Thursday 15 November 2012

JKKK & JKDB; JANGAN LUPA DIRI






Oleh : ARSHAD HUSSIN

SEMPORNA: Menteri DiJabatan Ketua Menteri,Dato Sri Haji Nasir Tun (Dr.) Sakaran,mengingatkan Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (PJKKK); Ketua-Ketua Kampung dan pemimpin masyarakat kampung tidak lupa diri setelah menerima perlantikan jawatan mereka sebaliknya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan ikhlas serta penuh dedikasi membantu masyarakat kampung.
              
Katanya, jawatan yang diberikan kerajaan merupakan hanya sementara selama mereka diperlukan kerajaan menjadi perantara pentadbiran di peringkat kampung semata-mata untuk memastikan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.

Nasir menegaskan, semua pemimpin peringkat kampung hendaklah mematuhi arahan dan merujuk kepada pihak Pejabat Daerah setiap sesuatu keputusan yang melibatkan keselamatan mahupun kemajuan sesebuah kampung dan tidak membuat sebarang keputusan yang boleh mencemarkan nama baik kerajaan.

Beliau berkata demikian sempena majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (PJKKK) dan Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Dalam Bandar (PJKDB & Pengagihan Tangki 1Malaysia di Dewan Serbaguna Inabah Kamal dekat sini.

Hadirsama sempena mjalis itu Pegawai Daerah Semporna,Abdul Mohammad Ibnu Abdul Kadir Baba; Pemimpin Unit Kemajuan Rakyat  Dun Senallang, Haji Tahir Amir; Ketua Daerah Kawasan Senallang, OKK Haji Musa Sabaani; Pegawai Kemajuan Masyarakat, Roslan Jalaludin; Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS), Hassan Gabrah; Ketua Bahagian PBRS, Mohammed Seh; Ketua Pemuda MCA Semporna, Mr.Teo dan Wakil Gerakan Semporna, Steven Gan serta kakitangan UPKR dan Pejabat DUN Senallang.

Sempena majlis itu seramai 13 Pengerusi JKKK, dua orang Pengerusi JKDB dan 80 orang penerima tangki 1Malaysia.

Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Senallang, menjelaskan semua perlantikan Pengerusi JKKK/JKDB dilakukan berdasarkan suara dan pandangan masyarakat kampung.

Katanya, sebagai pemimpin yang menjadi perantara rakyat akar umbi dan pihak kerajaan PJKKK/JKDB mereka hendaklah sentiasa memberikan perkhidmatan yang baik kepada masyarakat disamping menyampaikan maklumat kerajaan dan keluhan orang-orang kampung tanpa pilih kasih.

Sehubungan itu juga Dato Sri Nasir  mengumumkan pengagihan 5,000 bangku untuk semua kampung di Kawasan Senallang.

Berhubung projek pembaikan rumah PPRT di kawasan itu yang sudah siap dilaksanakan, Nasir memberitahu semua mereka yang terlibat berpuas hati serta mengucap terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin membela nasib rakyat marhaen.

Sementara itu Nasir yang juga menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Negeri Sabah,mengingatkan Imam-Imam dan Bilal di semua masjid dan surau di daerah itu terus melaksanakan tugas mereka selaku pemimpin agama dengan mengajak masyarakat Islam mengimarahkan masjid dan surau.

Katanya, kehidupan di dunia ini hanyalah pinjam-pinjaman dan akhirat juga tempat yang kekal.

Jestru itu, kata Nasir dalam kita melayari bahtera kehidupan ini dengan pelbagai pancaroba kehidupan, amalan agama hendaklah diutamakan sambil menuntun keluarga ke arah masyarakat Islam yang taat beragama melaksana amal dan ibadat untuk akhirat.

No comments:

Post a Comment