PADAM....Anggota bomba sedang memadamkan api kebakaran di sebuah rumah yang terlibat.
Oleh : RUZAINI ZULKIFLI
SEORANG suri rumah hanya sempat berkemban lari meninggalkan rumah yang mulai dijilat api dalam satu kebakaran berlaku yang di Kampung Kalansanan, Inanam dekat sini kelmarin.
Nurkaidah Amirul, 38, ketika ditemui di tempat kejadian berkata pada waktu insiden, dia baru sahaja selesai mandi di rumahnya namun tidak semena-mena, terhidu bau hangus.
“Ketika kejadian, saya baru habis mandi dan secara tiba-tiba terhidu bau hangus lalu bertanyakan kepada anak saya dan dia memberitahu sedikit letupan pada salah satu soket yang bersambung dengan televisyen serta alat pemain DVD.
“Saya kemudiannya menarik wayar televisyen berkenaan tetapi wayar itu jatuh di atas tilam lalu api mula marak,” katanya.
Mengulas lanjut detik cemas berkenaan, Nurkaidah kemudiannya mendapatkan anak lelakinya yang berusia 16 tahun dan cuba memadamkan api daripada terus merebak menggunakan air dari kamar mandi tetapi gagal.
“Kejadian terlalu pantas, api semakin besar sehingga saya hanya sempat melarikan diri bersama anak dengan membawa beberapa dokumen penting dengan berkemban sahaja,” katanya.
Suami Nurkaidah, Ifrin Kalampih yang kebetulan baru pulang dari kerja telah bertindak masuk ke dalam rumah untuk cuba memadamkan api namun gagal, malah tindakan itu telah menyebabkan kecederaan di bahagian tangannya.
“Pada waktu kejadian berlaku, suami mangsa baru sahaja balik dari kerja dan dia amat terkejut apabila melihat rumah kami mulai terbakar.
“Dia kemudiannya berusaha memadamkan api menggunakan air paip namun gagal kerana api semakin besar sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian tangannya,” katanya sambil mendedahkan suaminya kini dalam keadaan stabil dan memanjat kesyukuran kepada Iliahi tiada kemalangan jiwa berlaku kepada mereka sekeluarga.
Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 11.50 pagi itu kelmarin turut memusnahkan empat lagi rumah berhampiran kediaman Nurkaidah.
Akibat kebakaran itu, penghuni yang tinggal berhampiran dengan rumah terbabit juga terpaksa keluar daripada rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri.
Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) cawangan Sembulan, Ariffin Hris ketika ditemui di tempat kejadian berkata pihaknya menerima panggilan sekitar jam 11.58 pagi.
Dengan kekuatan 35 anggota dan lima jentera dari Balai Bomba Lintas serta Sembulan, api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 12.42 tengah hari.
“Setakat ini tiada kemalangan nyawa dilaporkan manakala punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian juga masih dalam siasatan,” katanya. (theborneopost)
No comments:
Post a Comment