Saudara dan Saudari
sekalian,
ALHAMDULILLAH dibalut rasa
tawaduk dan rasa rendah diri, sekali lagi kita berhimpun untuk menunaikan
tanggungjawab lazim sebagai sebuah organisasi bagi mengadakan mesyuarat agong
tahunan parti tercinta yakni Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO.
2. Sesungguhnya perhimpunan
sebegini bukanlah semata-mata acara ritual dalam memenuhi tuntutan taqwim
organisasi. Sebaliknya, ia satu iltizam terbaik melaksanakan proses muhasabah
dan islah demi memperbetulkan kelemahan, memperkejab jentera parti, membugarkan
halatuju pertubuhan, seterusnya mempastikan kelangsungan jemaah.
Saudara dan saudari,
3. Seperti semua maklum, ini
merupakan perhimpunan agong terakhir sebelum Pilihanraya Umum yang ke-13.
Jadinya, Dewan Rakyat, menurut Perlembagaan, kalau pun tidak dibubar oleh yang
di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri, ia akan terusai juga
dengan sendirinya, tanggal 28 April 2013.
4. Oleh itu, setiap seorang
daripada kita, tidak kira saudara dan saudari yang berada di bawah, tuan-tuan
dan puan-puan yang memenuhi ruang di atas, apatah lagi para pimpinan di sini,
dan pastinya, sekian ramai ahli UMNO di mana sahaja, hatta yang tidak bernama,
walau yang tidak berjawatan, waima yang tidak berkedudukan, sekalipun yang
tidak pernah menjejakkan kaki ke dewan bertuah ini, saya percaya semuanya
sedang berasakan betapa kencang tiupan ke medan juang.
Saudara dan saudari,
5. Jelas sekali terasa,
parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita yakin bahawa, jentera parti
pula, daripada peringkat cawangan, bahagian, perhubungan sehinggalah ke
peringkat Kebangsaan telah pun bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang
bakal diadakan.
6. Kini, semboyan sedang
berkumandang, genderang makin bergema. Masanya sampai, menyusun langkah,
tempohnya matang, memperkemas pasukan, detiknya tiba, mempasak kuda-kuda.
Dengan mendokong peranan masing-masing, ayuhlah, kita kembali kepada rakyat,
demi memperbaharu mandat.
7. Serentak itu, saudara dan
saudari, marilah kita mengangkat sebanyak-banyak doa, bahawa dengan izin Allah
jua, apabila kita bertemu pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini, InsyaAllah,
kita akan berhimpun semula dengan sokongan kukuh sebagai parti pemerintah,
untuk mengurus kepentingan negara, memakmur ekonomi dan mensejahtera rakyat
bagi tempoh lima tahun akan datang.
8. Malah, lebih jauh dari
itu, moga-moga dengan izin yang Maha Berkuasa juga, kita kekal menjadi parti
pemerintah yang akan menjulang darjat Malaysia, sebagai negara maju apabila
menyinsingnya fajar 2020 kelak.
Saudara dan saudari,
9. Namun begitu, dalam pada
kita sedang memupuk semangat juang yang marak dan membara ini, janganlah alpa
pada kisah-kisah lalu. Beringatlah, Pilihanraya Umum ke 12 pada Mac 2008
merupakan pengalaman yang sungguh pahit, sungguh kelat, dalam episod politik
UMNO dan Barisan Nasional.
10. Sehubungan itu pada
hemah saya, ombak serta rintangan yang membadai, selama bertahun-tahun ini,
sewajarnya, telah benar-benar menghimpunkan bibit-bibit kesedaran di sanubari
semua.
11. Seharusnya lagi, bagi
sebuah parti politik yang menunjang Kerajaan Persekutuan lebih separuh abad
lalu, episod hitam itu, sepatutnya memahatkan iktibar kepada kita semua. Malah
ia merupakan isyarat jelas rakyat Malaysia kepada UMNO dan rakan-rakan dalam
Barisan Nasional untuk berubah, sesuai dengan selera, aspirasi dan jangkaan
rakyat.
12. Apa yang pasti, kita
tidak boleh banyak berbicara dan bertangguh-tangguh lagi. Kita perlu
memperhebatkan tindakan dan menggandakan usaha. Hanya sanya, melalui cara itu
sajalah parti UMNO akan terus diperhati, sentiasa diperhitung dan selamanya
dipeduli oleh rakyat.
13. Justeru, dalam tempoh
kurang empat tahun semenjak saya dan rakan-rakan diamanahkan kepimpinan parti
dan kerajaan, kita telah tidak jemu-jemu bekerja keras untuk memenuhi kehendak
dan keperluan ramai.
14. Sekalipun dihadap dengan
pelbagai kesulitan dan cabaran, kita cekal berusaha untuk memulihkan
kepercayaan, memulihkan keyakinan serta memulihkan sokongan rakyat kepada parti
dan Kerajaan.
15. Sesungguhnya juga, apa
yang diupayakan beberapa waktu ini, mana mungkin dilakukan secara enteng atau
semena-mena, sebaliknya ia telah melalui proses rundingan dan mendengar secara
meluas. Bersesuaian prinsip bahawa, era Kerajaan mengetahui segalanya dan
memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.
16. Lantas, menghitung
perjalanan kepimpinan ini, kita sebenarnya telah menempa keberhasilan yang
sungguh membanggakan. Antaranya, kita berjaya melindungi Malaysia daripada
krisis ekonomi global, meletakkannya kembali ke landasan pertumbuhan mapan
serta mengeluarkan kita dari perangkap negara berpendapatan sederhana. Di
samping itu, kita memetakan pula secara teliti dan terperinci perjalanan
Malaysia ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
Realiti Baru Lanskap Politik
Negara
Saudara dan Saudari,
17. Sekiranya kemenangan
kita impikan, seandainya kelangsungan kita dambakan, sebagai sebuah pertubuhan
siasah, sebelum terus mengatur gerak, sejenak perlu menoleh ke belakang, supaya
dapat mengetahui letak duduk sebenarnya keadaan parti kita. Adakah lebih baik
dari semalam? Cukupkah pula persediaan untuk menghadapi hari-hari mendatang?
18. Pastinya, dalam meniti
garis-garis besar perjuangan, langkah-langkah konkrit ke hadapan mestilah penuh
berhemah dan berhikmah, ikhlas mendahulukan kepentingan rakyat, bukan dengan
helah, menabur janji-janji kosong, tipu daya atau fatamorgana. Barulah segala
ikhtiar mendapat rahmat dan keberkatan Ilahi.
