Thursday 22 November 2012

BN KINI LEBIH MANTAP UNTUK HADAPI PRU-13





PENAMPANG : Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada dalam kedudukan yang amat kuat dan kukuh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata jentera BN sudah bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya itu yang dianggap paling sengit dalam sejarah politik negara.

"Walaupun ada usaha menjatuhkan kerajaan BN, namun kita tidak membenarkan mereka...kita akan 'bermati-matian' untuk mempertahankan kerajaan BN," katanya semasa merasmikan Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-27 di Dewan Hongkod Koisaan, dekat sini, Rabu.

Dalam hal ini, Muhyiddin berkata PBS merupakan aset penting untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya yang akan datang.

Beliau yakin PBS, dibawa pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang begitu berwibawa, berani dan tegas, mampu membantu memastikan Sabah bukan sahaja kekal menjadi 'simpanan tetap' untuk BN tetapi kuat dan kukuh.

Muhyiddin turut mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak terpedaya dengan pelbagai pembohongan pemimpin pakatan pembangkang dalam usaha untuk menduduki Putrajaya.

"Apa yang pasti ialah selepas pilihan raya umum nanti Datuk Seri Najib Tun Razak akan kekal sebagai Perdana Menteri dan begitu juga Datuk Seri Musa Aman di Sabah," katanya.

Katanya kepimpinan Najib yang memperkenalkan transformasi luar biasa untuk memajukan negara ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020 telah meletakkan negara ini antara negara yang paling menarik dan paling pesat membangun di rantau ini.

Muhyiddin berkata kerajaan Persekutuan mempunyai agenda besar untuk memajukan Sabah dan oleh itu, kerajaan BN perlu dikekalkan.

Mengenai persediaan pilihan raya akan datang, beliau meminta penyokong BN termasuk anggota PBS supaya menerima dan menyokong siapa sahaja yang dinamakan sebagai calon.

"Kalau calon BN menang tentu sekali ia menyumbangkan kepada kemenangan BN secara keseluruhannya. Sebab itu, kita pastikan semua calon BN menang," katanya.

Menyentuh permintaan parti-parti komponen BN di Sabah termasuk PBS untuk mendapatkan tambahan kerusi pada pilihan raya akan datang berikutan keputusan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar BN pada 17 Sept 2008, Muhyiddin berkata perkara itu boleh dibincangkan.

"Kita serahkan sahaja kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya dan saya fikir perkara ini boleh diselesaikan dalam masa terdekat," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment