TERIMA
KASIH…..Salah seorang murid menerima sumbangan yang disampaikan oleh Musa
sambil di saksikan oleh ADUN Gum-Gum Zakaria, ADR Libaran Juslie dan Ketua
Pemuda UMNO Libaran Suhaimi Hj Nasir.
Oleh: SHAIMON S JUMADI
PIHAK pembangkang sanggup
menabur pelbagai fitnah, dakyah dan tohmahan untuk meracuni fikiran rakyat
supaya membencikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada sekarang.
Tujuan pembangkang berbuat
demikian adalah untuk meraih simpati rakyat demi mendapatkan sokongan padu
terhadap perjuangan sia-sia mereka dan ini jelas membuktikan mereka sudah
ketandusan idea dalam usaha mencari pengaruh di peringkat akar umbi.
Menurut Ketua Menteri Sabah,
pembangkang masuk kampung keluar kampung hanya untuk bercakap bohong dan menabur
janji kosong yang sukar dilakukan; sedangkan BN terus bekerja bagi memastikan
masalah rakyat terbela, khusus di kawasan luar bandar.
Musa berkata, rakyat Sabah
sebenarnya sudah bijak menilai kerajaan yang terbaik untuk mereka kerana
keadaan politik di salah sebuah negeri ditadbir pembangkang boleh dijadikan
contoh betapa ruginya rakyat sekiranya tersalah memberikan mandat nanti.
Katanya, apa yang berlaku di
negeri berkenaan sekarang semacam tidak menentu menyebabkan rakyat tidak lagi
sanggup dengan cara pentadbiran kerajaan sedia ada berbanding sebelumnya
apabila ia dikategorikan sebagai negeri termaju di bawah pemerintahan BN.
"Mahukah anda dengan
pemerintahan yang akhirnya menyusahkan rakyatnya sendiri. Oleh itu, rakyat
dapat menilai dengan apa yang berlaku di negeri berkenaan jika dibandingkan
dengan kerajaan kita yang kini terus menumpukan pelbagai pembangunan seperti kemudahan
asas, infrastruktur, bekalan air, elektrik dan banyak lagi.
"Percayalah, kalau
rakyat tersilap pilih nanti seolah-olah memperjudikan masa hadapan generasi
akan datang. Ini kerana, pembangkang tidak boleh berbuat apa-apa apa lagi untuk
membawa pembangunan kepada negeri ini.
"Mereka hanya tahu
bercakap bohong dan apa yang paling saya kesal ialah mereka mendakwa konon
kerajaan kita gagal membawa pembangunan. Saya nak tanya, apa yang kita gagal, beritahu
saya? Mereka tidak nampakkah pembangunan pesat bukan saja di bandar tetapi
sampai kawasan luar bandar yang terpencil sekali pun, kita laksanakan program
pembangunan," jelasnya.
Musa menyatakan demikian
ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Program 1Azam di Dewan
Kg Nelayan Tengah, Sungai Batang, Batu 10, dekat sini, kelmarin.
Hadir sama adalah Ahli
Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)
Gum-Gum, Datuk Zakaria Hj Mohd Edris; Ketua Pergerakan Wanita Umno Sabah, Datuk
Armani Mahiruddin; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Libaran Suhaimi Hj Nasir dan Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Sabah,
Datuk Ibrahim Saad serta pemimpin-pemimpin setempat.
Menteri Kewangan Negeri itu
seterusnya meminta rakyat agar mempertahankan kerajaan BN dan memastikan
kemenangan selesa selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.
Menurutnya, hanya kerajaan
di bawah pimpinan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mampu
membela dan membawa pembangunan kepada rakyat yang berbilang bangsa di negara
ini.
Katanya juga, Datuk Seri
Mohd Najib adalah cerminan keikhlasan kerajaan kerana keprihatinannya mendengar
keluhan dan keperluan rakyat sehingga sanggup turun padang tanpa mengira masa,
semata-mata untuk mengatasi permasalahan rakyat.
"Saya berharap rakyat
tidak terpedaya dengan apa jua dakyah mahu pun tohmahan yang dilempar
pembangkang kerana semuanya tidak betul; malahan satu pembohongan besar
sekiranya mereka mendakwa kita tidak berbuat apa-apa.
"Apa yang penting
sekarang, rakyat negeri ini bersatu padu dan meneruskan sokongan kepada BN yang
terbukti mampu mengotakan janji-janjinya.
"Perlu diingat,
kemenangan BN pada PRU-13 adalah satu rahmat memandangkan akan berlaku
perubahan mendadak dari segi pembangunan dan prasarana di seluruh negeri Sabah
apatah lagi kita sudah merancangnya lebih awal," tambahnya.
Dalam konteks itu, Musa yang
juga Adun Sungai Sibuga dan Ketua Umno Libaran mengajak rakyat sentiasa
bersyukur dengan nikmat pembangunan dilaksanakan kerajaan BN selama ini.
Katanya, keikhlasan kerajaan
bukan sahaja memanfaatkan keperluan rakyat malahan dari segi peluang
sosio-ekonomi sehinggalah kepada kemakmuran kaum.
Justeru, harapan Ketua
Menteri agar rakyat terdiri daripada pelbagai kaum dan anutan agama berdiri teguh
di bawah kerajaan sedia ada kerana tiada lagi parti melainkan BN saja mampu
membawa perubahan.
No comments:
Post a Comment