Saudara dan saudari,
19. Berdiri atas kesedaran
dan semangat itu, mari kita tinjau hakikat demografik Malaysia yang telah
berubah secara radikal. Majoriti daripada 29 juta penduduk hari ini dilahirkan
pasca Hari Malaysia dengan hampir tujuh puluh peratus tinggal di kawasan
bandar. Empat puluh peratus pada lingkungan 17 hingga 23 tahun, sedang
mengikuti pelbagai peringkat pendidikan pasca menengah.
20. Lapan puluh peratus
pula, merupakan mereka yang berumur kurang empat puluh lima tahun manakala
separuh daripada rakyat kita berusia di bawah dua puluh lima.
21. Satu faktor penting
lagi, transformasi pengundi khasnya dan rakyat Malaysia amnya tidak berlaku
dalam tempoh sehari dua, tetapi telah berlangsung secara berdikit semenjak
lebih lima dekad. Ia digerakkan oleh kejayaan dasar-dasar serta program hasil
prakarsa Kerajaan Perikatan dan kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan Barisan
Nasional.
22. Hakikatnya, peningkatan
taraf hidup, proses pembandaran, akses kepada pendidikan, kemajuan teknologi
maklumat, komunikasi serta pengangkutan telah merubah keutamaan, selera, sistem
nilai dan profil pengundi Malaysia. Citarasa dan jangkaan mereka terutamanya
golongan muda telah bertukar dengan mendadak. Tambahan pula, rata-rata pengundi
kini sifatnya lebih bermaklumat serta kritikal.
23. Selain itu, fakta yang
sedia ada menunjukkan sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru tidak kira
golongan umur telah mendaftar sebagai pemilih.
24. Angka ini, saudara dan
saudari, sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu perlima daripada
jumlah pengundi Malaysia yakni 13.1 juta orang. Ini bermakna, setiap seorang
daripada lima pengundi bagi Pilihanraya Umum Ke-13 nanti, ialah pengundi baru
atau pengundi yang pertama kali.
Cabaran Umno
Saudara dan saudari,
25. Sepanjang berdepan
mehnah dan cabaran politik semasa, UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi boleh
berasa lepas lega dan mengambil mudah dengan mengharapkan sokongan rakyat
berasaskan nostalgia jasa-jasa dahulu atau apa yang telah dibuat parti serta
kerajaan pada hari-hari kelmarin.
26. Mendakap cabaran kini,
Pilihanraya Umum ke-13 menghadapkan kita dengan satu pilihan, iaitu sama ada
kita sebagai individu dan secara kolektif mahukan kemenangan untuk parti atau
sebaliknya.
27. Serentak itu, bercakap
tentang sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia, Kerajaan dibentuk
oleh parti atau gabungan parti politik yang memenangi majoriti kerusi dalam
Dewan Rakyat. Ertinya, kemenangan majoriti daripada 222 kerusi yang
dipertandingkan adalah penentu kesinambungan kerajaan Barisan Nasional.
28. Walau bagaimanapun,
kemenangan dalam pilihanraya sebenarnya bergantung kepada banyak faktor seperti
pengundi setempat, kecekapan jentera di setiap bahagian serta calon yang
dipertandingkan. Selain itu, realiti semasa menyaksikan bahawa sokongan rakyat
kepada kepimpinan nasional dan negeri tidak semestinya diterjemahkan dalam
bentuk undi kepada calon tempatan parti.
29. Kata orang, dulu lain,
sekarang dah lain. Jika dahulu, siapa pun yang diketengahkan oleh parti,
merupakan calon boleh menang. Hakikatnya tidak lagi begitu. Maknanya di sini,
kejayaan calon dalam pilihanraya kontemporari ini bergantung kepada penerimaan
mereka yang hendak diwakili.
30. Calon boleh menang yang
dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah, yakni, bukan sahaja
sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah, hendaklah juga disenangi oleh
masyarakat setempat sebagai pengundi, lebih daripada itu, boleh bekerjasama
dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani, kerana merekalah
sebetulnya para pengundi.
31. Kenyataannya lagi, lebih
95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO. Oleh sebab itu,
penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada
pengalaman masa lalu apatah lagi apa yang telah dilakukan semalam sebaliknya ia
berasaskan merit hari ini berserta wawasan masa depan.
32. Kesimpulannya di sini,
kemenangan dalam perjuangan pada analisa akhirnya adalah hasil usaha
bersama-sama semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan ideologi, muda
dan tua, lelaki dan wanita, warga bandar dan warga desa, pekerja kolar biru dan
putih, sektor awam, swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, pertubuhan bukan
kerajaan serta masyarakat seramai. Ringkasnya, setiap dari kita berperanan dan
bertanggungjawab memilih yang terbaik untuk Malaysia.
33. Atas segalanya, rakyat
hari ini sudah bijak untuk membezakan yang mana kaca yang mana manikam.
Pengundi pula dapat menilai bahawa empati kepada rakyat oleh calon bersifat
sejati dan berterusan bukanlah hanya untuk musim pilihanraya.
34. Dalam konteks ini, saya
ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang rajin mengkhidmati rakyat, berwibawa
dan bersikap rendah diri. Bak kata orang tua-tua, ular yang menyusur akar,
pasti tidak akan hilang bisanya.
Saudara dan saudari
sekalian,
35. Bersuluhkan jamung
pejuangan mulia yang cerah menyala, kita mesti cekal bekerja keras, kita mesti
terus tabah meyakinkan rakyat bahawa, kitalah pilihan kepimpinan yang utama,
bahawa kitalah yang mampu membawa masa depan yang lebih baik kepada mereka dan
anak-anak cucu mereka.
36. Apa yang dapat saya
katakan, berikhlaslah dalam memberi khidmat kepada rakyat. Berpeganglah kepada
kata-kata para ulama dan pujangga, bahawa yang baik akan akhirnya tertampak,
yang buruk itu, hujungnya kelak, pasti terpandang jua.
Saudara dan saudari,
37. Pada kesempatan ini,
renungkanlah sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai iktibar parti. Kita
telah membaca bagaimana dalam perang Badar, tentera Islam yang serba kekurangan
telah berjaya menewaskan musuh yang jauh lebih besar bilangan serta lebih
lengkap peralatannya.
