By : RUZAINI ZULKIFLI
BAGASI......JANATHAN
(kiri) menunjukkan syabu yang disorok suspek di dalam paket plastik ketika
pemeriksaan bagasi di Wisma Kastam, Kota Kinabalu kelmarin.
KOTA KINABALU: Hasrat
seorang lelaki warga asing untuk ‘mengaut hasil’ dengan taktik menyeludup dadah
yang disorokkan di dalam bagasi pakaian akhirnya tidak kesampaian setelah
dikesan dalam mesin pengimbas di Lapangan Terbang Antarabangsan Kota Kinabalu
(LTAKK) kelmarin.
Dadah seberat 1.5 kilogram
dan mempunyai nilai pasaran sekitar RM375,000 berkenaan difahamkan telah
disembunyikan oleh suspek di dalam dua bekas paket plastik gula jenis Gulaku
Murni berasal dari Indonesia di bagasi miliknya bagi mengaburi mata
penguatkuasa.
Insiden yang berlaku pada 25
November sekitar jam 7.30 petang itu, suspek berusia 35 tahun terbabit
dikatakan baru tiba daripada negara Brunei Darussalam sebelum melalui
pemeriksaan bagasi di situ.
Pengarah Jabatan Kastam
Diraja Malaysia (JKDM) Sabah, Dr Janathan Kandok berkata ketika pemeriksaan
imbas itu dilakukan, pihaknya telah mengesan imej mencurigakan yang terdapat
dalam bagasi milik suspek.
Beliau menjelaskan
pemeriksaan lanjut telah dibuat ke atas bagasi suspek dan pihak Kastam telah
menjumpai satu beg plastik yang mencurigakan di dalam bagasi berkenaan.
“Ketika pemeriksaan
dilakukan, para pegawai daripada Cawangan Pemeriksaan Penumpang LTAKK JKDM
telah menemui beg plastik yang mengandungi dua bekas paket plastik bersama
pakaian yang lain.
“Lanjutan daripada itu, kita
telah menjumpai serbuk kasar di dalam kedua-dua bekas paket plastik itu dan
hasil pengesanan awal dadah ianya merupakan dadah jenis syabu.
“Anggaran berat kasar dadah
itu dianggarkan lebih kurang 1.5 kilogram dengan nilai pasaran difahamkan
mencecah RM375,000,” katanya pada satu sidang media kelmarin.
Menurut Janathan, pihaknya
tidak menafikan suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti membawa masuk dadah
ke negeri ini berdasarkan rekod keluar masuk termasuklah beberapa destinasi
lain seperti negara Brunei dan Indonesia.
“Suspek yang ditahan fasih
berbahasa Malaysia dan dipercayai tinggal di daerah Papar sejak beberapa tahun
dahulu.
“Kes akan disiasat mengikut
Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah yang memperuntukkan
hukuman gantung sehingga mati jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau menambah, ini
merupakan kes kedua bagi tahun ini oleh Kastam Sasbah melibatkan cubaan untuk
menyeludup dadah melalui pintu masuk lapangan terbang.
Pada 20 November lepas, JKDM
berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun di Terminal Dua
Tanjung Aru kerana membawa masuk syabu seberat 4 kilogram yang bernilai RM1
juta.
“Kita mengalu-alukan
kerjasama orang ramai untuk menyalur maklumat kepada Kastam dengan menghubungi
mana-mana pejabat berdekatan atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-8855
sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kes seumpama ini,” katanya.
(UB)
No comments:
Post a Comment