Oleh : MOHD FIRDAUS M.N
PAS Sepanggar mencabar Umno/BN supaya membuktikan slogan mereka 'Tradisi Membela Rakyat' dengan menyertai '123 Bangkit' yang dianjurkan NGO Bela Tanah Rakyat Sabah (TABAH) pada 12 Mac ini.
Ketua Pemudanya, Saifuddin Samsudin berkata, Umno/ BN di negeri ini sudah tidak perlu bercakap kosong dengan tidak mempraktikkan segala percakapan dan slogan yang dibuat.
“Umno/ BN tidak perlu lagi nak jadi juara. Kalau benar mereka itu juara, ayuh kita sama-sama turun bersama rakyat ke medan lapangan.
“Sambutlah hasrat rakyat yang dianiaya oleh kerajaan Sabah. Bukan berpeluk tubuh dan berslogan sahaja. Buatlah slogan beratus juta kali pun, kalau hanya retorik... tetap retorik,” katanya.
Himpunan yang dianjurkan NGO TABAH itu akan turut menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman sebagai bantahan dan menagih perhatian serius kerajaan negeri terhadap permasalahan berkaitan tanah, terutama Tanah Adat Sabah (NCR).
Sehubungan itu juga, PAS Sepanggar turut mengadakan roadshow ke seluruh kampung yang berada di Parlimen Sepanggar bagi memberikan kesedaran kepada penduduk mengenai masa depan negeri ini.
“Kita (PAS) turut mengadakan roadshow ini bagi menyedarkan masyarakat berkaitan tanah mereka. Masyarakat Sabah perlu menyambut baik himpunan ini bagi menyelamatkan hak mereka. Kalau benar masyarakat serius dan mahukan tanah mereka selamat. Jika tidak, ini mungkin yang terakhir kalinya,” ujar beliau.
No comments:
Post a Comment