38. Manakala peristiwa Uhud,
walaupun kekuatan tentera Islam dan musuh lebih setara, tentera Islam mengalami
kekalahan. Diriwayatkan, ketewasan semasa Uhud berpunca daripada kelemahan
rantaian kawalan dan pemerintahan pasukan serta kelalaian mentaati arahan oleh
para pemanah berbanding ketika pertempuran Badar.
39. Di sini, pengajaran yang
dapat kita ambil daripada sepotong rentetan sirah tersebut, ialah, tentang
pentingnya disiplin organisasi dalam sesebuah parti. Implikasi apabila tiada
kepatuhan dalam perjuangan berjemaah, kita akan menempa kegagalan, kita akan
kecundang, kita akan tumpas dan tewas.
Saudara dan saudari,
40. Hal disiplin
berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik. Ia merupakan faktor tonggak
yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai
matlamat yang diingini. Dalam bidang ketenteraan, ia mampu menentukan
kemenangan atau kekalahan di medan perang.
41. Dalam sebuah pertubuhan
siasah pula, yang wujud dalam sistem demokrasi berparlimen, disiplin
berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang atau
kalah dalam pilihanraya. Inti patinya, disiplin berorganisasi bermaksud
meletakkan kepentingan organisasi secara di atas…, di atas kepentingan
individu.
42. Lalu, mengambil sempena
Ayat 83, Surah An-Nisa’, kedisiplinan berjemaah menuntut kita berlapang dada
dan bersedia menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti, dan, jika
tidak dipersetujui, hendaklah menggunakan saluran organisasi yang sewajarnya
bagi menyampaikan pendapat tersebut.
43. Termustahak, jika
keputusan muktamad telah dibuat, terimalah dengan hati terbuka dan
laksanakanlah dengan sebaik mungkin. Benarlah seperti dimadahkan
pemimpin-pemimpin besar dahulu kala, satu petua yang memang kecil, namun sangat
sulit hendak diamalkan, itulah dia taat dan patuh kepada arahan.
Keberterusan Transformatif
YBhg. Tan Sri Pengerusi
Tetap, Saudara dan saudari,
44. Pada sisi lain, pendapat
dan teori politik konvensional yang mengatakan bahawa perubahan dan pembaharuan
akan hanya berjaya jika kita menukar kerajaan tidak boleh diterima pakai di
Malaysia.
45. Semenjak lebih 50 tahun
yang lalu, Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali menali,
menerajui negara tercinta ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan
pada kadar berdikit malah dengan lonjakan berganda dengan Keberterusan
Transformatif.
46. Kita telah menyaksikan
bagaimana Malaysia telah berubah dari sebuah negara yang terjajah kepada sebuah
negara merdeka, daripada sebuah negara berstatus negara pertanian berpendapatan
rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.
47. Oleh itu, dengan
Keberterusan Transformatif, rakyat boleh melihat sekalipun kepimpinan ini
datang dari parti yang sama, namun perubahan dan pembaharuan berlaku secara
dinamik, berterusan, tertib dan teratur.
48. Ertinya, parti
pemerintah sentiasa memikirkan kaedah atau rekayasa terkini bagi memenuhi
keperluan dan kehendak semasa. Kita terus-terusan membuat pembaikan dan
perubahan idea, dasar, program yang tuntas lagi menyeluruh. Pokoknya, kita pada
tiap ketika mendepani kelok zaman dengan membuat perubahan yang tepat pada
masanya.
Saudara dan saudari,
49. Kita ada mendengar
pendapat yang mengatakan, apa salahnya memberi peluang kepada pembangkang untuk
menang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat.
50. Namun, ini adalah satu
risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita
terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji. Tanpa penilaian yang betul, teliti
dan kritikal, menukar kerajaan ibarat mengamanahkan tikus membaiki labu atau
mempercayai serigala menjaga biri-biri.
Saudara dan saudari,
51. Sememangnya menjadi
aspirasi setiap parti politik untuk memperoleh mandat dari rakyat bagi
membolehkannya membentuk kerajaan dan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri. Ke
arah itu pelbagai janji dan komitmen ditawarkan.
52. Bagi parti yang sedang
menerajui Kerajaan, penilaian dilakukan oleh rakyat berdasarkan dua kayu ukur.
Pertama, adakah janji-janji lepas, telah ditunai dan dilunaskan? Manakala kayu
ukur kedua, adakah janji-janji baru yang dibuat akan lebih membawa manfaat.
53. Manakala, bagi parti
yang tidak pernah membentuk Kerajaan, mereka perlu dinilai berasaskan janji
yang sedang dibuat. Jika pada peringkat janji lagi sudah tidak boleh dipegang
dan dipercayai, maka, lebih selamat untuk para pengundi agar menjauhi parti
tersebut.
Saudara dan saudari,
54. Berhubung hal demikian,
Malaysia hari ini merupakan contoh sebuah negara membangun yang amat berjaya
sama ada diukur dari segi keampuhan institusi negara mahupun kemajuan
sosioekonomi.
55. Kejayaan ini bukannya
sebuah fantasi yang dikhayalkan kerajaan Barisan Nasional sebaliknya satu
kejayaan nyata yang dapat disaksikan dan dinikmati setiap rakyat Malaysia.
Bahkan ia juga merupakan kejayaan yang diiktiraf oleh institusi dan masyarakat
antarabangsa.
56. Jika dinilai dari kayu
ukur global, Malaysia hari ini tercatat antara negara dagangan terbesar dunia
dengan nilai eksport dan import lebih RM 1 trilion. Hari ini kita diiktiraf
Institute for Management Development atau IMD dan The World Economic Forum atau
WEF dalam barisan 20 negara paling berdaya saing di dunia.
57. Hari ini juga kita
diiktiraf Bank Dunia sebagai negara ke-12 paling mudah untuk berurusniaga,
sementara Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNDP pula
menilai status Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai “High Human
Development Index”.
58. Kendatipun begitu,
Kerajaan pimpinan UMNO tidak hanya berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan
kejayaan sedia ada. Kita mahukan setiap anak Malaysia terus mampu mengoptimakan
potensi, kita mahukan setiap anak Malaysia dapat merealisasikan impian, agar
hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok, sarat dengan kemungkinan.
