kita betulkan dan kita akan lakukan. Saya lihat bila
kita buat Gagasan 1Malaysia orang lebih faham bahawa negara kita ni negara di
mana semua kaum mesti dapat manfaat daripada kepimpinan negara kita.
SOALAN:
PAS dalam kempen-kempen dan ceramah mereka kebelakangan ini banyak menyebut
'pilih PAS sebagai alternatif berbanding Umno.'
NAJIB: Itu dia punya politiklah.
Dia bukan soal agama, yang dia pentingkan dia nak sangat kuasa. Itu dalam
kepala dia. Politik nombor satu. Sepatutnya dia letak ketinggian agama lebih
dari segala-galanya. Kalau dia kata dia parti Islam maknanya tak ada yang lebih
penting. Sebaliknya kita tengok permainan politik dia lebih dari agama, sebab
tu dia berkawan dengan DAP, contohnya.
SOALAN:
Menyentuh sokongan golongan muda. Adakah ia dapat dilihat dengan penglibatan
mereka dalam parti Umno melalui sayap Pemuda dan Puteri?
NAJIB: Kita gambarkan parti
kita sebagai parti yang bersedia untuk membawa perubahan kepada negara. Bukan
parti yang kaku atau terlalu konservatif sebab orang muda mahukan perubahan dan
suka pembaharuan. Jadi, kita mesti tampilkan parti yang mampu membawa
pembaharuan kepada negara. Sebab itu orang muda hari ini tak anggap mereka
patut tolak Umno dan BN walaupun kita dah berkuasa secara berterusan.
Sekurang-kurangnya mereka
lihat kita ini sebagai parti yang boleh membawa perubahan dan kemajuan dalam
negara. Paling penting, masa depan mereka lebih terjamin di bawah kepimpinan
Umno dan BN. Itu yang paling besar perhitungannya. Masa depan kita.
Kita tahu sebagai sebuah
parti kita tak boleh bergantung kepada kejayaan-kejayaan kita selama ini.
Sebagai orang muda, kebanyakan mereka lahir pasca merdeka. Dia tak tahu cerita
lama dia baca dalam buku sejarah saja.
Jadi, sehebat mana pun
kejayaan kita dulu, pada orang muda ini tak termasuk dalam buku dia. Yang
mereka nak tengok masa kini dan akan datang. Sebab itu saya sebut kita mesti
tampilkan Umno dan BN sebagai parti yang boleh jamin masa depan negara kita.
SOALAN:
Apa lagi cara untuk menarik orang muda menyertai atau terlibat dengan Umno
kerana masih ada rungutan tentang birokrasi dalam parti?
Kita dah buat banyak program
dan agenda yang boleh memikat orang Melayu dan orang muda untuk menyokong Umno
dan BN. Kalau orang muda bersikap 'anti-establishment', meskipun kita boleh
menangi 18 daripada 20 perwakilan pilihan raya kampus baru-baru ini. Kita juga
telah buat Himpunan Hari Belia Putrajaya secara besar-besaran dan kita sedang
buat banyak perkara termasuk perhubungan melalui media sosial.
Saya seorang yang sangat
aktif dalam media sosial dan followers Twitter saya telah melebihi satu juta
dan di Facebook telah melebihi 1.3 juta. Ini menunjukkan orang muda
bersama-sama dan memang boleh tertarik untuk menyokong kita, dengan syarat kita
guna wahana dan cara berkomunikasi dan 'engagement' yang sesuai dengan selera
orang muda.
Saya tak dapat nafikan
kadang-kadang kemasukan mereka dalam Umno dan kemaraan mereka mencari tempat
dalam Umno boleh menghadapi banyak rintangan. Tapi kita sedang memperbaiki
keadaan ini seperti memberi peluang kepada mereka memohon secara langsung
kepada ibu pejabat sekiranya permohonan mereka tidak dilayan oleh peringkat
cawangan atau bahagian.
Dalam Bajet 2013, saya telah
beri banyak tumpuan dan fokus kepada orang muda. Umpamanya bantuan-bantuan kita
sekarang ini lebih inklusif seperti bantuan untuk orang-orang bujang di bawah
BR1M dan rebet telefon bimbit (pintar) dan banyak lagi yang diberikan untuk
orang-orang muda di bawah bajet kita.
SOALAN:
Rancangan Datuk Seri untuk masa depan.
NAJIB: Kita dah tahu apa
kita buat selama ni. Kalau dalam masa empat tahun ini kita lihat apa kejayaan
kita. Kalau dengan izin Allah, kalau dapat mandat kuat tentu kita akan buat
dengan lebih hebat lagi, lebih gah, Insya-Allah.
Sebab kita ada kekuatan
moral 'leadership'. Sebab kalau kita kaji teori prinsip kepimpinan, ia berpunca
daripada dua. Satu formal, jawatan kita. Satu lagi kekuatan moral. Jadi kalau
kita 'combine' dua-dua tentu kepimpinan kita akan lebih berkesan lagi.
SOALAN:
Menyentuh soal pilihan raya. Datuk Seri akan adakan tahun depan atau mahu
biarkan Parlimen bubar sendiri?
NAJIB: Kalau bulan Disember
tak ada 'election', tahun depanlah. Melainkan kita buat bulan Disember ini.
Kalau hujan atau banjir, boleh naik sampan, naik bot.
SOALAN:
Pada petang 1 Dis hari Sabtu kelak, para perwakilan akan pulang ke kawasan
masing-masing setelah berkampung di PWTC. Kepada mereka ini apakah nasihat yang
Datuk Seri mahu berikan?
NAJIB: Saya berharap mereka
akan dapat menghayati mesej yang diterapkan dalam perhimpunan pada kali ini dan
dapat menterjemahkan dalam bentuk tindakan serta sikap masing-masing.
Umpamanya, banyak penegasan akan dibuat tentang bagaimana mereka harus
mendepani cabaran PRU-13 dan bagaimana kita harus meletakkan persediaan kita
secara mantap, bukan sahaja dari segi persiapan secara fizikal maknanya bilik
gerakan, bantuan material dan sebagainya, tetapi persediaan dari segi semangat
dan sikap kita untuk meletakkan kemenangan pilihan raya sebagai yang perlu
diutamakan, dan tidak apa-apa perhitungan yang lain meskipun sesuatu itu memang
sangat dihajati oleh kita.
Kita nak pastikan parti
menang, sebab tujuan utama ialah untuk membentuk kerajaan. Dan kerajaan adalah
tempat sandaran kita pada masa ini dan masa akan datang.
Saya juga berharap mereka
lebih masak dan lebih berkemampuan untuk menjawab isu-isu nasional dan
tohmahan-tohmahan yang dihala kepada kita. Ahli parti mesti mampu untuk
mengupas dan menjawab dan menangkis sebarang isu nasional. (Bernama)
No comments:
Post a Comment