Tuesday 13 November 2012

PEKAN UDANG GALAH AKAN DINAIK TARAF





Oleh : SHAIMON S JUMADI

PEKAN Beluran yang terkenal dengan jolokan 'Pekan Udang Galah' akan dinaik taraf dengan segala infrastruktur pembangunan termasuk pekan baru dan Anjung Muara yang dilengkapi kemudahan asas yang terletak di kawasan persisiran tebing sungai.

AHLI Parlimen Malaysia (Beluran) Datuk Ronald Kiandee berkata, pembinaan 31 unit bangunan kedai baru dua tingkat akan dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) yang dianggarkan menelan belanja  RM3.4 juta.


Katanya, 21 unit kedai lagi akan dibina di Pekan Beluran oleh Perbadanan Pembangunan Bandar Sabah (SUDC) yang bernilai RM13.4 juta.

Menurutnya projek mencantikkan kawasan tebing muara sungai di Pekan Beluran juga dilakukan untuk dijadikan Anjung Muara dilengkapi kawasan persiaran dan 39 unit gerai.

Ronald berkata projek berkenaan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedcovest) dengan nilai projek adalah RM4 juta.

"Ini akan membawa pembangunan dan merubah wajah Pekan Beluran, sekaligus menjana ekonomi kepada penduduk daerah Beluran," katanya ketika mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Kolapis, kelmarin.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, cadangan pelaksanaan projek tersebut sudah di peringkat akhir dan projek pembinaaan akan dimulakan pada tahun depan.

Ronald berkata, ini akan menambah usaha kerajaan untuk meningkatkan prasarana di Pekan Beluran dan selepas kerajaan persekutuan meluluskan projek membina Balai Bomba dan Penyelamat bernilai RM8 juta dan Kompleks Sukan Beluran bernilai RM5 juta.

Katanya, pelaksanaan projek tersebut membuktikan kerajaan peka dengan keperluan pembangunan dan penduduk Beluran yang mahu melihat Pekan Beluran membangun.

Ini juga sekaligus menokak tohmahan parti pembangkang bahawa pembangunan di Pekan Beluran tidak dilakukan, katanya.

Sehubungan itu, Ronald mahu penduduk di daerah Beluran terutama penduduk setempat di Pekan Beluran mengambil peluang dari pembangunan ini terutama dalam aktiviti perniagaan.

Beliau juga berkata, pembinaan unit kedai oleh LPPB juga dilaksanakan di Pekan Telupid membabitkan 19 unit kedai dua tingkat bernilai RM9.9 juta untuk fasa kedua dan 126 unit kedai dua dan tiga tingkat bernilai RM66.4 juta untuk fasa tiga.  

Kerajaan barisan Nasional (BN) yang diberi mandat pada PRU 12 lalu akan meneruskan agendanya untuk memajukan dalam arus perdana pembangunan bukan saja tertumpu kepada pembangunan di kawasan bandar bahkan kawasan-kawasan luar bandar turut dinaik taraf sejajar dengan slogan 'Janji Ditepati'.

No comments:

Post a Comment