59. Untuk itu, Dasar
Transformasi Nasional telah digubal dan dilaksanakan semenjak saya dan
rakan-rakan mengambilalih kepimpinan parti dan kerajaan lebih tiga tahun yang
lalu. Melalui dasar ini, kita telah memeta transformasi kerajaan, ekonomi dan
politik secara rapi bagi mempastikan Wawasan 2020 akan tercapai.
60. Hasil pelaksanaan
Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, dan Model Ekonomi
Baru misalnya, pendapatan per kapita GNI negara meningkat 30 peratus di antara
tahun 2009 hingga 2011 iaitu daripada 6 700 dolar kepada 9 700 dolar.
61. Kemuncaknya nanti
saudara dan saudari, ialah bagi mencapai pendapatan per kapita sebanyak 15 000
dolar. Hakikatnya, jika kita menggunakan kayu ukur mutakhir Bank Dunia bagi
mengklasifikasi sebuah negara sebagai berpendapatan tinggi, iaitu 12 476 dolar,
maka ia jelas menunjukkan, walaupun tempohnya masih tinggal tujuh tahun lagi,
kita, Malaysia, sudahpun berada pada landasan yang betul, untuk lebih awal
mencapai taraf tersebut.
Saudara dan saudari yang dikasihi
sekalian,
62. Kita maklum bahawa,
pihak pembangkang dalam usahanya untuk menawan hati rakyat telah mengeluarkan
Buku Jingga sebagai manifesto kenapa mereka perlu dipilih menjadi kerajaan
menggantikan Barisan Nasional dengan tema “Ubah Sekarang” “Selamatkan
Malaysia”.
63. Dalam dokumen ini
terkandung sejumlah 59 janji yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan
Rakyat. 10 daripadanya, konon, akan ditunai dalam tempoh 100 hari pertama
pentadbiran mereka.
64. Sebaliknya, semua itu
hanya nampak muluk-muluk. Padahal, cerita yang betul tentang kesan buruk jika
janji-janji tidak munasabah itu dilaksanakan, tidak pula disampaikan kepada
pengetahuan rakyat.
65. Jika disenarai, mereka
mendakwa kononnya mampu menjamin pendapatan purata bulanan setiap isi rumah
Malaysia pada kadar RM 4000, menghapuskan tol dan hutang PTPTN, memberikan
elaun khas kepada guru sebanyak RM 500 sebulan dan menaikkan royalti petroleum
sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri. Mana mungkin semua itu diperbuat
kerana natijahnya akan memusnahkan ekonomi negara, antaranya :
66. Pada tahun pertama
seandai dilaksanakan, defisit bajet Kerajaan pusat akan melonjak kepada hampir
30 peratus. Kedua, menjelang tahun 2015 kadar nisbah hutang negara kepada KDNK
akan melambung kepada 140 peratus.
67. Dalam tahun ketiga, kita
akan mencapai tahap keparahan dan hilang kedaulatan ekonomi seperti negara
Greece. Waktu itu pengurusan iktisad negara tidak lagi berada dalam tangan
Kerajaan yang dipilih rakyat, tetapi beralih ke tangan institusi antarabangsa.
Adakah itu yang kita inginkan?
Saudara dan saudari
sekalian,
68. Inilah… inilah tahap
kualiti dan hal ketidak mampuan perancangan ekonomi parti lawan. Namun, ia
tidak langsung mengejutkan kita, kerana, semasa krisis kewangan Asia melanda
Malaysia pada tahun 1997-1998, terbukti, Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri
Kewangan ketika itulah orangnya, yang kini, menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah
pengurus ekonomi yang cekap.
69. Beliaulah yang
menggunapakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF bagi menangani
krisis ekonomi ketika itu. Semua orang mengetahui IMF masa tersebut diketuai
oleh sahabat karibnya. Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta
menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan
suntikan oleh Kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak
khususnya masyarakat perniagaan.
70. Orang ini memang
selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat
dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan
orang Islam, lain pula ceritanya. Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya
sekian, sekarang jadi Ketua Umum Pembangkang, segala pendirian dan fe’elnya
berubah pulak.
71. Kalau ikut pepatah dulu,
orang menyebut, dia ini lidahnya bercabang. Jelasnya, tiada orang boleh meneka
watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha menjamin
keselamatan Israel, pada kala dunia sedang mengutuk Rejim Tel Aviv yang kejam
itu kerana membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza. Akan tetapi, apabila
kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen…dah.. dia menyokong
pulak…heran..heran…
Saudara dan saudari,
72. Dalam Buku Jingga juga
pembangkang menjanjikan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 tetapi
realitinya Kerajaan Barisan Nasionallah yang berani mengambil langkah, tidak
setakat memansuhkan ISA tetapi juga Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri,
membatalkan 3 pengisytiharan darurat serta membiarkan ordinan-ordinan yang
digubal, lupus.
73. Tidak sekadar itu, kita
juga telah meminda AUKU bagi membenarkan keahlian pelajar dalam parti politik,
meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi menghapuskan keperluan lesen
tahunan, serta mengembalikan semula hak semakan kehakiman secara amnya kepada
mahkamah.
74. Atas sebab-sebab yang
demikian, rakyat Malaysia perlu menilai dan membuat keputusan sama ada mereka
mahukan keberterusan transformatif ini oleh UMNO dan kerajaan Barisan Nasional
atau akan terumbang-ambing dalam kata-kata muslihat serta mainan tanggapan
tidak masuk akal oleh pembangkang.
Umno Tegar Dalam
Memperjuangkan Islam
Saudara dan saudari
sekalian,
75. Sesungguhnya, UMNO
sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam sepertimana termaktub dalam
Perlembagaan parti, sesuai dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.
76. Dek kerana itu,
tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa UMNO parti nasionalis yang sekular
amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai kepada tahap, sanggup mendoakan
kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita, adalah saudara seakidah.
77. Alangkah peliknya
perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara kita di Gaza sedang ditimpa
musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka di sini pula sibuk
mahukan kejatuhan orang lain.
78. Soalnya, adakah sebuah
parti yang menguruskan ehwal pentadbiran negara seperti UMNO dengan begitu
cemerlang layak dituduh sebagai tidak Islamik dan dinista semahunya?
