Wednesday, 20 June 2012

HARUN NAIB CANSELOR KE-4 UMS




SERAH TOPI ... Dr Kamaruzman (kiri) menyerahkan topi dan jubah naib canselor kepada Dr Mohd Harun sambil disaksikan oleh Abdullah.

KOTA KINABALU : Seorang anak kelahiran dari Kampung Gudon Menggatal, Prof Dr Mohd Harun Abdullah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang keempat.

Dr Mohd Harun, 51, menggantikan Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon, 59, telah tamat perkhidmatan selama tiga tahun kelmarin.

Pada majlis penyerahan tugas itu di sini kelmarin, Dr Mohd Harun me- nerima jubah dan topi (naib canselor) daripada Dr Kamaruzaman sambil disaksikan oleh Pendaftar, Datuk Abdullah Haji Said di hadapan kakitangan akademik UMS kelmarin.

Dr Mohd Harun berkata pelantikan dari Kementerian Pengajian Tinggi itu yang berkuatkuasa kelmarin bagi tempoh tiga tahun, dan boleh dilanjutkan untuk tempoh setahun lagi.

“Bila tiba masanya saya akan pergi dan saya tidak akan minta khidmat saya dilanjutkan.

“Sebagai seorang naib canselor, saya memikul tugas berat dan ini bukannya tugas mudah seperti mana tanggapan ramai orang. Saya berdoa diberikan kekuatan dan mendapat sokongan daripada semua orang,” katanya.

Dr Mohd Harun, adalah anak kelahiran kedua dari Sabah dilantik menjadi Naib Canselor dan merupa- kan dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMS dari 2008 hingga 31 Julai tahun lepas, menggesa staf akademik untuk bekerja sebagai satu pasukan untuk membawa universiti itu ke peringkat lebih tinggi serta mengekalkan keharmonian di kampus.

Naib Canselor baru ini menyifatkan Dr Kamaruzaman adalah seorang yang peramah dan mula mengenalinya semasa bertugas di luar iaitu Jerman.

Beliau masih ingat naib canselor itu mempelawanya menaiki kenderaan bersamanya ketika sedang menunggu kenderaan semasa melawat Jerman, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mereka yang mempunyai pangkat yang tinggi sebelum itu.

Sementara itu, Dr Kamaruzaman yang dilahrikan di Keningau dalam ucapan perpisahannya berkata beliau berasa lega setelah melepaskan jawatan itu dan berterima kasih kepada sokongan yang diberikan rakan dan staf dalam membantu beliau menangani pelbagai cabaran sepanjang khidmatnya.

“Apabila saya menerima surat pelantikan (sebagai naib canselor) saya juga amat gembira dan sekarang saya juga amat gembira akhirnya melepaskan jawatan ini,” katanya.

Dr Kamaruzaman juga memohon maaf kepada kakitangan yang mungkin tersinggung dalam apa juga keputusan yang mungkin beliau buat semasa menjadi naib canselor dari 2008 hingga kelmarin.

“Kita bekerja untuk UMS dan kadang kala terdapat keputusan yang kita buat untuk kepentingan universiti dan mungkin turut menjejaskan sesetengah orang. Ini kerana kita menggalakkan nilai-nilai integriti dan membuat keputusan profesional untuk perkembangan universiti,” katanya.

Mengenai langkah seterusnya selepas bersara, Dr Kamaruzaman berkata beliau ingin berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga selepas bekerja selama 33 tahun dan membayangkan akan terus berada di sini untuk meneruskan penyelidikan demi faedah universiti.

1 comment: