Oleh : AZMAN ARIFFIN
SEMALAM dalam satu majlis, penulis diajukan soalan ini, kenapa Pakatan Rakyat tidak boleh menamakan seorang ulama dari kalangan pemimpin PAS sebagai Perdana Menteri, kenapa mesti berharap kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berhadapan dengan pelbagai isu berkaitan moral dan keboleh percayaan sebagai pemimpin.
Dengan mengambil pendirian semua tuduhan yang dilempar ke atas Anwar adalah fitnah, jawapan penulis kepada soalan itu ialah, semuanya kerana Pakatan Rakyat mematuhi konsep kepimpinan yang ditinggalkan Nabi Muhammad saw.
Pakatan Rakyat kata penulis, begitu teliti dalam menentukan peranan ulama dan umarak (pemerintah). Ulama sepatutnya memainkan peranan sebagai penasihat kepada umarak, bukan sebaliknya. Jika ulama juga adalah umarak, siapa yang akan menasihati umarak?
Dari segi sirahnya, konsep ulama sebagai umarak ini adalah konsep yang dikembangkan oleh fahaman syiah (mengambil contoh di Iran) yang mengagungkan Saidina Ali r.a. melebihi Khulafa al-Rasyidin yang lain.
Ini kerana, diantara 4 Khulafa al-Rasyidin yang mewarisi pemerintahan Madinah selepas kemangkatan Nabi Muhammad s.a.w, hanya Saidina Ali r.a. sahaja datang dari latar belakang seorang ulama, manakala 3 Khulafa al-Rasyidin sebelum baginda, datang dari latar belakang berbeza.
Pendek kata, kebangkitan puak syiah ialah kerana mereka mahu mengubah suai peranan ulama yang ditinggalkan Nabi Muhammad saw, dari penasihat umarak kepada umarak itu sendiri.
Tapi jangan salah faham, penulis tidak sesekali mengatakan PAS sama seperti syiah. Apa yang diamalkan di Iran itu adalah sesuai dalam konteks berkerajaan di sana, di sini mungkin belum masanya lagi untuk mengamalkan konsep kepimpinan serupa.
Sambung penulis lagi, tidak adakah yang pernah bertanya kenapa sebelum kewafatan Nabi Muhammad saw pada 632 Masihi, baginda mewasiatkan Khalifah Abu Bakar ra untuk mengambil alih pemerintahan Madinah? Sedangkan Khalifah Abu Bakar ra adalah seorang pemimpin dengan latar belakang pemimpin masyarakat, bukan ulama!!
Perlantikan Saidina Abu Bakar ra itu sebenarnya sesuai dengan hadith Nabi Muhammad saw yang bermaksud “Kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu”, merujuk kepada peranan dalam bidang kemahiran masing-masing, ulama dengan keagamaannya, pemimpin dengan kepimpinannya.
Maka itu dalam konteks pentadbiran hari ini, konsep yang sama perlu diguna pakai dan diteruskan oleh Pakatan Rakyat dengan menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri dan para ulama dari PAS seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abd Hadi Awang boleh memainkan peranan menasihatkan Anwar dalam menjalankan pentadbiran negara.
Konteks ‘penasihat’ ini tidak semestinya merujuk kepada jawatan dengan title Penasihat sahaja. Kalau diberi jawatan Menteri sekalipun, ia masih boleh menjalankan tugas menasihatkan Perdana Menteri, iaitu Anwar.
Di akhir perbualan itu, penulis merumuskan kepada rakan yang bertanya, PAS sendiri sudah mula menerima konsep ulama sebagai penasihat umarak ini sekarang, dilihat dari majoriti pemimpin yang menduduki saf kepimpinan tertinggi PAS, rata-rata mereka terdiri pemimpin yang datang dari latar belakang profesional.
No comments:
Post a Comment