79. Walhal, UMNOlah parti
yang selama ini membolehkan Islam diamal sebagai cara hidup syumul di negara
ini. Apakah tidak mereka melihat bahawa, selama berpuluh-puluh tahun semenjak
merdeka, syiar Islam yang murni, begitu meluas di negara ini, yang bukan
terbatas di bidang ibadah sahaja, bahkan merangkumi lapangan munakahat,
muamalah dan jinayah.
Saudara dan saudari,
80. Pada kedudukan ini, kita
sebenarnya telah membuat sekian banyak dalam mempastikan keberlangsungan Islam.
Malaysia misalnya ialah antara negara Islam yang memiliki agensi khusus bagi
pelaksanaan ibadah haji secara komprehensif.
81. Penubuhan Lembaga Urusan
Tabung Haji telah membolehkan umat Islam yang dahulunya terpaksa menggadai
harta benda, kini, bukan sahaja menabung tetapi juga dapat mengerjakan Rukun
Islam kelima itu secara sistematik.
82. Begitulah dalam bidang
muamalah. Malaysia ialah satu-satunya negara Islam yang menawarkan khidmat
perbankan dan kewangan Islam meluas. Dari sistem pajak gadai sehinggalah kepada
pengeluaran sukuk. Dewasa ini, kita berasa bangga dan gembira kerana sebuah
forum global telah mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam
terulung dunia.
83. Hakikatnya umat Islam di
Malaysia bukan sahaja boleh membuka akaun simpanan di bank yang menggunakan
kaedah tanpa riba tetapi juga boleh membuat pinjaman perumahan, kenderaan,
pelajaran, membuat pelaburan di pasaran saham dan lain-lain transaksi kewangan
dengan menggunakan kaedah patuh syariah.
84. Melangkah dari situ,
selain menjadi contoh sebuah negara Islam yang aman dan maju, Malaysia juga
rancak menyumbang secara besar kepada kesejahteraan di seluruh dunia. Seperti
ramai maklum, kita telah menghantar anggota pengaman, pemerhati tentera
termasuk pasukan perubatan ke negara Islam berkonflik seperti Bosnia, Somalia,
Lubnan dan Afghanistan.
85. Malah, mutakhir ini
Malaysia telah menjadi pendamai dan orang tengah meleraikan konflik yang telah
berlarutan lebih empat puluh tahun di Selatan Filipina, sehingga berjaya
membuka lembaran baru kepada Bangsa Moro.
86. Malaysia turut komited
untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin. Kita telah dan akan sentiasa
memperjuangkan hak sah mereka untuk bernegara sendiri di forum-forum serantau
dan global. Kita menyeru agar masyarakat antarabangsa menghormati aspirasi ini
melalui prinsip dua negara yang telah dipersetujui. InsyaAllah, Malaysia akan
menjadi negara pertama untuk membuka kedutaan di ibu kota negara Palestin yang
merdeka dan berdaulat kelak.
87. Malaysia juga prihatin
terhadap nasib yang menimpa masyarakat Rohingya di Myanmar. Kita menyeru agar
keganasan yang dilakukan terhadap mereka ini, dihentikan serta merta dan
penyelesaian yang adil akan dibuat.
Saudara dan saudari,
88. Merujuk semua itu,
janganlah sumbangan kepada Islam diukur hanya dengan tahap retorik dan kuatnya
bunyi pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar serta isi
kandungannya tidak seberapa.
89. Sebetulnya pun, pencapaian
memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup ini berjaya dizahirkan dalam pada
Malaysia merupakan sebuah negara berbilang etnik, budaya dan agama.
90. Kenapa dan mengapa?
Tidak lain tidak bukan, kerana sejak merdeka, berpaksikan prinsip wasatiyyah, UMNO
dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional dengan penuh keikhlasan telah mampu
mencapai tahap muafakat yang tinggi bersama-sama memajukan negara.
91. Berlandaskan semua itu,
ingin ditegaskan di sini, tanpa ragu-ragu lagi, bahawa, UMNO komited bagi terus
mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa,
harta benda, aqal, maruah dan keturunan.
92. Kita tidak rela untuk
memecah belahkan perpaduan umat Islam. UMNO tidak sekali-kali akan mencaci atau
menista saudara seagama seperti parti lawan. Kita tetap tegas untuk mempertahan
kesucian dan kemurniaan akidah.
93. Di atas pentas
perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasa-basi lagi bahawa, kita
menentang… menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendokong fahaman pluralisma
mahupun liberalisma.
Saudara dan saudari,
94. Komitmen UMNO ini,
selaras dengan peruntukan Perkara 11 Fasal 1 dan Fasal 4 Perlembagaan
Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Perkara 11 Fasal 1,
menjamin kebebasan beragama di negara ini sekalipun di bawah Perkara 3 Fasal 1,
Islam ialah agama bagi Persekutuan.
95. Perkara 11 fasal 1
menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya,
namun tertakluk kepada Fasal 4 yang berbunyi “Undang-Undang Negeri dan berkenaan
dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,
undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa
doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.
96. Jadinya, kita ingin berpesan,
cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir
melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh
Malaysia pasti kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan
rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan
negara Islam dan pelaksanaan hudud.
97. Kesan amanat pada tahun
1981 itu bukan sahaja telah memecahkan perpaduan, tetapi juga telah menanamkan
benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam. Natijahnya, muncullah tragedi
Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua Imam, perceraian suami
isteri, perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram memakan sembelihan
oleh orang-orang UMNO.
98. Soalnya, adakah layak
pemimpin seperti ini, yang hendak diangkat oleh rakyat untuk membela untung
nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas saja satu penggal menjadi Menteri Besar,
orang Terengganu terus menolak kepimpinan beliau.
99. Tambahan lagi, kita
dapati, hari ini, pemimpin yang sama dan parti yang sama mengecam UMNO itu,
sudah tidak lagi memperjuangankan negara Islam, sebaliknya pula mahu menubuhkan
Negara Berkebajikan. Mereka juga hari ini bekerjasama dengan sebuah parti yang
menentang penubuhan negara Islam serta mahukan Malaysia dijadikan sebuah negara
sekular.
100. Kenapa matlamat
perjuangan mereka semalam berbeza dengan matlamat perjuangan mereka hari ini?
Sedang ia melibatkan perkara asas. Terbukti, pelaksanaan negara Islam ala PAS
di antara parti itu dan DAP masih belum diselesaikan malah cuba untuk
disembunyikan. Kalau isu pokok yang paling besar membezakan mereka masih belum
diputuskan bagaimana halnya hendak membentuk kerajaan campuran.
101. Adakah nafsu untuk
berkuasa mengatasi prinsip perjuangan? Adakah matlamat telah menghalalkan cara?
Tidak mengapalah kalau tidak melibatkan orang lain, tetapi apa yang tragisnya,
ia telah menjadi pesta fitnah, propaganda jahat dan pendustaan yang ditujukan
kepada UMNO serta seluruh rakyat Malaysia.
102. Berbicara tentang
negara Islam, walau apa pun tohmahan yang diasak kepada UMNO, hasil perjuangan
kita dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini dan seantero dunia, tetap
menyinar, tetap murni dan akan tetap dipersadakan.
103. Terbaru, sekumpulan
ulama antarabangsa telah memulakan usaha bebas untuk merangka dan mengukur
negara-negara berdasarkan Indeks Syariah. Kita bersyukur kerana, kajian mereka
di peringkat global mendapati Malaysia menduduki kedudukan lima teratas dalam
pematuhan indeks berkenaan.
Kita Atau Mereka
Rakyat Malaysia yang dikasihi
sekalian,
104. Pilihan kepada
tuan-tuan dan puan-puan kini antara Barisan Nasional sebagai sebuah parti
dengan rancangan holistik tentang halatuju masa depan negara atau parti
pembangkang yang kelam kelibut serta bercelaru dibelenggu matlamat pakatan
mereka, sama ada mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, sebuah negara
teokratik atau sebuah negara berkebajikan.
105. Suka tidak suka,
persoalan ini sangat asasi. Sesungguhnya, rakyat Malaysia berhak untuk
mengetahui secara nyata sebelum membuat keputusan paling penting bersabit masa
depan mereka. Pilihanraya bukan satu uji kaji.
106. Lima tahun ialah
jangkamasa yang lama dalam pentadbiran sesebuah Kerajaan. Pelbagai bentuk
kerosakan boleh berlaku hatta sebuah negara yang berjaya pun akan gagal dan
tersungkur.
107. Kerana itu, menyisir
waktu, UMNO bukanlah parti yang mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat dalam
kerjasamanya dengan parti-parti komponen Barisan Nasional. Tidak seperti
gabungan DAP, PKR dan PAS, yang tiada bertunjangkan ketulusan.
108. Contohnya, di Pulau
Pinang yang diterajui DAP, parti PAS tidak menyertai kerajaan, di Kedah yang
diterajui PAS, parti DAP tidak menyertai pentadbiran. Kita maklum, puncanya,
kerana mereka saling tidak mempercayai antara satu sama lain.
109. Selanjutnya marilah
kita menyingkap tabir di sebalik dakwaan parti DAP, yang mendabik dada bahawa
merekalah yang paling demokratik di negara ini. Namun begitu, sungguhkah bagai
dicanang? Apakah cerita sebenar dalam DAP?
110. Semua orang mengetahui
DAP ialah parti anak, bapa dan menantu. Walaupun hanya memegang jawatan
pemimpin Parlimen DAP yang tidak dipilih oleh ahli parti, ternyata Lim Kit
Siang ialah individu yang begitu berkuasa dalam DAP.
111. Anaknya pula merupakan
Setiausaha Agung parti dan Ketua Menteri Pulau Pinang. Manakala menantunya,
merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Naib Pengerusi Seksyen
Wanita DAP.
112. Begitulah juga kisahnya
dengan parti PKR. Di mana ia melibatkan suami, isteri dan anak. Si suami adalah
Ketua Umum yang tidak dipilih. Isteri pula Presiden Parti manakala anak sulung
Naib Presiden.
113. Berbalik kepada DAP,
kalau kita kaji lagi, sifir dan tafsiran demokrasi ala Parti itu amat mudah.
Jika bersetuju dengan kepimpinan, semuanya ok. Akan tetapi, seandainya seseorang
ahli mempunyai pandangan berbeza, misalnya Tunku Aziz, mantan Naib Pengerusi
mereka, yang tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0, dan dan
tu…. tempoh jawatannya sebagai Senator tidak disambung untuk penggal kedua.
114. Inilah sebenarnya demokrasi
cara DAP. Baru saja nak menyuarakan pendapat, hukuman sudah dijatuhkan. Kita
tidak dapat bayangkan sekiranya mereka memegang tampuk kerajaan, apakah yang
akan berlaku terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersetuju atau berselisih
pandangan dengan pihak kepimpinan. Apatah lagi seteru politik mereka.
115. Seperkara lagi, hari
ini, tinggal seorang… saja orang Melayu di kalangan 30 kepimpinan pusat DAP.
Inikah yang dinamakan demokrasi? Inikah yang dinamakan tidak perkauman? Inikah
dinamakan kepelbagaian seperti yang selalu dimomokkan? Cubalah rakyat Malaysia
renung dalam-dalam dan fikir masak-masak.
Saudara dan saudari,
116. Pucuk pangkalnya, UMNO
akan terus memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera supaya kita mampu duduk
sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di negara
tercinta ini. Kaedah yang digunapakai oleh UMNO bagi mencapai matlamat ini
berubah mengikut era yang ditempuhi.
117. Perjuangan UMNO
semenjak merdeka demi memartabatkan bangsa Melayu bolehlah dibahagikan kepada
beberapa Fasa. Pertama, melalui penubuhan agensi seperti MARA, FELDA dan
FELCRA.
118. Ia juga diperkukuhkan
dengan kewujudan Dewan Latihan RIDA yang berkembang kepada Institut Teknologi
Mara pada akhir 60an dan kemudiannya menyaksikan institusi ini dinaik taraf
menjadi Universiti Teknologi Mara.
119. Fasa kedua menyaksikan
penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan pelaksanaannya melalui Rangka Rancangan
Jangka Panjang Pertama yang merangkumi empat Rancangan Malaysia selama dua
puluh tahun. Usaha berterusan dijalankan demi membasmi kemiskinan dan menyusun
semula masyarakat.
120. Ia menyaksikan
penubuhan organisasi seperti RISDA, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga
Kemajuan Ikan Malaysia serta penyediaan kredit mikro melalui Amanah Ikhtiar
Malaysia dan Tekun.
121. Usaha juga ditumpukan
untuk mencipta masyarakat Perdagangan serta Perindustrian Bumiputera. Lantas
kerajaan pimpinan UMNO telah menubuhkan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau
syarikat milik kerajaan bagi membolehkan bangsa Melayu berkecimpung dalam dunia
perniagaan.
122. Bagi meningkatkan
ekuiti Bumiputera, kita mewujudkan Permodalan Nasional Berhad yang menguruskan
skim pelaburan saham amanah seperti ASN, ASB dan lain-lain. Sesungguhnya,
kejayaan terbesar fasa kedua ini ialah tumbuhnya institusi pendidikan menengah
seperti Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Berasrama Penuh aliran
sains, dan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam melalui program
matrikulasi.
123. Secara nyata,
perjuangan UMNO semenjak merdeka melalui fasa pertama dan kedua ini telah
memperlihatkan kejayaan yang monumental melalui penciptaan kelas menengah
profesional Melayu yang besar di samping menangani permasalahan kemiskinan di
kalangan bangsa kita.
124. Bertapak di atas fasa
pertama dan kedua tersebut, kita kini merangka dasar serta program yang lebih
terarah serta berfokus antaranya inisiatif penubuhan Model Ekonomi Baru,
Teraju, Skim Jejak Jaya dan Pelaburan Hartanah Bumiputera. Alhamdulillah,
hasilnya, pemilikan ekuiti Bumiputera telah meningkat daripada 21.9 peratus
pada tahun 2008 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010.
125. Sungguhpun begitu,
dalam helaan nafas yang sama, memetik iktibar daripada Firman Allah S.W.T, Ayat
8, Surah Al-Maidah, kita tidak pernah leka daripada mempertahankan hak serta
berlaku adil kepada semua kaum. Ia juga terpelihara oleh Perlembagaan
Persekutuan yang digubal berasaskan ijmak Kebangsaan.
126. Sedang UMNO komited
bagi memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera, kita juga penuh iltizam
bagi mempastikan bantuan dan pertolongan kerajaan sampai kepada dan mampu
dinikmati golongan miskin, golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah
daripada semua kaum di Malaysia. Kita mahu kemakmuran Malaysia dikongsi bersama
dan tidak ada rakyat Malaysia yang akan ketinggalan.
127. Bahkan, UMNO menghargai
dan menyanjung tinggi sumbangan setiap warga Malaysia tidak kira apa latar
belakangnya demi kejayaan nasional.
128. Pastinya, kita sering
menginsafi bahawa, kemajmukan yang kita miliki inilah tiang seri yang
mempaterikan kekuatan sebuah negara bangsa. Sememangnya lagi, sebagai
organisasi siasah, kita mendukung tanggungjawab untuk terus mempersatukan
rakyat melalui titik-titik persamaan, bukannya mendamak racun-racun perbezaan.
Itulah jua teras falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan.
Saudara dan saudari,
129. Perbezaan yang terbesar
antara kita dan pembangkang ialah bagi kita, janji dibuat untuk ditepati. Bukan
seperti pembangkang yang sering berkata palsu apabila memancing undi, tetapi
sesudah menjadi kerajaan semuanya kosong belaka.
130. Tanyalah kepada
penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, di manakah kata-kata manis yang
ditabur oleh Ketua Umum PKR semasa pilihanraya 2008?
131. Beliau berjanji
kononnya dalam masa dua minggu selepas memenangi pilihanraya, akan selesailah
masalah penduduk di sana. Kini sudah hampir masuk empat tahun, bak kata orang
Penang… “ilekkk…”. Akhirnya…Barisan Nasional… juga yang selesaikan…
132. Selain itu, macam kata
orang Tanjung jugak, boleh jadi caca marba…. seandainya Pakatan Rakyat
membentuk Kerajaan. Tukang buat janji, Perdana Menteri mereka, tak kisahlah
siapa yang akan dilantik sama ada Ketua Umum PKR atau Presiden PAS, tetapi… si
Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP akan tetap “buat tak tau…. dan buat
dek…jer…” atas janji itu. Mungkin inilah sebabnya Timbalan Ketua Menteri 1
Pulau Pinang menggelar bosnya sebagai Cocky, Arrogant dan Tokong.
Saudara dan saudari,
133. Selanjutnya; “tanyalah
kepada oghe Kelate, …selesa doh ko masalah air ?… Sedar tak sedar, dah lebih
dua puluh tahun PAS memerintah, tak selesa-selesa jugak”.
134. Tanyalah pulak kepada
orang Kedah; “pasai PAS. …depa janji apa kat hampa tahun 2008 hari tu? …Cuba
habaq mai…. tak ka macam-macam depa tabuq janji… kita tau sampai laa ni…
macam-macam tak selesai… habuk pun tak dak”.
135. Seterusnya, kita tanya
pulak penduduk flat kos rendah dan pangsapuri yang memakai meter pukal di
Selangor. Mana janji-janji indah nak bagi air percuma? Satu lagi isu, kita
tanya kepada ibu-ibu tunggal juga di Selangor, apa sudah jadi dengan elaun
bulanan sebanyak seratus ringgit yang nak dibagi? Tak patut.
Saudara dan saudari,
136. Berbeza dengan kita
UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Buktinya, semenjak saya dan rakan-rakan
mengambil alih kepimpinan parti dan Kerajaan, melalui pelbagai usaha dan
ikhtiar, parti ini dan Kerajaan ini, bukan sekadar suka-suka membuat janji dan
memberi harapan, namun kita juga pasti berusaha, merintis sejuta jalan untuk
menunaikannya.
137. Misalnya, di bawah
pelan jangka pendek, antaranya :
• kita ada BR1M untuk rakyat
berpendapatan rendah
• kita ada baucer buku
1Malaysia untuk mahasiswa
• kita ada bantuan 100
ringgit untuk semua pelajar sekolah
• kita ada Skim tayar
1Malaysia untuk pemandu teksi
138. Untuk jangka sederhana
:
• kita menyediakan Pusat
Transformasi Luar Bandar
• kita menyediakan Pusat
Transformasi Bandar
• kita ada KR1M, Klinik
1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia, dan
139. Bagi jangka panjang
pula, kita dipayungi Dasar Transformasi Nasional melalui inisiatif Program
Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi hinggalah kita mencapai
status negara maju. InsyaAllah.
Saudara dan saudari,
140. Pada sesetengah pihak,
kita ingin ingatkan, kalau tidak pandai menari, janganlah lantai dikata
jongkang jongkit. Hari ini, pelbagai institusi negara diserang dan dituduh
sesuka hati secara melulu, dengan tujuan jahat untuk mengeliru dan menimbulkan
syak di kalangan rakyat.
141. Misalnya, Suruhanjaya
Pilihanraya yakni SPR difitnah bertubi-tubi. Sehinggakan tunjuk perasaan
dianjur. Kita tahu, mereka lakukan ini sebagai tindakan awal jangka. Sebab,
seandainya mereka kalah dalam pilihanraya nanti, bukan faktor tidak mendapat
sokongan rakyat akan dibangkitkan namun, pihak SPRlah yang akan disalahkan dan
dianggap tidak adil serta tidak berwibawa.
142. Sebab itulah tanpa
segan silu mereka mengadu kepada kuasa asing bagi mengantarabangsakan masalah
dalaman, sedangkan mereka tahu tindakan berkenaan hanya mengaibkan negara dan
menghina intelek rakyat Malaysia.
143. Sebenarnya saudara dan
saudari, tak perlulah kita libatkan orang asing untuk menunjuk ajar bagaimana
menguruskan negara. Janganlah menjadi Si Kitul moden sampai sanggup mengkhianat
bangsa dan tanahair.
144. Dah lebih separuh abad
pun kita merdeka… tahulah kita selok belok negara sendiri. Persoalannya,
selepas mereka menang di lima negeri pada pilihanraya lalu tiada pula rumah
siap pahat berbunyi.
145. Seperti yang saya kata,
bukankah Parti PAS sudah 22 tahun menerajui Kerajaan Kelantan? Bukankah juga
Parti PAS yang telah memenangi pilihanraya negeri pertama tahun 1959? Bukankah
Parti PAS sedang menerajui Kerajaan Kedah? Bukankah Parti PAS pernah menerajui
Kerajaan Terengganu dan Perak?
146. Tidakkah pula PKR
sedang menerajui Kerajaan Selangor manakala DAP kini mengepalai Kerajaan Pulau
Pinang?
147. Selain itu, barangkali
ramai masih ingat, bahawa sebelum menyertai Barisan Nasional, Parti PBS dan
Gerakan merupakan Parti Pembangkang, dan bukankah PBS telah memenangi
pilihanraya Sabah tahun 1985 dan Parti Gerakan telah memenangi pilihanraya
Pulau Pinang tahun 1969.
148. Akhirnya, seperti
terakam dalam peristiwa, bukankah Barisan Nasional gagal memperoleh majoriti
dua pertiga semasa Pilihanraya Umum 2008?
Saudara dan saudari,
149. Jadi, jika sungguhlah
tuduhan bahawa SPR tidak berwibawa dan tidak jujur, ini semua tidak mungkin
berlaku. Ternyata, demokrasi tetap berfungsi, malar dan segar di Malaysia.
Ternyata, pilihanraya di negara ini ialah proses yang bersih dan rakyat sudah
matang serta bijaksana untuk memilih.
Saudara dan saudari,
Pilihanraya Umum ke-13 ini
bukanlah satu pilihanraya yang biasa. Ia merupakan titik penentu kepada destini
rakyat dan negara.
Pilihanraya inilah yang akan
mencorakkan rupawajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak
kita. Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat
dikongsi bersama, atau, Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit
rasa prasangka dan prejudis.
Hakikatnya, hasil kerja
keras setiap generasi, kita telah membentuk Malaysia yang dikagumi rakan dan
dihormati taulan. Siapa menjangka bumi yang sarat dengan segala rencam ini,
mampu melepasi, apatah lagi berjaya menangani cabaran bernegara.
Pilihannya juga amat jelas,
untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa,
membesar dan berlibur bersama-sama, atau didewasakan dengan kebencian yang
membara.
Di satu sudut, jalan mulia
yang telah terintis semenjak merdeka, bersiram darah, bermandi air mata dan
dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman.
Hendaklah kita selalu
beringat. Betapa susah payahnya bapa-bapa pengasas kita membina apa yang
dinikmati hari ini. Sesungguhnya kita terhutang budi kepada Almarhum Tunku
Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr.
Mahathir dan Tun Abdullah.
Sebaliknya, saudara dan
saudari, di satu sudut lagi, jalan bersimpang siur, kelam dan gulita, dibina
atas fitnah, kepalsuan dan janji-janji bohong. Jika rakyat terpedaya dengan
siulan menuju lorong itu, percayalah, negara yang permai ini akan hancur,
runtuh dan tenggelam.
Sudah barang pasti UMNO
tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan harta, ia boleh
dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula.
Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya
apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan
merempat di tanah sendiri.
Bumi mana tak ditimpa hujan,
laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau
pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau
tersalah. Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami
menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan.
Justeru, saya selaku
Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf kepimpinan
parti, bersumpah dengan nama Allah dan RasulNya, berikrar dan berjanji, terus
mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus
membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.
Walau apapun rintangan yang
melanda, biar apapun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau
setapak, UMNO tidak mungkin berpatah jalan. UMNO takkan berdalih dalam
menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan
hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam.
Saudara dan saudari,
Kita akan menggunakan segala
kudrat yang ada bagi memenangani hati dan fikiran rakyat di gelanggang
demokratik. Kita akan bersaing untuk setiap undi, kita akan berusaha untuk
menyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap pintu hati
dan membuka setiap gerbang harapan.
Kita percaya, rakyat
Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa, UMNO dan
Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat
Malaysia.
Saudara dan saudari yang
dikasihi sekalian,
Di sini… di sinilah kita
dilahirkan, di sini… di sinilah tangis kita mula bergema. Di sini kita membina
keluarga dan di sinilah kita melakar masa depan. Di sinilah juga, dengan izin
Allah yang Maha Berkuasa, kita akan bersemadi untuk selama-lamanya.
Penuhkanlah tanah bertuah
ini dengan rakyat yang mencintai harumnya perdamaian. Makmurkanlah watan ini
sehingga labanya melimpah ke kaki halaman.
Duhai putera puteri… duhai
para pejuang bangsa, segeralah… segeralah semua menyembah bakti. Pertahankan…
pertahankan satu-satunya Bahtera Merdeka ini… pertahankan…. pertahankanlah
Putrajaya.
HIDUP UMNO! HIDUP BARISAN! HIDUP
MALAYSIA!
Allahuakbar! Allahuakbar!
Allahuakbar!
No comments:
Post a Comment